1.0 Pengenalan
Karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman atau kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seni, nilai budaya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung dalam di dalam sesebuah karya, nilai pada teknik kepengarangan yang luar biasa serta nilai bahasa yang tinggi dan indah, semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang luar biasa. Maksud luar biasa pula dapat dilihat dan dirasakan apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang digunakan, sama ada secara sedar, spontan, atau secara terancang, bagi menyampaikan sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al.).
Karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya ulung merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam sesebuah karya ulung. Selain itu, karya agung juga sebuah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut (Mohd Rashid Md Idris et al.: 2014).
Karya agung melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain dikenali melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala. Mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al.).
Sesuatu karya untuk menjadi tonggak keintelektualan sesuatu bangsa pastinya perlu berbentuk tulisan kerana melalui tulisan sahaja sesuatu karya dapat dikenal segala maklumat yang terkandung di dalamnya, sekali gus menggambarkan kehebatan bangsa tersebut. Mungkin asalnya karya itu dalam bentuk lisan tetapi melalui usaha-usaha yang terkemudian, bahan-bahan lisan itu ditulis dan dibukukan bagi menjamin kelangsungannya. Melalui tulisan, dapat dikenal keindahan bahasa yang digubah dan jalinan fikir yang diungkap sehingga ke hari ini. Sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan. Namun, perlu diingat bahawa tidak ada ukuran yang sejagat berkaitan ciri-ciri ini. Hal ini demikian kerana setiap karya sastera lahir daripada tradisi, budaya dan tamadun yang berbeza-beza. Penelitian ciri-ciri sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung Melayu dilihat dari beberapa aspek iaitu pemikiran dalam karya agung, estetika dan kepengarangan karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup serta nilai ilmu dalam karya agung Melayu (Mohd Rashid Md Idris et al.; 2014).
Karya agung Melayu adalah cetusan akal fikiran Melayu yang luar biasa. Keluarbiasaan akal Melayu ini pada dua tahap keupayaan mentalnya iaitu keupayaannya berfikir secara kreatif melalui kaedah atau proses mental yang dapat kita sebut kaedah metafora, yakni kaedah berfikir melalui perumpamaan, perbandingan, kiasan dan tamsil ibarat, untuk menyampaikan sesuatu benda daripada alam nyata sebagai analogi. Selain itu, kebolehan mentalnya untuk menyusun fikirannya dalam bentuk pengungkapan yang sangat berstruktur. Terdapat banyak karya agung yang mempunyai kehebatannya yang tersendiri antaranya ialah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat Inderaputera, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya.
2.0 Latar Belakang Hikayat Inderaputera
Hikayat Inderaputera, merupakan sebuah karya agung dalam kategori genre cerita lipur lara Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-17 dan ke-18. Sejumlah 30 naskhah hikayat ini yang diketahui masih ada, terpelihara dan disimpan di perpustakaan negeri Belanda, Britain, Jerman, Perancis, Belgium, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia. Hikayat ini terdapat dalam beberapa versi iaitu versi Aceh, versi Jawa, versi Lombok, versi Bugis, versi Cam dan versi Mindanao. Hikayat ini juga disebut dalam karya agung Melayu yang lain, iaitu Bustan al-Salatin dan Sirat al-Mustakim karangan Nuruddin al-Raniri, juga dalam Taj al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari. Pengarangnya tidak diketahui dan ia adalah antara karya yang masih terselamat sehingga hari ini.
Teks hikayat ini telah dikaji oleh Dr. S.W. R. Mulyadi dalam tesis Doktor Falsafahnya yang bertajuk Hikayat Indraputra: A Malay Romance. Terjemahan tesis ini ke dalam bahasa Melayu diusahakan oleh Sidang Editor Yayasan Karyawan dan diselenggara oleh Ali Haji Ahmad. Naskhah dasar yang digunakan dalam kajian ini adalah MS I, naskhah tertua yang paling lengkap bertarikh 29 Rejab 1111 H bersamaan dengan 20 Januari 1700 M. Satu salinan Hikayat Inderaputera terdapat dalam simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Nombor Manuskripnya MS 37. Satu lagi salinan terdapat di Universiti Leiden, The Netherlands/Belanda (Or 53 (formerly HS. 542), Library of KITLV (Koninklijk Instituut voor Taal-, Land- en Volkenkunde, Leiden, Belanda.)
Seorang sarjana, Dr. V.I Braginsky mengkaji hikayat ini dari segi unsur-unsur Islamnya, selain mendapat data-data terbaharu. Beliau secara yang amat mendalam dan meyakinkan melihat Inderaputera, watak utama dalam hikayat ini, sebagai seorang pengembara sufi mencari kebenaran Ilahi. Beliau juga mengatakan bahawa Hikayat Inderaputera ini mungkin dipengaruhi oleh sumber India (Gulshan-i `Ishq, dan kesusasteraan Sufi) dan teks Melayu lain seperti Hikayat Cekel Waneng Pati dan Hikayat Amir Hamzah.
3.0 Sinopsis Hikayat Inderaputera
Mengisahkan seorang Raja Bikrama Buspa mempunyai kerajaan yang amat besar, Sementa Pura namanya. Isterinya, Tuan Puteri Jamjan Ratna Dewi, melahirkan seorang bayi laki-laki yang amat elok parasnya dan diberi nama Inderaputera. Baginda meminta ahli nujum melihat nasib puteranya itu. Menurut ramalan mereka, Inderaputera akan menjadi raja yang penuh kebesaran, tetapi malangnya dia akan berada bersama-sama ayahandanya hanya selama tujuh tahun sahaja.
Pada suatu hari, Raja Bikrama Buspa dan anaknya Inderaputera menonton pertunjukan pandai emas dan pandai kayu. Pandai kayu membuat ikan dan dibubuh di dalam pasu, lalu berpantun dan berselokalah ikan itu. Kemudian pandai emas pula menunjukkan kebolehannya dengan membuat merak daripada emas. Merak itu disimpan oleh Raja Bikrama pada talam emas dan perak. Merak itu pun menyanyi seraya dengan bangganya memuji kecantikan dirinya. Ketika itu Inderaputera pun turun dari pangkuan ayahandanya lalu mendekati merak itu. Dengan tidak disangka-sangka merak itu menyambar Inderaputera dan menerbangkannya ke udara.
Merak emas menerbangkan Inderaputera ke sebuah negeri dan menjatuhkannya ke sebuah kebun kepunyaan Nenek Kebayan. Apabila Nenek Kebayan pulang dari menjual bunga dia terlihat seorang kanak-kanak sedang duduk di bawah sepohon delima. Dia bertanya tentang diri anak itu. Inderaputera pun berceritalah akan nasib untungnya. Nenek Kebayan memelihara Inderaputera dengan penuh kasih sayang. Apabila orang bertanyakan mengenai kanak-kanak itu, dia mengatakan yang Inderaputera itu anaknya. Orang-orang yang melihatnya pun sayang kepadanya.
Pada suatu hari Inderaputera dibawa berjual bunga ke rumah Perdana Menteri. Melihat keelokan pekerti dan paras kanak-kanak itu Perdana Menteri berasa kasih kepadanya lalu meminta untuk memelihara kanak-kanak itu. Pada mulanya Nenek Kebayan menolak permintaan itu tetapi setelah beliau merayu bersungguh-sungguh dia pun dibenarkan memelihara budak itu pada sebelah pagi sahaja, manakala pada waktu malam dia akan tinggal bersama-sama Nenek Kebayan. Dalam pemeliharaan Perdana Menteri, Inderaputera menjadi semakin bijak dan membesar dengan perkasa.
Diceritakan kemudiannya bahawa Inderaputera berkhidmat kepada Raja Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung Mali Kali untuk mendapatkan ubat bagi memperoleh anak. Dalam perjalanan itu binatang-binatang buas berhimpun menemui Inderaputera. Mereka meminta perlindungan daripada putera raja itu daripada menjadi mangsa musuh mereka. Inderaputera juga bertemu dengan tengkorak yang menceritakan peri adanya raksasa dan dialah kelak yang akan membunuh raksasa itu. Inderaputera mendaki sebuah gunung dan menemui raksasa yang amat ajaib dan dengan ketangkasannya, Inderaputera berjaya menewaskan raksasa itu. Dia kemudian meneruskan perjalanannya. Berdekatan dengan Padang Darsal, Inderaputera terserempak dengan dua pihak yang sedang berperang antara satu sama lain. Inderaputera menyebelahi pihak Nobat Rum Syah melawan jin kafir, hinggalah dia memperoleh kemenangan. Nobat Rum Syah menjemput Inderaputera ke negerinya dan mengahwinkannya dengan Puteri Jamjan Dewi Gemala Ratna.
Inderaputera meneruskan perjalanannya hingga sampai ke Tasik Semenda Jin. Di situ dia berjaya menyelamatkan diri daripada ditindih oleh seorang peri. Peri itu ditawannya tetapi dia memohon dilepaskan dengan janji akan memberi Inderaputera Geliga Mayan Bedi yang boleh mengeluarkan angin, ombak, dan sebagainya. Di sini juga Inderaputera menemui Puteri Ratna Gemala Nehran anak Maharaja Syah Tokan. Sewaktu Ratna Gemala Nehran sedang mandi bersama-sama dayang-dayangnya di dalam sebuah tasik, Inderaputera telah mengambil baju puteri tersebut. Baju itu dikembalikannya setelah puteri itu berjanji akan memberinya gemala hikmat miliknya yang tersimpan di atas kemuncak mahligainya.
Inderaputera menaiki tabak tuan puteri untuk naik ke kayangan. Apabila tiba di Padang Belantara Hairani, Inderaputera menoleh ke belakang. Akibatnya dia terjatuh di padang itu. Dari jauh dia terlihat istana Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang terletak di mercu gunung berapi. Dia pun mendaki gunung itu dan masuk ke istana. Apabila tiba di balairung dia terpaksa berhadapan dengan seekor gajah tetapi gajah itu dapat ditewaskannya. Kemudian dia membunuh seekor harimau, seekor singa, seekor badak, seekor naga berkepala tujuh, seekor geroda, dan seekor raksasa.
Tunang Puteri Ratna Gemala Nehran, Raja Dewa Lela Mengerna, tersalah sangka apabila melihat puteri sedang berbual-bual mesra dengan Inderaputera. Dia menghimpunkan askarnya lalu menuju ke istana puteri itu. Dia mencabar Inderaputera supaya keluar berperang. Inderaputera menyeru jin, peri serta hulubalang keluar dari gemala hikmatnya. Berlakulah pertempuran hebat antara kedua-dua pihak. Berita peperangan itu akhirnya sampai ke telingan Nobat Rum Syah. Dia pun membawa askarnya menolong Inderaputera. Tetapi kemudiannya salah sangka berakhir dan Inderaputera diterima sebagai teman yang mulia dan dijamu dengan penuh hormat.
Jin Tamar Buga amat murka kepada Inderaputera kerana membunuh anaknya, Tamar Jalis. Dia membalas dendam dengan menyambar Inderaputera dan cuba membuangkannya ke dalam Laut Kalzum. Walau bagaimanapun, Inderaputera berjaya membunuh Tamar Buga. Tiba-tiba dia teringat kepada Tuan Puteri Ratna Gemala Nehran, tetapi jin gemala hikmat memberitahunya bahawa negeri puteri tersebut telah jauh ditinggalkan oleh mereka. Inderaputera meminta jin itu menerbangkannya melalui gunung berapi itu. Jin itu sanggup membawanya dengan syarat Inderaputera tidak meminta air.
Semasa mereka sedang melalui gunung berapi itu Inderaputera berasa dahaga yang amat sangat sehingga tidak dapat dia menahan diri daripada meminta air. Apabila dia berbuat demikian dia pun terjatuh di tepi Tasik Bahrul Asyikin yang amat cantik. Puteri Seganda Cahaya Iram yang ditemui oleh Inderaputera memberinya sebuah cembul ajaib yang boleh menjelmakan mahligai. Setelah itu dia menuju ke gua perbendaharaan Raja Baharum Tabak yang dijagai oleh seekor ular yang amat besar. Ular tersebut dapat dibunuh oleh Inderaputera. Dari salah sebuah bilik dia menemui seekor kuda hijau bernama Janggi Gerdana dan dari kepala ular diperolehnya bedi Zahar yang boleh menghidupkan orang yang telah mati. Kemudian dia beredar ke mahligai Puteri Cendera Lela Nur Lela sebelum meneruskan perjalanannya.
Dipendekkan cerita, Inderaputera dapat menemui Berma Sakti yang memberinya sekuntum bunga tanjung dan berbagai-bagai hikmat. Dia kemudiannya kembali ke negeri Raja Syahian. Setelah makan sayur bunga tanjung kepunyaan Inderaputera, permaisuri hamil. Setelah genap bulannya, permaisuri pun melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan yang amat cantik parasnya. Apabila puteri itu meningkat dewasa ramailah putera raja yang datang berhamba diri bagi tujuan meminang puteri. Ditakdirkan puteri jatuh sakit dan tiada siapa yang berjaya mengubatinya sehinggalah Raja Syahian membuat pengumuman untuk mengahwinkan anaknya dengan sesiapa yang berupaya menyembuhkan penyakit tuan puteri itu. Pada ketika inilah muncul Inderaputera yang selama ini berada jauh setelah dibuang kerana fitnah para pembesar negeri. Dengan mudah Inderaputera menyembuhkan penyakit puteri itu. Ini membuat menteri-menteri dan anak-anak raja dengki kepadanya, lalu dia dibunuh tetapi dapat dihidupkan semula oleh isteri-isterinya. Cerita berakhir dengan perkahwinan Inderaputera dan Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan.
4.0 Pemikiran dalam Hikayat Inderaputera
Pemikiran menurut Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014: 69) bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Di samping itu, setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Sehubungan dengan itu, setiap karya agung yang dihasilkan memiliki pemikirannya yang tersendiri. Hal yang sama juga dimiliki oleh Hikayat Inderaputera. Hikayat ini juga mempunyai pemikiran atau mesej-mesejnya yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh pengarang.
Antara pemikiran yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera ialah pengaruh Hindu dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, pengarang bijak menyesuaikannya dengan ajaran Islam yang pada waktu itu masih lagi kuat pengaruh Hindunya. Hal ini dapat dilihat dalam bab “Mencari Ubat Beranak”. Inderaputera telah diarahkan oleh Raja Syahian untuk pergi mencari ubat beranak bagi diberikan kepada isterinya yang tidak dapat mengandung atau dalam erti kata lainnya, mandul. Walau bagaimanapun, perjalanan untuk mencari ubat tersebut amatlah sukar sehinggakan Nenek Kebayan mengatakan bahawa Inderaputera sengaja dipilih dan diarahkan untuk melakukan amanah tersebut, hanya untuk membunuhnya. Namun begitu, Inderaputera yang digambarkan sebagai seorang yang taat beragama mengatakan bahawa baginda berserah diri kepada Allah akan perihal keselamatan dirinya. Hal ini dapat dibuktikan sebagaimana berikut:
“Hatta maka Inderaputera pun sampailah ke rumah Nenek Kebayan, “Hai cucuku, dari mana tuan hamba beroleh pakaian yang indah-indah?”
Maka sahut Inderaputera itu, “Disuruhkan oleh Raja Syahian pergi kepada Berma Sakti henda minta ubat beranak.”
Maka kata Nenek Kebayan, “Wahai cucuku, sahaja hendak dibunuhnya. Di mana akan sampai ke sana kerana tempatnya itu terlalulah amat sukar.”
Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Hai nenekku, serahkan hamba kepada Tuhan Yang Maha Besar.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 17)
Selepas itu, Inderaputera pun masuklah ke dalam hutan belantara dan meredah segala macam bahaya demi mendapatkan ubat beranak tersebut. Sewaktu dalam perjalanan mendapatkan ubat tersebut, baginda telah bertemu dengan sekawan binatang liar yang meminta perlindungan daripadanya untuk berlindung daripada musuh mereka yang merupakan seekor raksasa yang berada di Gunung Indera Kila. Raksasa tersebut telah memakan dan membunuh ramai orang dan meninggalkan tengkorak-tengkorak manusia yang dimakannya di atas gunung tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan berikut:
Maka ujar Inderaputera, “Hai tengkorak, tuan hambakah yang berseru-seru akan hamba tadi?”
Maka ujar tengkorak itu, “Bahkan.”
Maka Inderaputera pun berkata-kata.” Maka mengapa tuan hamba memanggil hamba?”
Maka ujarnya tengkorak itu, “Ampun tuanku hai Inderaputera, inilah tengkorak yang takluk kepada ayah tuan hamba itu. Sebermula adapun tatkala hamba daripada menghantar ufti kepada ayahanda tuanku itu, maka hamba pun sesat melarat lalu sampailah di gunung, beberapa hari hambanya di sini tiada makan dan tiada minum dan seketika maka hamba berhenti. Maka seorang raksasa daripada atas gunung itu merupakan dirinya seperti seorang perempuan membawa suatu pedang pada tangannya. Maka ia datang kepada hamba. Maka ujarnya, ‘Hai orang muda, ambil olehmu pedang ini’ Maka pada bicara patik ini manusia juga gerangannya ini. Baharu hamba hendak ambil pedang itu, maka diparangkannya pada hamba. Maka hamba pun matilah, lalu dimakannya hamba.”
Maka kata Inderaputera, “Adapun yang kasih tuan hamba itu sebenarnyalah, tetapi Tuhan juga yang memeliharakan kita.”
Maka kata tengkorak itu, “Mudah-mudahan dipelihara Tuhan juga tuan hamba.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 18-19)
Berdasarkan petikan di atas, dapatlah dilihat pengaruh kepercayaan Hindu tersebut, iaitu semasa berlakunya dialog antara tengkorak dan Inderaputera. Penganut agama Hindu mempercayai adanya jiwa dalam setiap makhluk, termasuklah tengkorak ini yang boleh bercakap. Tengkorak tersebut menceritakan kronologi cerita yang menyebabkannya menjadi tengkorak kepada Inderaputera. Di akhir perbualan mereka pula, pengarang bijak memasukkan unsur agama Islam, iaitu kepercayaan sebagai seorang yang beragama Islam yang wajib mempercayai dan meyakini bahawa Allahlah yang sentiasa melindungi hamba-Nya.
Seterusnya, pemikiran yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Inderaputera ini adalah tentang ketinggian darjat seorang raja. Hal ini dapat dicerminkan dalam bab “Bota yang Makan Manusia”. Inderaputera yang merupakan putera kepada Maharaja Bikrama Buspa dan Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi sangat disanjung tinggi dan dihormati oleh sekalian rakyatnya serta raja-raja yang lain. Berikut merupakan petikan kisah yang menggambarkan ketinggian darjat baginda sebagai seorang raja:
Setelah adalah tiga hari lagi perjalanan daripada negeri Semanta Beranta itu maka terdengarlah warta Inderaputera itu sudah datang maka Raja Talela Syah pun menghimpunkan sekalian rakyat bala tenteranya menyuruhkan membaiki singgahsana dan menghiasi pengadapan dan menyuruh berbuat khemah akan Inderaputera dan segala anak raja-raja kepada suatu padang hampir negeri Semanta Beranta itu. Maka Inderaputera pun datanglah kepada empat persangga bumi jauhnya. Maka Raja Talela Syah pun menitahkan
Syahran Darkas dan Indera Jilani dan segala anak raja-raja dan Perdana Menteri serta hulubalang sekalian pergi mengalu-alukan Inderaputera…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 141-142)
Berdasarkan petikan kisah di atas, dapatlah dilihat dan dibuktikan bahawa Inderaputera sangat dihormati dan disanjung sebagai seorang raja. Baginda diraikan dan dialu-alukan dengan penuh adat dan istiadat oleh sekalian rakyat, bahkan raja-raja yang lain juga turut menyambut kedatangannya dengan penuh gilang-gemilang.
Ketinggian darjat atau martabat seorang raja juga digambarkan dalam hikayat ini apabila kedatangannya, iaitu Inderaputera ditunggu-tunggu oleh semua orang sehinggakan Maharaja Talela Syah sendiri tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu akan kehadirannya ke negeri baginda apabila diberitakan kedatangan Inderaputera. Baginda bahkan bertanya kepada Indera Jilani sebanyak sembilan kali untuk memastikan orang-orang yang dilihatnya itu ialah Inderaputera atau sebaliknya. Hal ini demikian kerana, kelapan-lapan orang yang terawal dilihatnya sangat gah dan sesuai jika dikatakan sebagai seorang raja disebabkan oleh kehebatan yang dipamerkan oleh mereka semasa memasuki negeri Maharaja Talela Syah tersebut. Walau bagaimanapun, ternyata orang kesembilan yang diketemuinya paling hebat di antara lapan orang yang terawal sebelumnya, dan itulah Raja Inderaputera yang ditunggu-tunggunya. Hal ini dapat dilihat dalam petikan kisah di bawah:
Maka di bawah payung itulah Inderaputera datang mengenderai di atas kudanya yang bernama Janggi Gerdana. Maka pelana kudanya itu daripada emas sepuluh mutu yang bertatahkan ratna mutu manikam dan pakaiannya terlalu indah-indah serta menyandangkan pedangnya yang beremas dan pada kanannya Inderaputera itu Dikar Alam dan dari kirinya itu Dikar Agus dan di hadapannya itu Dikar Kilat dan di belakangnya Dikar Seruna. Maka segala hulubalang itu memakai pakaian gemala hikmat dan rakyatnya pun demikian juga sekalian itu mustaidlah dengan alat senjatanya dan ada memakai zirah berbagai-bagai warnanya. Kalakian maka Inderaputera pun berjalanlah diiringkan oleh segala bala tenteranya sekalian.
Maka, titah Maharaja Talela Syah, “Hai anakku Indera Jilani, bunyi apakah ini? Maka tidakku pernah dengar seperti demikian itu”
Maka sahut Indera Jilani, “Ya Tuanku Syah Alam, inilah Inderaputera anak Maharaja Bikrama Buspa.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 146)
Selain itu, pemikiran yang terdapat dalam hikayat ini adalah tentang keberanian seorang raja. Inderaputera merupakan seorang putera raja yang sangat berani serta gagah perkasa. Hal ini dapat dilihat apabila baginda mampu mengalahkan dengan senangnya seekor raksasa yang bernama Gheragas yang digeruni oleh semua orang. Hal ini dapat dibuktikan sebagaimana berikut:
“Hai Gheragas, bangunlah engkau supaya kupenggalkan kepalamu dari badanmu itu.”
Maka Gheragas itu pun berbalik. Maka segala anak raja-raja itu pun dahsyatlah hadir memegang senjatanya itu masing-masing. Maka sampailah tiga kali Inderaputera berseru-seru. Maka terdengarlah oleh Gheragas itu suara manusia. Maka ia pun membukakan matanya. Maka dilihatnya Inderaputera terdiri di sisinya itu. Maka dihembusnya Inderaputera dengan suaranya itu seperti halilintar bunyinya. Maka Inderaputera pun bertempik seraya diparangnya Gheragas itu penggal dua lalu rebah mati.
Maka Inderaputera pun berseru-serukan segala anak raja-raja itu katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, marilah tuan hampir ke mari kerana Gheragas ini sudahlah ia mati.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 148)
Antara contoh lain yang menunjukkan keberanian seorang raja lagi adalah apabila Inderaputera dengan beraninya turun ke lapangan bagi melawan sendiri utusan Raja Gherantar Syah yang ingin membunuh baginda. Meskipun hulubalang-hulubalangnya menawarkan diri, Inderaputera tetap bertegas ingin melawannya sendiri kerana menurutnya, Raja Gherantar Syah menginginkan dirinya, bukan orang lain. Maka, baginda pun pergi ke Padang Belanta Ajaib tersebut untuk bertemu dengan musuhnya tersebut dengan tangan kosong kerana menurutnya, orang tersebut bukanlah lawannya. Hal ini dapat dibuktikan daripada petikan kisah berikut:
“Maka titah Inderaputera, “Sabarlah engkau hai saudaraku, biarlah aku masuk ke medan itu pada hari ini kerana ia berseru-seru akanku. Adapun hari ini pengantin hambalah akan perang itu tetapi insya-Allah Tuhan Yang Maha Mulia, akulah melawan Raja Gherantar Syah itu dengan tiada bersenjata kerana ia itu bukannya lawanku.”
Setelah itu maka kata Inderaputera pada tuan putero, “Hai adinda, tinggallah tuan dahulu, kakanda hendak pergi melawan Raja Gherantar Syah ke Padang Belana Ajaib itu.”
Setelah demikian itu maka Inderaputera pun naiklah ke atas kudanya Janggi Gerdana lalu pergi ke tengah padang itu. Seketika lagi maka didengar oleh Raja Gherantar Syah bunyi guruh petir dengan kelam-kabut. Maka dilihat oleh Raja Gherantar Syah seperti kilat keluar daripada mahligai tuan puteri itu. Hatta maka Inderaputera segera menghampiri akan kudanya lalu ditangkapkannya Raja Gherantar Syah itu. Maka disuruh oleh Inderaputera taruh pada Dikar Agus dekat mahligai itu. Syahadan maka dilihat oleh segala hulubalang itu tiba-tiba Raja Gherantar Syah tatkala bunyi guruh halilintar petir kilat kelam-kabut itu. Maka dengan seketika itu juga Raja Gherantar Syah itu pun ghaiblah, tinggal kudanya di tengah padang itu. Maka segala hulubalang dan rakyat itu pun habislah hairan seraya membuangkan senjatanya lalu pergi mengadap Raja Gurjanis mempersembahkan segala hal-ehwalnya itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 123)
Pemikiran yang selanjutnya dalam Hikayat Inderaputera ini adalah kesaktian ataupun disebut juga sebagai mitos. Aspek kesaktian merupakan aspek terbesar yang digunakan untuk menggarap jalan cerita Hikayat Inderaputera ini. Aspek ini pula kebanyakannya diguna dan dimiliki oleh golongan bangsawan, khususnya kerabat diraja. Hal ini dapat dibuktikan melalui cara yang digunakan oleh isteri Inderaputera untuk menghidupkan baginda yang pada awalnya telah mangkat.
“Hatta maka mayat itu pun sampailah ke rumahnya Perdana Menteri; kerana hikmat sudah zahirlah yang membunuh Inderaputera itu. Setelah itu maka dibawanya masuk ke dalam kelambu oleh tuan puteri yang ketiga itu lalu dibubuhnya hikmat Bedi Zahar itu kepada tubuh Inderaputera itu. Maka dengan ditolongi oleh Tuhan Yang Maha Besar akan Inderaputera pun hiduplah…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 206)
Di samping itu, unsur kesaktian atau mitos ini dapat juga dilihat dalam bab “Diterbangkan oleh Jin”. Inderaputera telah diterbangkan oleh jin ke Tasik Bahrul ‘Asyikin disebabkan ketidakpatuhannya yang meminta air dalam perjalanan untuk ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Sebelum memulakan perjalanan, baginda sudah diingatkan agar tidak meminta air di sepanjang perjalanan, sekiranya baginda melanggar syarat tersebut, maka baginda akan jatuh ke Tasik Bahrul ‘Asyikin. Unsur mitos ini dapat dilihat melalui ciri fizikal tasik itu sendiri yang terlalu cantik dan luar biasa kejadiannya.
“…Maka Inderaputera pun sampailah ke Tasik Bahrul ‘Asyikin dan dilihatnya tasik itu rumputnya daripada kuma-kuma dan pasirnya daripada emas urai dan gersiknya itu daripada kapur barus dan lumpurnya itu daripada kasturi dan batunya itu daripada permata yang indah-indah. Syahadan pada tengah tasik itu ada suatu pulau bernama Biram Dewa seperti gajah rupanya sebab itulah maka dinamai Pulau Biram Dewa itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 74)
Selain itu, unsur mitos ini juga dapat dilihat dalam bab “Bertemu Ayah Bonda”. Pelbagai persiapan yang telah dibuat oleh Maharaja Bikrama Buspa untuk menyambut kepulangan anakandanya tersebut. Antaranya ialah pertunjukan yang luar biasa dan di luar batas kemampuan manusia biasa. Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:
“Kalakian maka Raja Dewa Lela Mengerna pun melontarkan bajunya ke dalam laut itu menjadikan sebuah kapal belayar terlalu amat indah rupanya. (Maka) dilihat oleh Nobat Rum Syah terlalu indah-indah itu. Maka ia pun melontarkan bajunya ke udara. Maka menjadilah mega. Maka mega itu pun jatuh ke laut. Maka menjadi sepohon kayu beraksa. Maka seketika lagi maka Raja Puspa Pandai pun memanah ke udara. Maka anak panah itu pun menjadi hujan (air mawar dari udara) dan segala isi negeri itu pun hairan melihat akan kelakuan itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 228)
Kekayaan seorang raja juga merupakan salah satu pemikiran atau mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. Raja digambarkan sebagai seorang yang sangat kaya dan mewah. Hal ini dapat digambarkan ketika kepulangan Inderaputera ke negeri asalnya, iaitu Sementa Puri yang disambut dengan penuh gilang-gemilang oleh ayahanda serta rakyatnya. Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:
“Alkisah maka diceterakan orang yang empunya cetera ini bahawa selama Maharaja Bikrama Buspa menjamu segala anak raja-raja yang berserta dengan Inderaputera itu adalah kira-kira empat puluh hari empat puluh malam lamanya itu, makan dan minum duduk bermain-main bersuka-sukaan. Maka Paduka Syah Alam pun memberi persalin akan segala Buspa pun membuat akan pancapersada di tengah padang sembilan belas pangkat bertiang gading dan bersendi-sendi akan emas dan berumbai-umbaikan mutiara.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)
Berdasarkan petikan hikayat di atas, dapatlah dilihat kekayaan Maharaja Bikrama Buspa yang merupakan ayahanda kepada Inderaputera. Baginda telah mengadakan jamuan selama 40 hari dan 40 malam demi menyambut kepulangan anakandanya. Selain itu, baginda juga telah menyiapkan pelbagai persiapan untuk menyambut kepulangan Inderaputera. Antaranya adalah seperti berikut:
“Syahadan berkemuncakkan sebuah gemala. Maka terlalu amat indah-indah dan beberapa intan yang mulia-mulia terkena pada panji-panji persada itu. Maka diperbuat oleh Raja Dewa Lela Mengerna di atas pancapersada itu ada sebuah hikmat seperti naga empat ekor rupanya terlalu indah-indah sekali akan rupanya. Arkian maka diperbuat pula oleh Nobat Rum Syah di atas pancapersada itu seekor kuda tujuh kepalanya terlalu indah-indah perbuatannya. Maka setelah lengkaplah segala kelengkapan itu maka diperbuat pula oleh segala anak raja-raja yang di Padang Anta Berahi itu suatu jempana itu terlalulah indah-indah rupanya. Maka tuan puteri dan Inderaputera pun beraraklah pada pancapersada itu lalu pula pada jempana berjala-jala akan baiduri dan kedua pangkat daripada nilam dikarang dan ketiga pangkat daripada pualam dan keempat pangkat daripada mutiara dikarang dan kelima pangkat daripada intan dikarang dan keenam pangkat daripada permata dikarang dan ketujuh pangkat daripada zamrud dikarang.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)
Seterusnya, kebijaksanaan seorang raja. Kebijaksanaan merupakan antara aspek utama yang perlu dimiliki oleh seorang raja untuk mengangkat nilai dan martabatnya di mata rakyat terutamanya dalam hikayat seperti ini. Justeru, aspek ini dapat dilihat dalam Hikayat Inderaputera ini apabila baginda menggunakan strategi menyembunyikan baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang ketika itu sedang mandi di Tasik Semenda Jin demi mendapatkan gemala hikmat.
“Maka Inderaputera pun terlalulah sukacita hatinya menengar kata Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Maka kata Inderaputera, “Hai saudaraku, jikalau ada dengan sungguhnya kasih saudaraku akan hamba ada suatu gemala hikmat yang di atas kemuncak mahligai tuan puteri itu. Maka kakanda pohonkan supaya hamba pulangkan baju itu.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 40)
Sebelum baginda mendapatkan gemala hikmat tersebut, baginda terlebih dahulu mendapatkan sebiji lagi geliga hikmat yang lain daripada seekor peri yang berada di dalam sebuah tasik. Baginda telah berpura-pura tidur sewaktu peri tersebut datang kepadanya. Sebaik sahaja peri tersebut menghampirinya, baginda segera melompat seraya menangkap rambut peri tersebut. Bagi melepaskan dirinya, peri tersebut telah bersetuju untuk memberikan Inderaputera suatu geliga hikmat, iaitu Mayan Bedi yang mampu mengeluarkan angin, ombak, kilat atau petir halilintar dengan cara menyeru namanya. Hal ini sebagaimana berikut:
“Hatta seketika lagi maka keluarlah peri daripada tasik itu. Maka berombak-ombaklah airnya itu. Maka dilihat oleh Inderaputera peri itu datang kepadanya. Maka ia pun tidurlah. Maka peri itu datanglah menghampiri akan Inderaputera. Maka Inderaputera pun ingat. Maka baharu hendak ditindihnya itu, maka Inderaputera pun melompat seraya menangkap akan rumbut peri itu.
Maka berkata Inderaputera, “Sekarang ini matilah engkau hai celaka.”
Maka peri itu pun berkata, “Hai orang muda, lepaskanlah rambutku peri ini, apa kehendakmu aku berikan kepadamu.”
Maka kata Inderaputera, “Sungguhkah engkau hendak memberi barang kehendakku ini?”
Maka sahut peri itu, “Sungguhlah hamba beri.”
Maka kata Inderaputera, “Apa yang engkau hendak berikan kepadaku ini?”
Maka berkatalah peri itu, “Ada suatu geliga, Mayan Bedi namanya. Jika tuanku mahu, kuberikan. Adapun gunanya jikalau hendak mengeluarkan angin dan ombak atau kilat atau petir halilintar citalah namaku dan tambangkan geliga itu, nescaya barang kehendak tuan jadilah.” Maka Inderaputera pun melepaskanlah rambut peri itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 30)
Pemikiran terakhir yang pengarang bawakan adalah mengenai keelokan paras rupa golongan bangsawan. Golongan bangsawan dalam hikayat ini digambarkan sebagai seorang yang sangat elok paras rupanya, khususnya golongan raja-raja. Hal ini dapat dilihat sebagaimana berikut yang memaparkan kesempurnaan rupa paras Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela:
“Maka berkata bayan seraya menghamparkan sayapnya, katanya, “Ya tuanku anak raja indera, tahukah tuanku akan Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela di Padang Anta Berahi di atas mahligai yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Adapun parasnya itu terlalu elok durjanya dan rambutnya laksana cincin dituang, dahinya seperti seri bulan dan keningnya seperti bentuk taji, dan matanya seperti bintang timur, dan hidungnya itu laksana kuntum melur da telinganya seperti telepok layu, dan pipinya seperti pauh dilayang dan, bibirnya itu seperti pati dicarik, dan giginya itu seperti delima merekah dan lidahnya itu laksana kembang seroja dan dagunya itu seperti lebah bergantung, dan lehernya itu laksana kumbah dilarik, dan bahunya itu seperti sampiran, dan lengannya itu laksana destar gulung dan jarinya itu seperti duri landak dan dadanya itu umpama lengkung pelangi. Susunya itu seperti telur burung, dan pinggangnya bunga setangkai, dan pahanya seperti paha belalang dan betisnya laksana batang padi, dan sikapnya seperti merak mengigal.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 90)
Selain itu, Inderaputera turut digambarkan mempunyai rupa paras yang elok yang diibaratkan umpama bulan purnama yang gilang-gemilang cahayanya.
“Hatta maka kelihatanlah seperti bulan purnama gilang-gemilang cahaya mukanya itu. Maka Raja Talela Syah pun hairan melihat rupanya Inderaputera itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 146)
Secara keseluruhannya, Hikayat Inderaputera ini mempunyai pemikiran yang sangat terkesan daripada kepercayaan ajaran Hindu yang sekali-sekala diselitkan oleh pengarang dengan unsur-unsur Islam. Sehubungan dengan itu, hampir keseluruhan hikayat ini diselitkan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan kehebatan watak utamanya, iaitu Inderaputera.
5.0 Falsafah dalam Hikayat Inderaputera
Falsafah dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Berfalsafah pula ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran.
Tujuan falsafah adalah untuk mencari kebenaran tentang sesuatu permasalahan dengan cara berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu akan menjadi persoalan falsafah apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah dan pengamatan sains. Persoalan falsafah juga biasanya melibatkan perkara-perkara yang abstrak seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara rumusannya, falsafah merupakan suatu pemikiran yang amat mendalam dan menyeluruh terhadap sesuatu perkara dalam usaha mencari kebenaran.
5.1 Kepentingan Falsafah
Falsafah mempunyai kepentingan yang tersendiri. Antaranya ialah seperti di bawah:
i) Menjadi Panduan dan Landasan dalam Membuat Keputusan
Dalam membuat sesuatu keputusan, seseorang itu perlulah mempunyai pendirian berdasarkan falsafah yang dipegang tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Keputusan yang dibuat juga harus memenuhi keperluan falsafah seseorang.
ii) Mempunyai Kefahaman yang Mendalam dan Sistematik
Falsafah membantu seseorang memahami apa yang sedang berlaku dalam pelajaran. Seseorang yang ingin menceburi sesuatu bidang perlu menguasai bidang yang ingin diceburinya sedalam-dalamnya bagi membolehkan mereka berfikir secara mendalam dan sistematik tentang isu-isu intelek, asas pendidikan, dan kehidupan manusia.
iii) Stabil dan Bersifat Tetap
Falsafah adalah sebagai panduan buat seseorang. Seorang guru misalnya harus bersifat tekal terhadap apa-apa yang berlaku dalam atau di luar bilik darjah. Jika guru kerap kali menukar dan mengubah isi pelajaran, keadaan ini mungkin akan mengelirukan para pelajar.
5.2 Falsafah Teologi Islam (Ketuhanan)
Menurut Theologi Surakarta (2013), istilah teologi Islam terdiri dari dua pengertian tersendiri, iaitu teologi dan Islam. Apabila keduanya diketahui pengertian secara komperhensif kemudian dikaitkan satu sama lain maka lahirlah pengertian yang utuh tentang Teologi Islam secara jelas dan argumentatif. Islam dalam aspek teologi Islam adalah agama yang menuntut sikap ketundukan dengan penyerahan dan sikap pasrah, disertai sifat batin yang tulus, sehingga perkara penting yang terkandung dalam Islam ada dua iaitu pertama berserah diri, merendahkan diri serta taat sepenuh hati dan kedua masuk dalam al-Salam, iaitu selamat sejahtera dan damai hubungan yang harmonis.
Falsafah teologi secara mudahnya merupakan sebuah bidang yang membincangkan falsafah mengenai ketuhanan. Berdasarkan karya agung iaitu Hikayat Inderaputera, falsafah teologi ini jelas ditonjolkan oleh watak-watak yang wujud dalam hikayat tersebut seperti Inderaputera, Nobat Rum Syah, Raja Bikrama Buspa, Raja Syahian dan ramai lagi. Watak-watak tersebut jelas mengamalkan ajaran agama Islam, patuh serta percaya dengan kewujudan Allah. Inderaputera mengatakan kepada Nobat Rum Syah bawa dia tidak layak menerima pujian kerana segala pujian itu hanyalah kepada Allah dan bukan kepada hambanya. Selain itu, Raja Bikrama Buspa juga percaya bahawa sebagai hamba hanya kepada tuhan tempat memohon pertolongan. Hal ini jelas dibuktikan apabila putera baginda dibawa lari oleh seekor merak emas, baginda tidak lagi berada di istana tetapi duduk di dalam masjid dan berdoa kepada Allah supaya melindungi dan mengembalikan puteranya iaitu Inderaputera. Baginda yakin bahawa seorang hamba perlu bergantung sepenuhnya kepada kekuasaan Allah.
Peristiwa tersebut terbukti melalui petikan berikut:
"… Maka ujar Nobat Rum Syah, "Hai saudaraku Inderaputera, bahawa dunia sampai akhirat tuan hamba jadi saudaralah kepada hamba kerana tuan hamba menolong hamba menghapuskan kemaluan hamba kerana tiada adat daripada dahulu kala daripada nenek moyang hamba, jin kafir ke mari pada tempat hamba memberi makan kudanya, sebab inilah akan hamba maka jadi hamba berperang dengan Tamar Jalis itu. Maka sekarang saudara hamba yang menghapuskan malu hamba itu." Maka ujar Inderaputera, " Pujian itu hanya Tuhan sarwa sekalian alam juga, dan hamba ini sehingga jadi sebab juga."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 25)
"… Adapun diceretakan oleh orang yang empunya cereta ini bahawa selama Inderaputera diterbangkan oleh merak emas itu maka Paduka Syah Alam pun tiada di dalam istananya lagi. Hanya baginda duduk dalam masjid dengan segala pendeta juga meminta doa akan anakanda baginda itu Inderaputera…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 222)
5.3 Falsafah Etika
Falsafah etika membincangkan falsafah berkaitan moral yang memberikan tumpuan kepada tingkah laku individu dalam kehidupan. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Secara jelasnya, etika bermaksud satu ukuran dan piawaian yang digunakan untuk membezakan kelakuan seseorang sama ada baik atau buruk, menyenangkan atau tidak menyenangkan. Jadi falsafah etika atau moral ialah satu cabang ilmu falsafah yang secara khusus membincangkan perkara yang dikatakan tingkah laku yang baik dan tingkah laku yang buruk dan turut membincangkan hal-hal moral, adab dan nilai dalam tingkah laku manusia.
Berdasarkan Hikayat Inderaputera, terdapat tingkah laku baik dan tingkah laku buruk yang diceritakan dalam karya tersebut. Hikayat tersebut menceritakan kisah manusia dan jin. Watak-watak yang dipegang oleh manusia kebanyakannya mempunyai tingkah laku yang baik, manakala watak jin pula terbahagi kepada dua iaitu jin Islam dan jin kafir. Jin Islam merupakan jin yang mempunyai tingkah laku baik manakala jin kafir mempunyai tingkah laku yang buruk. Tingkah laku baik yang ditunjukkan oleh Inderaputera adalah baginda sanggup menolong sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan dan seorang yang mengenang jasa. Peristiwa tersebut dapat dilihat melalui petikan berikut :
"…Maka dilihat oleh Inderaputera Perdana Menteriduduk masyghul itu maka fikir Inderaputera di dalam hatinya, ' Kerana Perdana Menteri itu banyak kasihnya padaku akan pekerjaan ini di atas batu kepala Perdana Menteri juga tertanggung. Jikalau demikian baiklah nyawaku akan balasnya.' Setelah sudah fikirnya itu maka Inderaputera pun berkata pada Perdana Menteri, "Ya Tuanku Perdana Menteri janganlah tuan hamba bercinta lagi. Adapun hambalah pergi ke sana kepada Berma Sakti itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 14)
Sementara itu, tingkah laku yang buruk jelas ditonjolkan oleh watak jin kafir yang bernama Tamar Jalis. Tamar Jalis tanpa meminta izin telah membawa kudanya makan di kawasan Nobat Rum Syah. Peristiwa tersebut dapat dilihat dalam petikan berikut:
"… Seketika berkata maka Tamar Jalis pun datanglah dengan segala kaumnya dan bertemu dengan Nobat Rum Syah. Maka kata Nobat Rum Syah, "Hai Tamar Jalis, ke mana engkau datang dengan segera ini?" Maka sahut Tamar Jalis," Aku hendak memberi makan kudaku pula pada tempat ini." Setelah didengar oleh Nobat Rum Syah maka kata Nobat Rum Syah," Tiada patut demikian. Perintah ini daripada nabi kita dahulu pada tempatnya juga ada dengan masing-masing."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 23)
5.4 Falsafah Bahasa
Menurut Von Humboldt, iaitu seorang sarjana Jerman, bahasa didefinisikan sebagai sintesis bunyi (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Namun demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk pengetahuan yang lebih unggul.
Menurut Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran dalam setiap aspek yang ingin dikaji.
Berdasarkan karya agung yang dikaji iaitu Hikayat Inderaputera, pengarang menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa bertujuan untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca. Antaranya ialah gaya bahasa hiperbola, simile serta turut menggunakan ayat yang panjang dan meleret-leret. Contoh ayat yang panjang dan meleret-leret adalah seperti berikut:
"… Maka Inderaputera pun menyembah seraya berbangkit lalu mengunuskan pedangnya seraya melompat menggertakkan kudanya lalu dipermain-mainnya terlalu indah lakunya bermain-main itu seperti merak mengigal di atas talam…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 201)
5.5 Falsafah Kekuasaan
Falsafah kekuasaan juga turut terdapat dalam karya agung Melayu. Kekuasaan ini membawa makna kepada pengaruh yang dimiliki oleh seseorang khususnya pemerintah atau golongan raja. Falsafah kekuasaan dalam sesebuah karya agung selalunya ialah melibatkan kuasa seorang raja dan pemerintah. Hal ini demikian kerana kedudukan raja merupakan kedudukan yang tertinggi dalam sistem organisasi sosial sebuah kerajaan khususnya zaman dahulu. Oleh itu, kuasa raja amat besar dan raja merupakan seorang yang sangat berpengaruh. Berdasarkan Hikayat Inderaputera, pengarang jelas memperlihatkan kekuasaan golongan raja dan pemerintah sama ada dalam bangsa manusia atau jin serta dewa. Selain itu, kekuasaan tersebut turut diperkuatkan lagi dengan kesaktian yang dimiliki oleh golongan tersebut. Kekuasaan yang dimiliki oleh Inderaputera dapat dilihat dalam petikan berikut:
"… Maka ujar oleh Malik Zainab, ' Hai orang muda, jika ada kasihan tuan hamba akan hamba orang yang miskin ini berilah air itu keluar balik seperti sedia kala. Maka hamba taruh perjanjian dengan tuan hamba. Jika berair kolam ini seperti dahulu, maka hamba dengan segala harta hamba ini semua sekali pulang akan tuan hamba."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 104)
"…Sebermula maka tersebutlah perkataan Inderaputera tatkala ia berjalan seorang dirinya hendak pergi ke rumah Nenek Kebayan. Maka Inderaputera pun dibunuh oleh anak raja-raja yang kesepuluh orang itu. Maka Inderaputera pun matilah. Setelah sudah mati lalu diambil oleh anak raja-raja itu cembul yang berisi gemala. Maka anak raja-raja itu pun segeralah kembali. Hatta maka isteri Inderaputera ketiganya keluarlah dari dalam cembul mutiara itu. Maka lalu ia memakai cara laki-laki. Maka keluarkannya Bedi Zahar itu. Maka lalu disapukannya tubuh Inderaputera itu. Maka ia pun hiduplah dengan tolong Tuhan Yang Maha Besar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 201)
6.0 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Hikayat Inderaputera
Nilai merupakan satu konsep yang dijadikan asas oleh masyarakat untuk melihat , mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara, darjat, mutu, kualiti dan taraf perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok orang sebagai baik, berharga dan bernilai.
Budaya pula adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok orang, serta diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk dari banyak unsur yang rumit, termasuklah sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan, dan karya seni. Jadi, budaya adalah elemen yang membezakan manusia daripada hidupan lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi. Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal manusia. Budaya dalam pengertian biasa ialah suatu cara hidup manusia dan membawa makna yang sangat luas. Dengan prinsip bahawa budaya itu dicipta oleh manusia, maka budaya itu perlu dan dihasilkan oleh manusia itu sendiri bagi keperluan hidup.
Dari sudut etimologi, perkataan “budaya” berasal dari akar kata yang tersusun daripada dua perkataan yang terpisah iaitu “budi” dan “daya”. Kalimah “budi” bererti cahaya atau sinar yang terletak di dalam batin manusia. Perkataan “daya” bertalian dengan upaya, iaitu usaha, keaktifan manusia melaksanakan dengan anggotanya apa yang digerakkan oleh budinya. Manakala dari pandangan Inggeris, istilah budaya disebut culture berasal dari perkataan latin colere yang bermaksud menyedia dan mengerjakan tanah atau menanam.
Oleh itu, nilai budaya dapat disimpulkan sebagai nilai-nilai yang disepakati dan tertanam dalam suatu masyarakat, organisasi, dan lingkungan masyarakat. Nilai budaya itu juga menjadi acuan tingkah laku sebahagian besar anggota masyarakat yang bersangkutan, berada dalam alam fikiran mereka dan sukar untuk diterangkan secara rasional.
Pandangan hidup pula merupakan suatu pendapat atau ketetapan yang dijadikan pegangan , pedoman, arahan dan petunjuk hidup dan suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu , bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Nilai budaya dan pandangan hidup yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat dalam dua aspek, iaitu aspek adat resam dan juga sikap masyarakat yang terdapat dalam hikayat tersebut.
6.1 Adat Resam
6.1.2 Adat Perkahwinan
Adat istiadat perkahwinan bagi putera atau puteri adalah menjadi satu upacara rasmi bagi raja dan kerajaan. Sememangnya adat perkahwinan akan disambut meriah dengan penuh adat istiadat dari zaman kuno lagi. Terdapat unsur-unsur kebudayaan dalam perkahwinan yang berjalan mengikut peringkat dan adat resam. Adat ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh hari empat puluh malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis akad nikah. Sambutan perkahwinan Diraja disambut dengan meriah sekali.
Sebagai contoh ketika majlis perkahwinan Raja Dewa Lela Mengerna dengan Nabat Rum Syah. Mereka dihiaskan dengan pakaian yang serba keemasan bertatahkan permata.
Demikian setelah sudah lengkap maka Raja Dewa Lela Mengerna pun dihias orang dengan pakaian serba keemasan bertatahkan mutu manikam. Maka terkembanglah payung kerajaan dan berdirilah segala panji-panji yang keemasan dan cogan alamat kerajaan pun terdirilah. Maka Inderaputera dan Nabat Rum Syah memacu segala gajah dan kuda, seketika dipacukan kudanya mengatur segala tunggul dan panji-panji. Maka berbunyilah segala bunyi bunyian, gendang, gong, serunai, nafiri, terlalu ramai.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 68)
6.1.2 Adat Menjamu Hidangan Diraja
Dalam Hikayat Inderaputera ini, kita dapat melihat bagaimana adat menjamu hidangan diraja. Mereka begitu mengutamakan tetamu dengan menyediakan hidangan makanan, minuman dan mengedarkan piala yang bertatahkan ratna mutu manikam. Sirih juga merupakan salah satu makanan keutamaan bagi golongan diraja. Semasa menjamu hidangan juga, para tetamu dihiburkan dengan nyanyian dan alat muzik tradisional. Antara contoh petikan teks adat menjamu hidangan diraja dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
"…Maka Inderaputera pun memberi hormat kepada tuan puteri seraya duduk di atas peterana yang keemasan, diadap oleh segala bidadari dan segala dayang- dayang.
Maka karas emas yang bertatahkan ratna mutu manikam itu pun disuruh tuan puteri diunjukkan oleh bidadari itu kepada Inderaputera seraya berkata, “Santaplah tuanku sirih.”
Maka disambut oleh Inderaputera lalu dimakannya. Maka hidangan nasi pun diangkat oranglah ke hadapan Inderaputera dan Tuan Puteri Kemala Ratnasari…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 51)
6.1.3 Adat Berpakaian Orang Besar
Pakaian juga melambangkan adat dan budaya masyarakat dalam Hikayat Inderaputera. Cara berpakaian orang besar dalam Hikayat Inderaputera kebanyakannya mereka dipakaikan pakaian yang serba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam ( permata ). Cara berpakaian sangat penting bagi memberi kehormatan kepada orang-orang yang tertentu. Contoh petikan teks adat berpakaian orang besar dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
"Setelah genap harinya maka Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun dihias dengan selengkapnya pakaian ser(i)ba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam. Maka rupa Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun bercahaya-cahaya, gilang-gemilang seperti bulan purnama empat belas hari. Bermula maka Inderaputera pun dihias oleh Nabat Rum Syah dengan berpakaian selengkapnya serba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 29)
Apabila adanya adat berpakaian orang besar, hal ini menunjukkan bahawa golongan pemerintah mempunyai tahap kebesarannya. Sikap dan pandangan hidup mereka banyak dipengaruhi dengan tradisi pemakaian diraja. Jadi, sebahagian besarnya cara berpakaian mereka yang dilengkapi keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Ia sangatlah bersesuaian dengan pangkat seseorang dalam negara.
6.1.4 Adat Memberi Persalinan
Adat persalinan ini diadakan kepada utusan. Persalinan merupakan pakaian akan diberikan kepada utusan mengikut darjat dan gelaran. Maka terserlah gambaran yang jelas tentang budaya dan pandangan hidup masyarakat dalam Hikayat Inderaputera situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
"Setelah sudah maka Raja Mujtadar Shah memberi persalin pakaian keemasan akan Inderaputera, dan Nabat Rum Syah, dan segala raja-raja dengan segala menteri dan hulubalang, abantara sekalian semuanya diberi persalin. Setelah antaranya berapa hari, maka Nabat Rum Syah pun bermohonlah kepada Raja Mujtadar Syah hendak pulang ke negerinya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 69)
6.1.5 Adat Menyembah Raja
Raja merupakan tunggak utama dalam sistem pemerintahan. Mengikut adat menyembah raja, seseorang hendaklah duduk atau bertelekukan lutut sebelah kanan dan kaki kiri dijelepokkan. Istiadat yang dilakukan oleh pembesar menandakan hormat dan taat setia kepada raja. Situasi di bawah telah menunjukkan adat menyembah raja:
"Maka Raja Dewa Lela Mengerna dan Nabat Rum Syah pun menyembah Raja Gohar Hinis. Maka disambut baginda seraya dipermuliakan dengan seribu kemuliaan kedua anak raja itu, maka didudukkannya di atas kerusi yang keemasan. Maka sirih pada jorong emas pun dibawa oranglah ke hadapan anak raja kedua itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 137)
Jadi, apabila adanya adat menyembah raja, maka masyarakat pada zaman itu sangat berpegang pada pandangan hidup tidak boleh menderhakai raja. Waad merupakan kontrak sosial antara Raja Shahian dengan perdana menteri, segala menteri-menteri dan rakyat. Jika waad dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. Waad merupakan suatu kontrak atau perjanjian antara golongan pemerintah dengan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian yang bertimbal balik. Contohnya, rakyat tidak menderhaka dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja dan sekiranya tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana. Perkara ini selaras dengan ajaran Islam, iaitu rakyat perlu taat dan patuh kepada raja selagi mana perintah raja tidak bertentangan dengan syariat.
Sebagai contoh petikan menunjukkan permintaan Raja Syahian yang meminta perdana menteri, segala menteri dan rakyat mencari seseorang yang sanggup ke Berma Sakti bagi mendapatkan ubat beranak. Walaupun permintaan ini agak sukar dan membahayakan seseorang itu untuk sampai ke Berma Sakti namun perdana menteri terpaksa akur dengan perintah raja. Sekiranya mereka tidak memenuhi permintaan raja, mereka akan dihukum bunuh.
"Maka segala menteri dan hulubalang masing-masing pulang ke rumahnya, maka hari pun malamlah. Setelah esok harinya maka Raja Syahian pun keluar diadap orang di atas sehinggasana kerajaan diadap segala menteri dan hulubalang dan rakyat sekalian, maka titah baginda kepada segala menteri, “Hai segala menteriku, sekarang apa bicaramu sekalian; baik kamu carikan aku akan ubat beranak karena sangat hasyratku hendak beranak.”
"Maka sembah segala menteri, “Ya tunku Syah Alam, patik sekalian mohonkan ampun kepada ke bawah duli tuanku; patik minta janji empat puluh hari patik bicarakan seperti hasyrat Syah Alam itu.”
"Maka titah baginda, “Baiklah, kunanti seperti katamu itu, jikalau tiada, nescaya kamu sekalian kubunuh.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 12)
6.1.6 Adat Kelahiran
Situasi yang menggambarkan semasa menyambut kelahiran Inderaputera, iaitu putera Raja Bikrama Bispa. Raja juga telah meminta orang memalu bunyi-bunyian seperti adat segala raja-raja berputera.
"Hatta berapa lamanya Raja Bikrama Bispa dalam kerajaan, maka isteri Raja Bispa yang bernama Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun hamillah. Setelah berapa lama antaranya genap bulannya pada ketika yang baik, pada empat belas hari bulan ketika dini hari maka tuan puteri pun menyakit hendak beranaklah seorang laki-laki terlalu amat baik rupanya seperti matahari baharu terbit, gilang-gemilang rupanya.
Setelah demikian maka baginda pun terlalu amat sukacita melihat anakanda baginda itu. Maka raja pun menyuruh orang memalu bunyi-bunyian seperti adat segala raja-raja berputera. Demikianlah maka dinamai akan anakanda itu Inderaputera."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 4)
Kelahiran merupakan saat-saat yang penting dalam kehidupan berkeluarga. Oleh itu, sikap dan pandangan hidup mereka sangat mementingkan zuriat sebagai pewaris takhta terutamanya dengan kelahiran anak lelaki. Kelahiran harus ditandai dengan upacara adat. Contohnya, apabila bayi dilahirkan, diadakan adat segala raja-raja berputera seperti memalu bunyi-bunyian. Selain itu, sebagai tanda kesyukuran Raja akan mengeluarkan sedekah seperti memberi emas dan perak kepada fakir dan miskin.
6.2 Sikap Masyarakat
6.2.1 Kemesraan.
Nilai ini dapat dilihat dalam watak Nenek Kebayan yang melayan Inderaputera seperti anak sendiri meskipun tidak pernah mengenalinya sebelum ini.
“Maka ujar inderaputera “Akulah anak raja bikrama Buspa dan namaku inderaputera. Adapun sebabnya kemari ini diterbangkan oleh merak emas. Dan segala hal ehwal sekaliannya diceritakan. Maka ujar nenek kebayan, Mahukah cucuku duduk bersama hamba? Baiklah nenekku: ke mana lagi hamba hendak membawa diri hamba lagi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5-6)
6.2.2.2 Kasih sayang.
Nilai budaya kasih sayang dapat dilihat menerusi watak Nenek Kebayan yang terlalu kasih kepada Inderaputera sehingga tidak membenarkan Inderaputera tinggal bersama Perdana Menteri.
“Setelah sudah maka kata perdana menteri, “hai nenek kebayan, biarlah inderaputera itududuk di sini. Maka ujar nenek kebayan, Ya Tuanku Perdana Menteri, seketika pun tiada dapat patik bercerai dengan cucunya hamba.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7-8)
6.2.3 Menghormati orang tua.
Pengarang menerapkan nilai ini sebagai pegangan hidup masyarakat dalam Hikayat Inderaputera menerusi perwatakan Nobat Rom Shah yang meminta keizinan daripada ayah dan bondanya sebelum keluar mengembara.
“Maka Nobat Rom Shah pun pergi bermohon kepada ayah bondanya pula. Maka ujarnya. “Hai anakku suatu pekerjaanmu janganlah lupakan akan Tuhan yang Maha Besar.” Maka Nobat Rom Shah pun mnyembah kaki ayah bondanya lalu ia berjalan dengan segala hulubalang menterinya dan rakyat bala tenteranya sekalian dan beberapa lamanya sampailah ia ke padang Belantara Hairani.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 52)
7.0 Kepengarangan dan Estetika dalam Hikayat Inderaputera
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2004), kepengarangan merupakan aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang iaitu kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Bagi menghasilkan teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing, pengarang haruslah mempunyai prinsip keperibadian yang tersendiri. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris (2016), mentakrifkan kepengarangan sebagai satu mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati diri seseorang pengarang itu. Kepengarangan terbina daripada aspek pengolahan iaitu pengarang berusaha mencipta teks yang mempunyai pembaharuan atau melanggar apa yang telah sedia ada. Seterusnya, pengarang beristiqamah dengan penciptaannya sehingga memiliki kepengarangannya sendiri (Mana Sikana, 2004 dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris, 2016).
Menurut Rahman Shaari (2001), estetika bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera. Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris (2016) pula mentakrifkan estetika berhubung dengan aspek keindahan, iaitu yang terdapat pada struktur, pengolahan dan teknik penulisan. Estetika kebiasaannya dikaitkan dengan gaya bahasa dan teknik keindahan. Gaya bahasa atau teknik mengindahkan bahasa digunakan oleh pengarang supaya pengolahannya kelihatan lebih menarik dan lebih difahami maknanya dan memberi kesan emosi kepada pembaca. Estetika atau gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan buah fikiran dan perasaan seseorang penulis.
7.1 Kepengarangan dalam Hikayat Inderaputera
Terdapat beberapa unsur kepengarangan yang telah ditonjolkan oleh pengarang kepada pembaca. Antaranya ialah kepengarangan unsur mitos, unsur ketuhanan, unsur keperwiraan dan unsur istana.
7.1.1 Unsur Mitos
Hikayat Inderaputera banyak mengandungi unsur khayalan dan mitos seperti unsur ghaib, kekuasaan yang dimiliki oleh perwira dan banyak lagi. Unsur mitos merupakan unsur yang penuh dengan kesaktian dan magis. Unsur mitos digunakan oleh pengarang bagi menunjukkan kelebihan dan kekuasaan yang ada dalam diri seorang perwira. Antara unsur mitos yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera ialah unsur ghaib. Unsur ghaib dijadikan unsur kekuasaan yang dimiliki oleh individu yang membolehkannya hilang dari pandangan mata. Individu yang memiliki kuasa ghaib ini dianggap luar biasa. Contohnya:
"Maka Tamar Jalis pun ghaib ke udara seribu kesakitan dirasanya daripada sangat darab perang, Inderaputera itu ia datang menolong Nobat Rom Syah."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 22)
Selain itu, dalam Hikayat Inderaputera terdapat juga mitos unsur kuasa yang tidak mungkin dimiliki oleh manusia. Dalam dunia sebenar, apabila tubuh badan manusia cedera maka akan mengeluarkan darah. Namun dalam hikayat ini apabila manusia dicederakan, tubuh badannya akan berasap dan mengeluarkan api. Contohnya:
"Setelah itu maka Raja Dewa Mengerna pun memanah Inderaputera berasap keluar api memancar-mancar ke udara dan Inderaputera pun memanah Raja Dewa Lela Mengerna. Maka kena tubuhnya demikian juga keluar api memancar-mancar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 54)
Pengarang banyak menyelitkan unsur-unsur mitos yang tidak logik dan tidak dapat diterima oleh akal manusia tetapi unsur mitos ini juga telah menjadikan jalan cerita hikayat ini lebih menarik dan kelihatan hidup.
7.1.2 Unsur Ketuhanan
Pengarang memperkenalkan watak utama iaitu Inderaputera sebagai seorang pengembara yang mencari kebenaran Ilahi. Dalam pengembaraan, beliau tidak pernah lupa akan kekuasaan Tuhan. Dalam setiap perkara yang dilakukan, Inderaputera sentiasa menyebut dan mengingati bahawa setiap kejadian berlaku dengan keizinan daripada Tuhan. Sebagai contoh:
"…Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Tuhan Yang Mahabesar yang telah menghidupkan tuan-tuan sekalian itu tetapi hamba ini menjadi sebabnya juga.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 90)
Berdasarkan petikan di atas, Inderaputera mempunyai kuasa untuk menghidupkan orang yang telah mati. Kuasa yang dimiliki tidak menjadikan Inderaputera sebagai seorang yang bongkak dan bangga diri, malah Inderaputera bersikap rendah diri apabila mengakui bahawa kejadian yang berlaku adalah dengan izin Tuhan Yang Maha Besar dan dia hanyalah sebagai perantaraan.
7.1.3 Unsur Keperwiraan
Pengarang juga banyak memperlihatkan unsur keperwiraan dalam watak utama, Inderaputera. Keistimewaan dalam diri Inderaputera terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga dewasa. Kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki oleh Inderaputera membolehkannya membunuh seekor raksasa sedangkan tubuh raksasa adalah lebih besar berbanding tubuh manusia. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan petikan di bawah:
"Maka Inderaputera pun bertempik seraya diparangnya Gherakas itu penggal dua lalu rebah mati."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 93)
Selain memperlihatkan unsur keperwiraan, pengarang turut menyelitkan kisah masyarakat dan golongan atasan yang amat menyanjung seorang wira yang berjaya melepasi pelbagai rintangan serta sentiasa memberikan bantuan terhadap golongan yang memerlukan pertolongan. Unsur keperwiraan yang dimiliki oleh Inderaputera disenangi oleh semua orang. Malah, ada pihak yang menghantarkan perutusan untuk meminta pertolongan. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan petikan di bawah:
"Maka segala mereka itu pun hairan melihat kelakuan Inderaputera membunuh Gherakas itu yang amat hairan. Maka Raja Talela Syah pun segeralah datang memeluk mencium akan Inderaputera."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 140)
7.1.4 Unsur Istana
Hikayat Inderaputera merupakan cerita yang mengisahkan tentang kehidupan golongan raja. Hikayat Inderaputera banyak memperlihatkan penggunaan bahasa istana. Bahasa istana merupakan bahasa yang sangat lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa ini dapat mengindahkan lagi jalan cerita kehidupan golongan raja. Hikayat Inderaputera terdiri daripada Inderaputera sebagai anak raja dan juga watak-watak lain yang terdiri daripada golongan istana. Bahasa istana digunakan dalam pertuturan seharian mereka kerana bahasa ini merupakan bahasa rasmi golongan istana. Bahasa istana yang digunakan dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat berdasarkan contoh berikut:
"…Maka baginda pun menyuruhkan empat orang menteri mengalu-alukan anak raja kedua itu. Maka menteri itu pun bertemulah dengan Raja Dewa Lela Mengerna dan Nobat Rom Syah serta ia memberi hormat kepada kedua orang anak raja itu seraya berkata, “Segeralah tuan hamba dipersilakan oleh baginda.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 122)
Dalam ayat di atas, bahasa istana yang digunakan ialah baginda dan tuan hamba. Seterusnya, pengarang juga menonjolkan unsur kemewahan dan kekayaan golongan raja-raja dan juga golongan istana. Kekayaan yang dimiliki oleh golongan ini ditunjukkan dalam ayat di bawah:
"… Inderaputera pun berjalanlah pula pada selapis pagar jala-jala itu daripada tembaga suasa dan pintunya itu daripada emas sepuluh mutu dan berbagai-bagai pula perbuatannya yang indah-indah rupanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 40)
Dalam ayat di atas, unsur istana ditonjolkan melalui kemewahan yang dimiliki oleh golongan raja. Pengarang telah menonjolkan kemewahan melampau yang dimiliki golongan raja sehinggakan pintu pagar istana turut dibina dengan menggunakan tembaga dan emas yang tinggi nilainya. Kemewahan dan kekayaan yang melampau ini mustahil dapat dilihat di dunia nyata.
7.2 Estetika atau Gaya Bahasa
Terdapat beberapa unsur estetika atau keindahan iaitu gaya bahasa yang cuba diketengahkan oleh pengarang kepada pembaca. Antaranya ialah gaya bahasa simile, personifikasi, anafora, antitesis, oksimoron, aliterasi dan asonansi.
7.2.1 Simile
Simile merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan unsur-unsur perlambangan dan ditandai dengan bak, laksana, seperti, bagai, laksana, umpama dan sebagainya. Antara contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
"Maka diperbuat oleh pandai kayu itu seekor ikan terlalu indah-indah rupanya seperti rupa ikan yang benar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 6)
"Maka ujar bayan itu, “Tiadakah ghairat hari tuanku mendengar khabar Tuan Puteri Ratna Serigading, timang-timangannya Tuan Puteri Cenderalela Nurlela di Padang Anta Berahi di atas mahligai yang keemasan bertatahkan mutu manikam, terlalu elok rupanya, rambutnya seperti cincin dituang, dahinya bagai sehari bulan, keningnya bagai ditaji dibentuk, matanya bagai timur, hidungnya bagai kuntum melur, telinganya bagai telepok layu, pipinya bagai pauh dilayang, bibirnya bagai pati dicarik, giginya bagai delima merekah, lidahnya bagai cerana diupam, dagunya bagai awan bergantung, lehernya bagai kumba dilarik, bahunya bagai bahu wayang, lengannya bagai panah dibentur, jarinya bagai duri landak, susunya bagai telur burung, dadanya bagai antaran hanyut, pinggangnya bagai tangkai bunga, pahanya bagai paha belalang, betisnya bagai bunting padi, tapaknya bagai dua jari hujung”."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)
"Maka kata bayan itu, ‘Patut sekali dengan tuanku, seperti bunga kembang sekaki, kembangnya tidak nirmala lagi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)
7.2.2 Personifikasi
Menurut Corbett dan Connors dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012), personifikasi bermaksud menerangkan objek bukan manusia dengan sifat manusia. Personifikasi juga ditakrifkan sebagai sesuatu yang memberi unsur manusia atau benda hidup kepada bukan benda hidup atau tidak bernyawa. Contohnya:
"Maka ikan kayu itu pun tertawa dan berenang dalam air itu, berpantun dan berseloka."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 6)
"Maka dilihat baginda terlalu ajaib indah-indah rupanya merak itu. Maka ditaruh baginda di atas talam emas, maka merak itu pun mengigal di atas talam itu seraya berpantun dan berseloka."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7)
7.2.3 Anafora
Menurut Corbett dan Connors dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) juga, anafora merujuk kepada pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berurutan. Anafora digunakan bagi menghasilkan kesan emosi yang kuat. Contohnya adalah seperti berikut :
"Maka ia pun berjalan pula beberapa melalui hutan dan padang. Maka Inderaputera pun bertemu dengan binatang berbagai-bagai rupanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 78)
7.2.4 Antitesis
Menurut Umar Junus dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012), antitesis boleh ditafsirkan sebagai bentuk peletakan dua ayat atau kata yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan. Contohnya perkataan ayah dan bonda yang membawa maksud berbeza tetapi diletakkan secara berdampingan dalam ayat. Begitu juga tuan dan hamba serta makan dan minum.
"Maka Inderaputera mengucap syukur akan dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’la akan ayah bondanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 20)
“… tahukah akan tuan hamba jauhnya mahligai Tuan Puteri itu..”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 67)
“…dihadap oleh segala menteri hulubalang dan bala tenteranya sekalian dengan makan minum…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 83)
7.2.5 Paralelisme
Paralelisme merujuk kepada kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris, 2012). Berdasarkan contoh di bawah, dapat dilihat wujudnya kesamaan struktur bagi contoh pertama yang menyenaraikan pelbagai jenis alat muzik, manakala contoh dua pula menyenaraikan pelbagai jenis binatang.
“… bunyi-bunyian pun berbunyilah daripada harebab, kecapi, dandi, muri, serdam, mendali, kopak, ceracap,bangsi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 91)
“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 118)
7.2.6 Aliterasi
Aliterasi merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi konsonan yang sama pada awal kata dan yang berturutan waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden waima kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:
“Apa ketupat padi Dang Nilam,
Temu-temu parang lengkuas,
Apa ubat hati yang dendam,
Sukar bertemu makanya puas,”
“Ke padang rimba raya,
Kumbang menyeri pekan sutera,
Kepada pemandangan sahaya,
Sedang akan isteri Inderaputera.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 121)
Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan aliterasi dapat dilihat dalam pengulangan huruf ‘t’ dan ‘m’ dalam beberapa perkataan.
7.2.7 Asonansi
Asonansi adalah gaya bahasa pengulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif ata bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa asonansi dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:
Utar-utar di atas pintu,
Sarung keris sudah dirapat,
Orang sukar sahaja begitu,
Orang arif maka mendapat.
Telak empelas di dalam padi,
Menteri duduk berdagang gelang,
Tidaklah belas hati tuan puteri,
Melihat dagang terulang-ulang.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 97)
Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan asonansi dapat dilihat dalam pengulangan huruf ‘a’ dan ‘e’ dalam beberapa perkataan.
8.0 Nilai Ilmu dalam Hikayat Inderaputera
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) juga memberikan definisi terhadap ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Oleh itu dapat dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat.
Terdapat beberapa jenis nilai ilmu yang dapat dilihat dalam karya agung Melayu Hikayat Inderaputera, antaranya:
8.1 Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan bacaan jampi serapah. Manakala perdukunan pula membawa maksud berubat cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun. Ilmu dukun ini dikatakan mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama disebut sebagai kaahin iaitu si pendukun, kedua ialah mutakaahin iaitu peminta atau pesakit yang berjumpa dukun dan yang terakhir ialah mahkuun iaitu kepada siaoa dukun itu ditujukan.
Menurut Neil Turnbull (1999:32), dukun merupakan titik hubungan ghaib antara dunia roh dengan dunia manusia. Kelompok orang istimewa yang mampu membaca dan menggunakan bahawa ghaib dari dunia roh ini dikenal sebagai dukun. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Mereka beranggapan perkara-perkara atau benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Oleh itu wujudlah pemujaan atau penyembahan terhadap benda-benda seperti batu, pokok, sungai, gunung dan lain-lain. Hanya dukun, pawang dan ahli nujum sahaja dikatakan mampu melakukan perkara ini. Tindakan ini dianggap berperanan untuk mengembalikan keadaan seperti asal.
Dalam Hikayat Inderaputera, Inderaputera telah berkhidmat kepada Raja Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung Mali Kesna untuk mendapatkan ubat bagi memperoleh anak. Hal tersebut telah menyebabkan golongan istana mempercayai kehebatan dukun ini. Raja Syahian percaya dukun yang berada di atas Gunung Mali Kesna dapat memberikan ubat kepada baginda untuk memperoleh anak. Disebabkan keinginan baginda yang terlalu tinggi dan mendesak, baginda mengarahkan mana-mana rakyatnya yang sanggup ke gunung berkenaan untuk mengambil ubat walaupun dikatakan tiada orang mampu pulang dengan selamat.
"Maka ujar perdana menteri, “Ada hamba mendengar daripada nenek moyang hamba tatkala itu hamba lagi kecil, ada diwartakan orang pada Gunung Mali Kesna namanya, ada seorang maharesi bertapa pada gunung itu bernama Berma Sakti. Baginda itu terlalu amat sakti, jika ada raja-raja sakit atau hendak beranak maka pergi menyuruh kepada baginda itu minta ubat, nescaya sembuh sakitnya dan beroleh anak...”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 13)
Berma Sakti telah memberikan bunga tunjung putih kepada Inderaputera, kemudian Inderaputera menyerahkan kepada Raja Syahian sebagai ubat memperoleh anak. Kesaktian bunga tunjung putih dapat dilihat setelah permaisuri memakan sayur bunga tunjung putih itu, kemudian permaisuri Raja Syahian telah hamil.
"Maka Raja Syahian pun masuk ke dalam istana. Maka setelah berapa lamanya maka permaisuri pun hamillah. Maka Raja Syahian pun terlalu sukacita melihat permaisuri hamil itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 187)
Selain itu, Inderaputera juga dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Inderaputera telah diberi sehelai kain sutera puri oleh Dewi Lakpurba ketika berada sebuah negeri. Inderaputera diajar cara menggunakan kaun sutera tersebut untuk mengubat orang sakit.
"Maka kata Dewi Lakpurba kepada Inderaputera, “Hai cucuku, suatu pun tiada pemberiku kepada cucuku, hanyalah kain sutera ini juga. Adapun penggunaannya kain ini, jikalau ada orang sakit payah, jikalau hancur sekalipun tubuhnya, maka kain ini ditudungkan kepada tubuh orang sakit itu. Maka disiram dengan air mawar, nescaya sembuh sakitnya orang itu.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 193)
Ketika puteri kepada Raja Syahian iaitu Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga jatuh sakit, Inderaputera telah mengubatinya dengan menggunakan kain sutera itu. Ternyata Tuan Puteri sembuh. Sudah ramai dukun yang dibawa ke istana untuk mengubat penyakit yang dihadapi oleh Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga tetapi semuanya hampa. Raja Syahian telah memberi kebenaran untuk menjadi menantunya bagi sesiapa yang dapat memberi ubat kepada puterinya itu. Kehadiran Inderaputera telah memberi sinar baharu kepada Raja Syahian untuk melihat puterinya sembuh. Sekaligus Inderputera dikahwinkan dengan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga hari selepasnya.
"Maka Inderaputera pun masuklah ke dalam tirai peraduan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga. Maka Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga pun membuka matanya … Maka Inderaputera pun mengeluarkan kain sutera puri. Maka dilihat oleh Raja Syahian kain sutera puri itu terlalu halus rupanya seperti air embun."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 196)
8.2 Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Terdapat juga golongan istana yang menggunakan ahli nujum sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Ahli nujum dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain selepas membuat tilikan terhadap sesuatu, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika.
Dalam Hikayat Inderaputera banyak mempamerkan ilmu firasat. Antaranya ketika kelahiran Inderaputera, putera kepada Maharaja Bikrama Bispa dan Tuan Puteri Jumjum Ratradewi. Ahli nujum pada ketika itu dititahkan oleh baginda untuk menilik nasib kebesaran yang bakal diperoleh Inderaputera.
"Maka segala ahlunnujum pun melihat nujumnya dan menggerakkan kepalanya. Maka sembah segala ahlunnujum, “Ya tuanku Syah Alam, terlalu sekali berbahagia paduka anakanda itu dan memangku kerajaan yang maha besar. Adapaun tujuh tahun juga paduka anakanda itu dapat bersama-sama dengan tuanku. Kemudian dari itu bercerailah paduka anakanda dengan tuanku, beberapa paduka anakanda itu melihat kekayaan Allah Subhanahu wa Ta’ala Tu(h)an yang Maha Tinggi; dan jangan paduka anakanda itu tuanku beri bermain binatang, karena sebab paduka anakanda bermain binatang itu jadi beroleh bencana, bercrai dengan duli tuanku.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 4)
Ahli nujum biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara tertentu. Biasanya ramalan ahli nujum mudah dipercayai dan diyakini akan berlaku walaupun nasib seseorang itu buruk. Sebagai contohnya dapat dilihat melalui petikan dalam Hikayat Inderaputera seperti berikut:
"… karena baginda sangat memeliharakan pesan ahlunnujum; dan jika baginda diadap segala raja-raja dan menteri hulubalang sekalian pun anakanda itu tiada bercerai dengan baginda.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5)
Berdasarkan contoh petikan di atas, ramalan ahli nujum terhadap nasib Inderaputera itu memang tepat. Inderaputera telah diterbangkan oleh seekor burung merak tanpa dapat dihalang oleh sesiapa pun. Peristiwa ini dapat dilihat daripada petikan teks hikayat.
"… maka Inderaputera disambar oleh merak itu dibawanya terbang. Maka Inderaputera pun ghaiblah dengan seketika itu daripada mata Maharaja mikrama Bispa dan mata orang banyak."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7)
8.3 Ilmu Agama
Dalam zaman klasik, ilmu yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila Islam mula diperkenalkan kepada umat Melayu yang memerlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah), hubungan sesama manusia bahkan dengan makhluk lain (hablum min al-nas).
Berdasarkan Hikayat Inderaputera, Maharaja Bikrama Bispa amat menekankan soal agama kepada puteranya, Inderaputera ketika Inderaputera kecil. Inderaputera sudah tahu mengaji ketika berumur tujuh tahun lagi.
"Hatta setelah berapa lamanya maka anakanda baginda Inderaputera pun besarlah, maka disuruhkan baginda kepada mualim disuruh ajar mengaji. Setelah berapa lamanya kira-kira tujuh tahun umur Inderaputera, maka Inderaputera pun tahulah mengaji Qur’an…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5)
Inderaputera digambarkan sebagai seorang umat Islam yang soleh, ingat kepada Allah, baik sewaktu dia menikmati keindahan ciptaan-Nya, mahupun dalam saat-saat dia terancam bahawa. Nilai Islam dimasukkan dalam perwatakan Inderaputera untuk menggambarkan keindahan Islam.
"Maka hairanlah Inderaputera melihat segala yang indah-indah itu. Maka beberapa pula puji Inderaputera kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 53)
“… Atas patiklah melawan segala menteri itu dengan anak raja-raja sekalian itu dengan tolong Tuhan Yang Kuasa.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)
9.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat Inderaputera merupakan kelangsungan daripada pengaruh Hindu terhadap kesusasteraan Melayu. Perwatakan, tema dan plotnya menunjukkan dasar kreativiti pemikiran yang masih kuat berkhayal terhadap alam nyata dan alam dongeng yang disatukan. Keistimewaan Inderaputera yang dapat berkomunikasi dan bergerak di pelbagai pelosok alam ini adalah berpunca dari world view daripada serpihan kepercayaan Hindu yang antaranya memaparkan unsur-unsur sakti dan inkarnasi.
Walau bagaimanapun, karya ini juga sudah disisipkan dengan unsur-unsur kemelayuan seperti unsur nenek kebayan, unsur Islam seperti penggunaan nama-nama Islam dan unsur memuji kebesaran Tuhan. Sungguhpun begitu, penyisipan unsur-unsur Melayu dan Islam sukar memadamkan kekentalan nilai-nilai Hindunya.
BIBLIOGRAFI
Abu Hassan Abdul, PhD. (2013). Modul BMK 30043 Seni Mengarang. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris. (2012). Nota Kuliah Semester 1 2012/2013.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Hassan Ahmad. (2007). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Global Printers Sdn. Bhd.
Neil Turnbull. (1999). Filsafat. Indonesia : Penerbit Erlangga.
Nik Hassan Basri Nik Abd Kadir. (2007). Komsas Pegangan Teras Keterampilan. Kuala
Lumpur : Icon Region Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani. (2014). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rashid Idris, Siti Khairiah Mohd Zubir & Abdullah Yusof. (2004), Nilai Estetika dalam Pantun. Tanjong Malim: Emeritius Publications.
Rahman Shaari. (2001), Bimbingan Istilah Sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Raja Ali Haji. (2000). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Theologi Surakarta. (2013). Pengertian Teologi Menurut Islam. Diperoleh pada 23 April 2016 daripada https://theologisurakarta.wordpress.com/2013/07/08/pengertian- teologi-menurut-islam.
No comments:
Post a Comment