1.0 Pengenalan
Karya agung dalam konteks dunia Melayu
boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman atau kekal sepanjang
zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan ialah
nilai seni, nilai budaya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung dalam di
dalam sesebuah karya, nilai pada teknik kepengarangan yang luar biasa serta
nilai bahasa yang tinggi dan indah, semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa
dan gaya penceritaan yang luar biasa. Maksud luar biasa pula dapat dilihat dan dirasakan
apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang digunakan,
sama ada secara sedar, spontan, atau secara terancang, bagi menyampaikan
sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad; 2005
dalam Mohd Rashid Md Idris et al.).
Karya agung
ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan
falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya
ulung merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan
nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa
itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan
semestinya hadir dalam sesebuah karya ulung. Selain itu, karya agung juga
sebuah karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti
sebagai karya yang mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara
hidup, adat istiadat, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran
dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan
dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut (Mohd Rashid Md Idris et al.: 2014).
Karya agung
melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan
identitinya yang tersendiri. Tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa
yang lain dikenali melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan
dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala. Mereka yang
mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari,
dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah
hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini (Hassan Ahmad;
2005 dalam Mohd Rashid Md Idris et al.).
Sesuatu
karya untuk menjadi tonggak keintelektualan sesuatu bangsa pastinya perlu
berbentuk tulisan kerana melalui tulisan sahaja sesuatu karya dapat dikenal
segala maklumat yang terkandung di dalamnya, sekali gus menggambarkan kehebatan
bangsa tersebut. Mungkin asalnya karya itu dalam bentuk lisan tetapi melalui
usaha-usaha yang terkemudian, bahan-bahan lisan itu ditulis dan dibukukan bagi
menjamin kelangsungannya. Melalui tulisan, dapat dikenal keindahan bahasa yang
digubah dan jalinan fikir yang diungkap sehingga ke hari ini. Sesebuah karya
kesusasteraan diangkat sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada
karya berkenaan. Namun, perlu diingat bahawa tidak ada ukuran yang sejagat
berkaitan ciri-ciri ini. Hal ini demikian kerana setiap karya sastera lahir
daripada tradisi, budaya dan tamadun yang berbeza-beza. Penelitian ciri-ciri
sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya agung Melayu dilihat dari
beberapa aspek iaitu pemikiran dalam karya agung, estetika dan kepengarangan
karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup serta nilai ilmu dalam karya
agung Melayu (Mohd Rashid Md Idris et al.; 2014).
Karya agung
Melayu adalah cetusan akal fikiran Melayu yang luar biasa. Keluarbiasaan akal
Melayu ini pada dua tahap keupayaan mentalnya iaitu keupayaannya berfikir
secara kreatif melalui kaedah atau proses mental yang dapat kita sebut kaedah
metafora, yakni kaedah berfikir melalui perumpamaan, perbandingan, kiasan dan
tamsil ibarat, untuk menyampaikan sesuatu benda daripada alam nyata sebagai
analogi. Selain itu, kebolehan mentalnya untuk menyusun fikirannya dalam bentuk
pengungkapan yang sangat berstruktur. Terdapat banyak karya agung yang
mempunyai kehebatannya yang tersendiri antaranya ialah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Tuhfat
Al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat Inderaputera, Misa Melayu, Hikayat Merong
Mahawangsa dan sebagainya.
2.0 Latar Belakang Hikayat
Inderaputera
Hikayat Inderaputera, merupakan sebuah karya agung dalam
kategori genre cerita lipur lara Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-17
dan ke-18. Sejumlah 30 naskhah hikayat ini yang diketahui masih ada,
terpelihara dan disimpan di perpustakaan negeri Belanda, Britain, Jerman,
Perancis, Belgium, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia. Hikayat ini terdapat
dalam beberapa versi iaitu versi Aceh, versi Jawa, versi Lombok, versi Bugis,
versi Cam dan versi Mindanao. Hikayat ini juga disebut dalam karya agung Melayu
yang lain, iaitu Bustan al-Salatin dan Sirat al-Mustakim karangan Nuruddin
al-Raniri, juga dalam Taj al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari. Pengarangnya
tidak diketahui dan ia adalah antara karya yang masih terselamat sehingga hari
ini.
Teks hikayat
ini telah dikaji oleh Dr. S.W. R. Mulyadi dalam tesis Doktor Falsafahnya yang
bertajuk Hikayat Indraputra: A Malay
Romance. Terjemahan tesis ini ke dalam bahasa Melayu diusahakan oleh Sidang
Editor Yayasan Karyawan dan diselenggara oleh Ali Haji Ahmad. Naskhah dasar
yang digunakan dalam kajian ini adalah MS I, naskhah tertua yang paling lengkap
bertarikh 29 Rejab 1111 H bersamaan dengan 20 Januari 1700 M. Satu salinan Hikayat Inderaputera terdapat dalam
simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Nombor Manuskripnya MS 37. Satu lagi
salinan terdapat di Universiti Leiden, The Netherlands/Belanda (Or 53 (formerly
HS. 542), Library of KITLV (Koninklijk Instituut voor Taal-, Land- en
Volkenkunde, Leiden, Belanda.)
Seorang
sarjana, Dr. V.I Braginsky mengkaji hikayat ini dari segi unsur-unsur Islamnya,
selain mendapat data-data terbaharu. Beliau secara yang amat mendalam dan
meyakinkan melihat Inderaputera, watak utama dalam hikayat ini, sebagai seorang
pengembara sufi mencari kebenaran Ilahi. Beliau juga mengatakan bahawa Hikayat Inderaputera ini mungkin
dipengaruhi oleh sumber India (Gulshan-i `Ishq, dan kesusasteraan Sufi) dan
teks Melayu lain seperti Hikayat Cekel Waneng Pati dan Hikayat Amir Hamzah.
3.0 Sinopsis Hikayat Inderaputera
Mengisahkan seorang Raja Bikrama Buspa
mempunyai kerajaan yang amat besar, Sementa Pura namanya. Isterinya, Tuan
Puteri Jamjan Ratna Dewi, melahirkan seorang bayi laki-laki yang amat elok
parasnya dan diberi nama Inderaputera. Baginda meminta ahli nujum melihat nasib
puteranya itu. Menurut ramalan mereka, Inderaputera akan menjadi raja yang
penuh kebesaran, tetapi malangnya dia akan berada bersama-sama ayahandanya hanya
selama tujuh tahun sahaja.
Pada suatu
hari, Raja Bikrama Buspa dan anaknya Inderaputera menonton pertunjukan pandai
emas dan pandai kayu. Pandai kayu membuat ikan dan dibubuh di dalam pasu, lalu
berpantun dan berselokalah ikan itu. Kemudian pandai emas pula menunjukkan
kebolehannya dengan membuat merak daripada emas. Merak itu disimpan oleh Raja
Bikrama pada talam emas dan perak. Merak itu pun menyanyi seraya dengan
bangganya memuji kecantikan dirinya. Ketika itu Inderaputera pun turun dari
pangkuan ayahandanya lalu mendekati merak itu. Dengan tidak disangka-sangka
merak itu menyambar Inderaputera dan menerbangkannya ke udara.
Merak emas
menerbangkan Inderaputera ke sebuah negeri dan menjatuhkannya ke sebuah kebun
kepunyaan Nenek Kebayan. Apabila Nenek Kebayan pulang dari menjual bunga dia
terlihat seorang kanak-kanak sedang duduk di bawah sepohon delima. Dia bertanya
tentang diri anak itu. Inderaputera pun berceritalah akan nasib untungnya.
Nenek Kebayan memelihara Inderaputera dengan penuh kasih sayang. Apabila orang
bertanyakan mengenai kanak-kanak itu, dia mengatakan yang Inderaputera itu
anaknya. Orang-orang yang melihatnya pun sayang kepadanya.
Pada suatu
hari Inderaputera dibawa berjual bunga ke rumah Perdana Menteri. Melihat
keelokan pekerti dan paras kanak-kanak itu Perdana Menteri berasa kasih
kepadanya lalu meminta untuk memelihara kanak-kanak itu. Pada mulanya Nenek
Kebayan menolak permintaan itu tetapi setelah beliau merayu bersungguh-sungguh
dia pun dibenarkan memelihara budak itu pada sebelah pagi sahaja, manakala pada
waktu malam dia akan tinggal bersama-sama Nenek Kebayan. Dalam pemeliharaan
Perdana Menteri, Inderaputera menjadi semakin bijak dan membesar dengan perkasa.
Diceritakan
kemudiannya bahawa Inderaputera berkhidmat kepada Raja Syahian untuk menemui
Berma Sakti di Gunung Mali Kali untuk mendapatkan ubat bagi memperoleh anak.
Dalam perjalanan itu binatang-binatang buas berhimpun menemui Inderaputera.
Mereka meminta perlindungan daripada putera raja itu daripada menjadi mangsa
musuh mereka. Inderaputera juga bertemu dengan tengkorak yang menceritakan peri
adanya raksasa dan dialah kelak yang akan membunuh raksasa itu. Inderaputera
mendaki sebuah gunung dan menemui raksasa yang amat ajaib dan dengan
ketangkasannya, Inderaputera berjaya menewaskan raksasa itu. Dia kemudian
meneruskan perjalanannya. Berdekatan dengan Padang Darsal, Inderaputera
terserempak dengan dua pihak yang sedang berperang antara satu sama lain.
Inderaputera menyebelahi pihak Nobat Rum Syah melawan jin kafir, hinggalah dia
memperoleh kemenangan. Nobat Rum Syah menjemput Inderaputera ke negerinya dan
mengahwinkannya dengan Puteri Jamjan Dewi Gemala Ratna.
Inderaputera
meneruskan perjalanannya hingga sampai ke Tasik Semenda Jin. Di situ dia
berjaya menyelamatkan diri daripada ditindih oleh seorang peri. Peri itu
ditawannya tetapi dia memohon dilepaskan dengan janji akan memberi Inderaputera
Geliga Mayan Bedi yang boleh mengeluarkan angin, ombak, dan sebagainya. Di sini
juga Inderaputera menemui Puteri Ratna Gemala Nehran anak Maharaja Syah Tokan.
Sewaktu Ratna Gemala Nehran sedang mandi bersama-sama dayang-dayangnya di dalam
sebuah tasik, Inderaputera telah mengambil baju puteri tersebut. Baju itu
dikembalikannya setelah puteri itu berjanji akan memberinya gemala hikmat
miliknya yang tersimpan di atas kemuncak mahligainya.
Inderaputera
menaiki tabak tuan puteri untuk naik ke kayangan. Apabila tiba di Padang
Belantara Hairani, Inderaputera menoleh ke belakang. Akibatnya dia terjatuh di
padang itu. Dari jauh dia terlihat istana Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang
terletak di mercu gunung berapi. Dia pun mendaki gunung itu dan masuk ke
istana. Apabila tiba di balairung dia terpaksa berhadapan dengan seekor gajah
tetapi gajah itu dapat ditewaskannya. Kemudian dia membunuh seekor harimau,
seekor singa, seekor badak, seekor naga berkepala tujuh, seekor geroda, dan
seekor raksasa.
Tunang
Puteri Ratna Gemala Nehran, Raja Dewa Lela Mengerna, tersalah sangka apabila
melihat puteri sedang berbual-bual mesra dengan Inderaputera. Dia menghimpunkan
askarnya lalu menuju ke istana puteri itu. Dia mencabar Inderaputera supaya
keluar berperang. Inderaputera menyeru jin, peri serta hulubalang keluar dari
gemala hikmatnya. Berlakulah pertempuran hebat antara kedua-dua pihak. Berita
peperangan itu akhirnya sampai ke telingan Nobat Rum Syah. Dia pun membawa
askarnya menolong Inderaputera. Tetapi kemudiannya salah sangka berakhir dan
Inderaputera diterima sebagai teman yang mulia dan dijamu dengan penuh hormat.
Jin Tamar
Buga amat murka kepada Inderaputera kerana membunuh anaknya, Tamar Jalis. Dia
membalas dendam dengan menyambar Inderaputera dan cuba membuangkannya ke dalam
Laut Kalzum. Walau bagaimanapun, Inderaputera berjaya membunuh Tamar Buga.
Tiba-tiba dia teringat kepada Tuan Puteri Ratna Gemala Nehran, tetapi jin
gemala hikmat memberitahunya bahawa negeri puteri tersebut telah jauh
ditinggalkan oleh mereka. Inderaputera meminta jin itu menerbangkannya melalui
gunung berapi itu. Jin itu sanggup membawanya dengan syarat Inderaputera tidak
meminta air.
Semasa
mereka sedang melalui gunung berapi itu Inderaputera berasa dahaga yang amat
sangat sehingga tidak dapat dia menahan diri daripada meminta air. Apabila dia
berbuat demikian dia pun terjatuh di tepi Tasik Bahrul Asyikin yang amat
cantik. Puteri Seganda Cahaya Iram yang ditemui oleh Inderaputera memberinya
sebuah cembul ajaib yang boleh menjelmakan mahligai. Setelah itu dia menuju ke
gua perbendaharaan Raja Baharum Tabak yang dijagai oleh seekor ular yang amat
besar. Ular tersebut dapat dibunuh oleh Inderaputera. Dari salah sebuah bilik
dia menemui seekor kuda hijau bernama Janggi Gerdana dan dari kepala ular diperolehnya
bedi Zahar yang boleh menghidupkan orang yang telah mati. Kemudian dia beredar
ke mahligai Puteri Cendera Lela Nur Lela sebelum meneruskan perjalanannya.
Dipendekkan
cerita, Inderaputera dapat menemui Berma Sakti yang memberinya sekuntum bunga
tanjung dan berbagai-bagai hikmat. Dia kemudiannya kembali ke negeri Raja
Syahian. Setelah makan sayur bunga tanjung kepunyaan Inderaputera, permaisuri
hamil. Setelah genap bulannya, permaisuri pun melahirkan seorang bayi perempuan
yang diberi nama Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan yang amat cantik parasnya.
Apabila puteri itu meningkat dewasa ramailah putera raja yang datang berhamba
diri bagi tujuan meminang puteri. Ditakdirkan puteri jatuh sakit dan tiada
siapa yang berjaya mengubatinya sehinggalah Raja Syahian membuat pengumuman
untuk mengahwinkan anaknya dengan sesiapa yang berupaya menyembuhkan penyakit
tuan puteri itu. Pada ketika inilah muncul Inderaputera yang selama ini berada
jauh setelah dibuang kerana fitnah para pembesar negeri. Dengan mudah
Inderaputera menyembuhkan penyakit puteri itu. Ini membuat menteri-menteri dan
anak-anak raja dengki kepadanya, lalu dia dibunuh tetapi dapat dihidupkan
semula oleh isteri-isterinya. Cerita berakhir dengan perkahwinan Inderaputera
dan Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan.
4.0 Pemikiran dalam Hikayat
Inderaputera
Pemikiran menurut Mohd. Rashid Md. Idris,
Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014: 69) bermula dengan
idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia
menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Di samping itu, setiap pengarang mempunyai
cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya
menjadi mesej, mutiara dan permata karya.
Sehubungan dengan itu, setiap karya agung yang dihasilkan memiliki
pemikirannya yang tersendiri. Hal yang
sama juga dimiliki oleh Hikayat
Inderaputera. Hikayat ini juga
mempunyai pemikiran atau mesej-mesejnya yang tersendiri yang ingin disampaikan
oleh pengarang.
Antara
pemikiran yang terdapat dalam Hikayat
Inderaputera ialah pengaruh Hindu dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, pengarang bijak
menyesuaikannya dengan ajaran Islam yang pada waktu itu masih lagi kuat
pengaruh Hindunya. Hal ini dapat dilihat
dalam bab “Mencari Ubat Beranak”.
Inderaputera telah diarahkan oleh Raja Syahian untuk pergi mencari ubat
beranak bagi diberikan kepada isterinya yang tidak dapat mengandung atau dalam
erti kata lainnya, mandul. Walau bagaimanapun, perjalanan untuk mencari ubat
tersebut amatlah sukar sehinggakan Nenek Kebayan mengatakan bahawa Inderaputera
sengaja dipilih dan diarahkan untuk melakukan amanah tersebut, hanya untuk
membunuhnya. Namun begitu, Inderaputera
yang digambarkan sebagai seorang yang taat beragama mengatakan bahawa baginda
berserah diri kepada Allah akan perihal keselamatan dirinya. Hal ini dapat dibuktikan sebagaimana berikut:
“Hatta maka Inderaputera pun sampailah ke
rumah Nenek Kebayan, “Hai cucuku, dari mana tuan hamba beroleh pakaian yang
indah-indah?”
Maka sahut Inderaputera itu, “Disuruhkan
oleh Raja Syahian pergi kepada Berma Sakti henda minta ubat beranak.”
Maka kata Nenek Kebayan, “Wahai cucuku, sahaja hendak dibunuhnya. Di
mana akan sampai ke sana kerana tempatnya itu terlalulah amat sukar.”
Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Hai nenekku, serahkan hamba kepada
Tuhan Yang Maha Besar.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 17)
Selepas itu, Inderaputera pun masuklah ke dalam hutan belantara dan
meredah segala macam bahaya demi mendapatkan ubat beranak tersebut. Sewaktu dalam perjalanan mendapatkan ubat
tersebut, baginda telah bertemu dengan sekawan binatang liar yang meminta
perlindungan daripadanya untuk berlindung daripada musuh mereka yang merupakan
seekor raksasa yang berada di Gunung Indera Kila. Raksasa tersebut telah memakan dan membunuh
ramai orang dan meninggalkan tengkorak-tengkorak manusia yang dimakannya di
atas gunung tersebut. Hal ini dapat
dibuktikan dalam petikan berikut:
Maka ujar Inderaputera, “Hai tengkorak, tuan hambakah yang berseru-seru
akan hamba tadi?”
Maka ujar tengkorak itu, “Bahkan.”
Maka Inderaputera pun berkata-kata.” Maka mengapa tuan hamba memanggil
hamba?”
Maka ujarnya tengkorak itu, “Ampun tuanku
hai Inderaputera, inilah tengkorak yang takluk kepada ayah tuan hamba itu. Sebermula adapun tatkala hamba daripada
menghantar ufti kepada ayahanda tuanku itu, maka hamba pun sesat melarat lalu
sampailah di gunung, beberapa hari hambanya di sini tiada makan dan tiada minum
dan seketika maka hamba berhenti. Maka
seorang raksasa daripada atas gunung itu merupakan dirinya seperti seorang
perempuan membawa suatu pedang pada tangannya.
Maka ia datang kepada hamba. Maka
ujarnya, ‘Hai orang muda, ambil olehmu pedang ini’ Maka pada bicara patik ini manusia juga
gerangannya ini. Baharu hamba hendak
ambil pedang itu, maka diparangkannya pada hamba. Maka hamba pun matilah, lalu dimakannya
hamba.”
Maka kata Inderaputera, “Adapun yang kasih tuan hamba itu sebenarnyalah,
tetapi Tuhan juga yang memeliharakan kita.”
Maka
kata tengkorak itu, “Mudah-mudahan dipelihara Tuhan juga tuan hamba.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 18-19)
Berdasarkan
petikan di atas, dapatlah dilihat pengaruh kepercayaan Hindu tersebut, iaitu
semasa berlakunya dialog antara tengkorak dan Inderaputera. Penganut agama Hindu mempercayai adanya jiwa dalam setiap
makhluk, termasuklah tengkorak ini yang boleh bercakap. Tengkorak tersebut menceritakan kronologi
cerita yang menyebabkannya menjadi tengkorak kepada Inderaputera. Di akhir perbualan mereka pula, pengarang
bijak memasukkan unsur agama Islam, iaitu kepercayaan sebagai seorang yang
beragama Islam yang wajib mempercayai dan meyakini bahawa Allahlah yang
sentiasa melindungi hamba-Nya.
Seterusnya, pemikiran yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam
Hikayat Inderaputera ini adalah tentang ketinggian darjat seorang raja. Hal ini dapat dicerminkan dalam bab “Bota
yang Makan Manusia”. Inderaputera yang
merupakan putera kepada Maharaja Bikrama Buspa dan Tuan Puteri Jamjam Ratna
Dewi sangat disanjung tinggi dan dihormati oleh sekalian rakyatnya serta
raja-raja yang lain. Berikut merupakan
petikan kisah yang menggambarkan ketinggian darjat baginda sebagai seorang
raja:
Setelah adalah tiga hari lagi perjalanan daripada negeri Semanta Beranta
itu maka terdengarlah warta Inderaputera itu sudah datang maka Raja Talela Syah
pun menghimpunkan sekalian rakyat bala tenteranya menyuruhkan membaiki
singgahsana dan menghiasi pengadapan dan menyuruh berbuat khemah akan
Inderaputera dan segala anak raja-raja kepada suatu padang hampir negeri
Semanta Beranta itu. Maka Inderaputera pun
datanglah kepada empat persangga bumi jauhnya.
Maka Raja Talela Syah pun menitahkan
Syahran Darkas dan Indera Jilani dan segala anak raja-raja dan Perdana
Menteri serta hulubalang sekalian pergi mengalu-alukan Inderaputera…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 141-142)
Berdasarkan petikan kisah di atas, dapatlah dilihat dan dibuktikan
bahawa Inderaputera sangat dihormati dan disanjung sebagai seorang raja. Baginda diraikan dan dialu-alukan dengan
penuh adat dan istiadat oleh sekalian rakyat, bahkan raja-raja yang lain juga
turut menyambut kedatangannya dengan penuh gilang-gemilang.
Ketinggian darjat atau martabat seorang raja juga digambarkan dalam
hikayat ini apabila kedatangannya, iaitu Inderaputera ditunggu-tunggu oleh
semua orang sehinggakan Maharaja Talela Syah sendiri tertanya-tanya dan
tertunggu-tunggu akan kehadirannya ke negeri baginda apabila diberitakan
kedatangan Inderaputera. Baginda bahkan
bertanya kepada Indera Jilani sebanyak sembilan kali untuk memastikan
orang-orang yang dilihatnya itu ialah Inderaputera atau sebaliknya. Hal ini demikian kerana, kelapan-lapan orang
yang terawal dilihatnya sangat gah dan sesuai jika dikatakan sebagai seorang
raja disebabkan oleh kehebatan yang dipamerkan oleh mereka semasa memasuki
negeri Maharaja Talela Syah tersebut.
Walau bagaimanapun, ternyata orang kesembilan yang diketemuinya paling
hebat di antara lapan orang yang terawal sebelumnya, dan itulah Raja
Inderaputera yang ditunggu-tunggunya.
Hal ini dapat dilihat dalam petikan kisah di bawah:
Maka di bawah payung itulah Inderaputera
datang mengenderai di atas kudanya yang bernama Janggi Gerdana. Maka pelana kudanya itu daripada emas sepuluh
mutu yang bertatahkan ratna mutu manikam dan pakaiannya terlalu indah-indah
serta menyandangkan pedangnya yang beremas dan pada kanannya Inderaputera itu
Dikar Alam dan dari kirinya itu Dikar Agus dan di hadapannya itu Dikar Kilat
dan di belakangnya Dikar Seruna. Maka
segala hulubalang itu memakai pakaian gemala hikmat dan rakyatnya pun demikian
juga sekalian itu mustaidlah dengan alat senjatanya dan ada memakai zirah
berbagai-bagai warnanya. Kalakian maka
Inderaputera pun berjalanlah diiringkan oleh segala bala tenteranya sekalian.
Maka, titah Maharaja Talela Syah, “Hai anakku Indera Jilani, bunyi
apakah ini? Maka tidakku pernah dengar
seperti demikian itu”
Maka sahut Indera Jilani, “Ya Tuanku Syah Alam, inilah Inderaputera anak
Maharaja Bikrama Buspa.”
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 146)
Selain itu, pemikiran yang terdapat dalam hikayat ini adalah tentang
keberanian seorang raja. Inderaputera
merupakan seorang putera raja yang sangat berani serta gagah perkasa. Hal ini dapat dilihat apabila baginda mampu
mengalahkan dengan senangnya seekor raksasa yang bernama Gheragas yang digeruni
oleh semua orang. Hal ini dapat
dibuktikan sebagaimana berikut:
“Hai Gheragas, bangunlah engkau supaya
kupenggalkan kepalamu dari badanmu itu.”
Maka Gheragas itu pun berbalik. Maka segala anak raja-raja itu pun dahsyatlah
hadir memegang senjatanya itu masing-masing.
Maka sampailah tiga kali Inderaputera berseru-seru. Maka terdengarlah oleh Gheragas itu suara
manusia. Maka ia pun membukakan
matanya. Maka dilihatnya Inderaputera
terdiri di sisinya itu. Maka dihembusnya
Inderaputera dengan suaranya itu seperti halilintar bunyinya. Maka Inderaputera pun bertempik seraya
diparangnya Gheragas itu penggal dua lalu rebah mati.
Maka Inderaputera pun berseru-serukan
segala anak raja-raja itu katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, marilah tuan hampir
ke mari kerana Gheragas ini sudahlah ia mati.”
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 148)
Antara contoh lain yang menunjukkan keberanian seorang raja lagi adalah
apabila Inderaputera dengan beraninya turun ke lapangan bagi melawan sendiri
utusan Raja Gherantar Syah yang ingin membunuh baginda. Meskipun hulubalang-hulubalangnya menawarkan
diri, Inderaputera tetap bertegas ingin melawannya sendiri kerana menurutnya,
Raja Gherantar Syah menginginkan dirinya, bukan orang lain. Maka, baginda pun pergi ke Padang Belanta
Ajaib tersebut untuk bertemu dengan musuhnya tersebut dengan tangan kosong
kerana menurutnya, orang tersebut bukanlah lawannya. Hal ini dapat dibuktikan daripada petikan
kisah berikut:
“Maka
titah Inderaputera, “Sabarlah engkau hai saudaraku, biarlah aku masuk ke medan
itu pada hari ini kerana ia berseru-seru akanku. Adapun hari ini pengantin hambalah akan
perang itu tetapi insya-Allah Tuhan Yang Maha Mulia, akulah melawan Raja
Gherantar Syah itu dengan tiada bersenjata kerana ia itu bukannya lawanku.”
Setelah itu maka kata Inderaputera pada tuan putero, “Hai adinda,
tinggallah tuan dahulu, kakanda hendak pergi melawan Raja Gherantar Syah ke
Padang Belana Ajaib itu.”
Setelah demikian itu maka Inderaputera pun naiklah ke atas kudanya
Janggi Gerdana lalu pergi ke tengah padang itu.
Seketika lagi maka didengar oleh Raja Gherantar Syah bunyi guruh petir
dengan kelam-kabut. Maka dilihat oleh
Raja Gherantar Syah seperti kilat keluar daripada mahligai tuan puteri
itu. Hatta maka Inderaputera segera
menghampiri akan kudanya lalu ditangkapkannya Raja Gherantar Syah itu. Maka disuruh oleh Inderaputera taruh pada
Dikar Agus dekat mahligai itu. Syahadan
maka dilihat oleh segala hulubalang itu tiba-tiba Raja Gherantar Syah tatkala
bunyi guruh halilintar petir kilat kelam-kabut itu. Maka dengan seketika itu juga Raja Gherantar
Syah itu pun ghaiblah, tinggal kudanya di tengah padang itu. Maka segala hulubalang dan rakyat itu pun
habislah hairan seraya membuangkan senjatanya lalu pergi mengadap Raja Gurjanis
mempersembahkan segala hal-ehwalnya itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 123)
Pemikiran yang selanjutnya
dalam Hikayat Inderaputera ini adalah
kesaktian ataupun disebut juga sebagai mitos.
Aspek kesaktian merupakan aspek terbesar yang digunakan untuk menggarap
jalan cerita Hikayat Inderaputera
ini. Aspek ini pula kebanyakannya diguna
dan dimiliki oleh golongan bangsawan, khususnya kerabat diraja. Hal ini dapat dibuktikan melalui cara yang
digunakan oleh isteri Inderaputera untuk menghidupkan baginda yang pada awalnya
telah mangkat.
“Hatta maka mayat itu pun sampailah ke
rumahnya Perdana Menteri; kerana hikmat sudah zahirlah yang membunuh
Inderaputera itu. Setelah itu maka
dibawanya masuk ke dalam kelambu oleh tuan puteri yang ketiga itu lalu
dibubuhnya hikmat Bedi Zahar itu kepada tubuh Inderaputera itu. Maka dengan ditolongi oleh Tuhan Yang Maha
Besar akan Inderaputera pun hiduplah…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 206)
Di samping itu, unsur kesaktian atau mitos ini dapat juga dilihat dalam
bab “Diterbangkan oleh Jin”.
Inderaputera telah diterbangkan oleh jin ke Tasik Bahrul ‘Asyikin
disebabkan ketidakpatuhannya yang meminta air dalam perjalanan untuk ke
mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran.
Sebelum memulakan perjalanan, baginda sudah diingatkan agar tidak
meminta air di sepanjang perjalanan, sekiranya baginda melanggar syarat
tersebut, maka baginda akan jatuh ke Tasik Bahrul ‘Asyikin. Unsur mitos ini dapat dilihat melalui ciri
fizikal tasik itu sendiri yang terlalu cantik dan luar biasa kejadiannya.
“…Maka Inderaputera pun sampailah ke Tasik
Bahrul ‘Asyikin dan dilihatnya tasik itu rumputnya daripada kuma-kuma dan
pasirnya daripada emas urai dan gersiknya itu daripada kapur barus dan
lumpurnya itu daripada kasturi dan batunya itu daripada permata yang
indah-indah. Syahadan pada tengah tasik
itu ada suatu pulau bernama Biram Dewa seperti gajah rupanya sebab itulah maka
dinamai Pulau Biram Dewa itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 74)
Selain itu, unsur mitos ini
juga dapat dilihat dalam bab “Bertemu Ayah Bonda”. Pelbagai persiapan yang telah dibuat oleh
Maharaja Bikrama Buspa untuk menyambut kepulangan anakandanya tersebut. Antaranya ialah pertunjukan yang luar biasa
dan di luar batas kemampuan manusia biasa.
Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:
“Kalakian maka Raja Dewa Lela Mengerna pun
melontarkan bajunya ke dalam laut itu menjadikan sebuah kapal belayar terlalu
amat indah rupanya. (Maka) dilihat oleh
Nobat Rum Syah terlalu indah-indah itu.
Maka ia pun melontarkan bajunya ke udara. Maka menjadilah mega. Maka mega itu pun jatuh ke laut. Maka menjadi sepohon kayu beraksa. Maka seketika lagi maka Raja Puspa Pandai pun
memanah ke udara. Maka anak panah itu
pun menjadi hujan (air mawar dari udara) dan segala isi negeri itu pun hairan
melihat akan kelakuan itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 228)
Kekayaan
seorang raja juga merupakan salah satu pemikiran atau mesej yang ingin
disampaikan oleh pengarang. Raja
digambarkan sebagai seorang yang sangat kaya dan mewah. Hal ini dapat digambarkan ketika kepulangan
Inderaputera ke negeri asalnya, iaitu Sementa Puri yang disambut dengan penuh
gilang-gemilang oleh ayahanda serta rakyatnya.
Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:
“Alkisah maka diceterakan orang yang
empunya cetera ini bahawa selama Maharaja Bikrama Buspa menjamu segala anak
raja-raja yang berserta dengan Inderaputera itu adalah kira-kira empat puluh
hari empat puluh malam lamanya itu, makan dan minum duduk bermain-main
bersuka-sukaan. Maka Paduka Syah Alam
pun memberi persalin akan segala Buspa pun membuat akan pancapersada di tengah
padang sembilan belas pangkat bertiang gading dan bersendi-sendi akan emas dan
berumbai-umbaikan mutiara.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)
Berdasarkan petikan hikayat di atas, dapatlah dilihat kekayaan Maharaja
Bikrama Buspa yang merupakan ayahanda kepada Inderaputera. Baginda telah mengadakan jamuan selama 40
hari dan 40 malam demi menyambut kepulangan anakandanya. Selain itu, baginda juga telah menyiapkan
pelbagai persiapan untuk menyambut kepulangan Inderaputera. Antaranya adalah seperti berikut:
“Syahadan berkemuncakkan sebuah
gemala. Maka terlalu amat indah-indah
dan beberapa intan yang mulia-mulia terkena pada panji-panji persada itu. Maka
diperbuat oleh Raja Dewa Lela Mengerna di atas pancapersada itu ada sebuah hikmat
seperti naga empat ekor rupanya terlalu indah-indah sekali akan rupanya. Arkian maka diperbuat pula oleh Nobat Rum
Syah di atas pancapersada itu seekor kuda tujuh kepalanya terlalu indah-indah
perbuatannya. Maka setelah lengkaplah
segala kelengkapan itu maka diperbuat pula oleh segala anak raja-raja yang di
Padang Anta Berahi itu suatu jempana itu terlalulah indah-indah rupanya. Maka tuan puteri dan Inderaputera pun
beraraklah pada pancapersada itu lalu pula pada jempana berjala-jala akan
baiduri dan kedua pangkat daripada nilam dikarang dan ketiga pangkat daripada
pualam dan keempat pangkat daripada mutiara dikarang dan kelima pangkat
daripada intan dikarang dan keenam pangkat daripada permata dikarang dan
ketujuh pangkat daripada zamrud dikarang.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)
Seterusnya, kebijaksanaan
seorang raja. Kebijaksanaan merupakan
antara aspek utama yang perlu dimiliki oleh seorang raja untuk mengangkat nilai
dan martabatnya di mata rakyat terutamanya dalam hikayat seperti ini. Justeru, aspek ini dapat dilihat dalam Hikayat Inderaputera ini apabila baginda
menggunakan strategi menyembunyikan baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran
yang ketika itu sedang mandi di Tasik Semenda Jin demi mendapatkan gemala
hikmat.
“Maka Inderaputera pun terlalulah sukacita
hatinya menengar kata Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Maka kata Inderaputera, “Hai saudaraku,
jikalau ada dengan sungguhnya kasih saudaraku akan hamba ada suatu gemala
hikmat yang di atas kemuncak mahligai tuan puteri itu. Maka kakanda pohonkan supaya hamba pulangkan
baju itu.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 40)
Sebelum baginda mendapatkan gemala hikmat tersebut, baginda terlebih
dahulu mendapatkan sebiji lagi geliga hikmat yang lain daripada seekor peri
yang berada di dalam sebuah tasik.
Baginda telah berpura-pura tidur sewaktu peri tersebut datang
kepadanya. Sebaik sahaja peri tersebut
menghampirinya, baginda segera melompat seraya menangkap rambut peri tersebut. Bagi
melepaskan dirinya, peri tersebut telah bersetuju untuk memberikan Inderaputera
suatu geliga hikmat, iaitu Mayan Bedi yang mampu mengeluarkan angin, ombak,
kilat atau petir halilintar dengan cara menyeru namanya. Hal ini sebagaimana berikut:
“Hatta seketika lagi maka keluarlah peri
daripada tasik itu. Maka
berombak-ombaklah airnya itu. Maka
dilihat oleh Inderaputera peri itu datang kepadanya. Maka ia pun tidurlah. Maka peri itu datanglah
menghampiri akan Inderaputera. Maka
Inderaputera pun ingat. Maka baharu
hendak ditindihnya itu, maka Inderaputera pun melompat seraya menangkap akan
rumbut peri itu.
Maka berkata Inderaputera,
“Sekarang ini matilah engkau hai celaka.”
Maka peri itu pun berkata, “Hai orang muda, lepaskanlah rambutku peri ini, apa kehendakmu aku berikan
kepadamu.”
Maka kata Inderaputera, “Sungguhkah engkau hendak memberi barang kehendakku
ini?”
Maka sahut peri itu, “Sungguhlah hamba beri.”
Maka kata Inderaputera, “Apa yang engkau hendak berikan kepadaku ini?”
Maka berkatalah peri itu, “Ada suatu geliga, Mayan Bedi namanya. Jika tuanku mahu, kuberikan. Adapun gunanya jikalau hendak mengeluarkan
angin dan ombak atau kilat atau petir halilintar citalah namaku dan tambangkan
geliga itu, nescaya barang kehendak tuan jadilah.” Maka Inderaputera pun melepaskanlah rambut
peri itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 30)
Pemikiran terakhir yang
pengarang bawakan adalah mengenai keelokan paras rupa golongan bangsawan. Golongan bangsawan dalam hikayat ini
digambarkan sebagai seorang yang sangat elok paras rupanya, khususnya golongan
raja-raja. Hal ini dapat dilihat
sebagaimana berikut yang memaparkan kesempurnaan rupa paras Tuan Puteri Cendera
Lela Nur Lela:
“Maka berkata bayan seraya menghamparkan
sayapnya, katanya, “Ya tuanku anak raja indera, tahukah tuanku akan Tuan Puteri
Cendera Lela Nur Lela di Padang Anta Berahi di atas mahligai yang keemasan
bertatahkan ratna mutu manikam. Adapun
parasnya itu terlalu elok durjanya dan rambutnya laksana cincin dituang,
dahinya seperti seri bulan dan keningnya seperti bentuk taji, dan matanya
seperti bintang timur, dan hidungnya itu laksana kuntum melur da telinganya
seperti telepok layu, dan pipinya seperti pauh dilayang dan, bibirnya itu
seperti pati dicarik, dan giginya itu seperti delima merekah dan lidahnya itu
laksana kembang seroja dan dagunya itu seperti lebah bergantung, dan lehernya
itu laksana kumbah dilarik, dan bahunya itu seperti sampiran, dan lengannya itu
laksana destar gulung dan jarinya itu seperti duri landak dan dadanya itu
umpama lengkung pelangi. Susunya itu
seperti telur burung, dan pinggangnya bunga setangkai, dan pahanya seperti paha
belalang dan betisnya laksana batang padi, dan sikapnya seperti merak
mengigal.”
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 90)
Selain itu, Inderaputera turut
digambarkan mempunyai rupa paras yang elok yang diibaratkan umpama bulan
purnama yang gilang-gemilang cahayanya.
“Hatta maka kelihatanlah seperti bulan
purnama gilang-gemilang cahaya mukanya itu.
Maka Raja Talela Syah pun hairan melihat rupanya Inderaputera itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 146)
Secara keseluruhannya, Hikayat Inderaputera ini mempunyai
pemikiran yang sangat terkesan daripada kepercayaan ajaran Hindu yang
sekali-sekala diselitkan oleh pengarang dengan unsur-unsur Islam. Sehubungan dengan itu, hampir keseluruhan
hikayat ini diselitkan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan kehebatan watak
utamanya, iaitu Inderaputera.
5.0 Falsafah dalam Hikayat
Inderaputera
Falsafah dimaksudkan sebagai pengetahuan
tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar
kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Ilmu yang
dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk
hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Menurut
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), falsafah bermaksud cinta kepada ilmu
dan kebenaran. Berfalsafah pula ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk
kebenaran.
Tujuan
falsafah adalah untuk mencari kebenaran tentang sesuatu permasalahan dengan
cara berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu akan
menjadi persoalan falsafah apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah
dan pengamatan sains. Persoalan falsafah juga biasanya melibatkan
perkara-perkara yang abstrak seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara
rumusannya, falsafah merupakan suatu pemikiran yang amat mendalam dan
menyeluruh terhadap sesuatu perkara dalam usaha mencari kebenaran.
5.1 Kepentingan Falsafah
Falsafah mempunyai kepentingan yang
tersendiri. Antaranya ialah seperti di bawah:
i) Menjadi Panduan dan Landasan dalam Membuat Keputusan
Dalam membuat sesuatu keputusan, seseorang
itu perlulah mempunyai pendirian berdasarkan falsafah yang dipegang tanpa
dipengaruhi oleh orang lain. Keputusan yang dibuat juga harus memenuhi
keperluan falsafah seseorang.
ii) Mempunyai Kefahaman yang Mendalam dan Sistematik
Falsafah membantu seseorang memahami apa
yang sedang berlaku dalam pelajaran. Seseorang yang ingin menceburi sesuatu
bidang perlu menguasai bidang yang ingin diceburinya sedalam-dalamnya bagi
membolehkan mereka berfikir secara mendalam dan sistematik tentang isu-isu
intelek, asas pendidikan, dan kehidupan manusia.
iii) Stabil dan Bersifat Tetap
Falsafah adalah sebagai panduan buat
seseorang. Seorang guru misalnya harus bersifat tekal terhadap apa-apa yang berlaku
dalam atau di luar bilik darjah. Jika guru kerap kali menukar dan mengubah isi
pelajaran, keadaan ini mungkin akan mengelirukan para pelajar.
5.2 Falsafah Teologi Islam (Ketuhanan)
Menurut Theologi Surakarta (2013), istilah
teologi Islam terdiri dari dua pengertian tersendiri, iaitu teologi dan Islam.
Apabila keduanya diketahui pengertian secara komperhensif kemudian dikaitkan
satu sama lain maka lahirlah pengertian yang utuh tentang Teologi Islam secara
jelas dan argumentatif. Islam dalam aspek teologi Islam adalah agama yang
menuntut sikap ketundukan dengan penyerahan dan sikap pasrah, disertai sifat
batin yang tulus, sehingga perkara penting yang terkandung dalam Islam ada dua
iaitu pertama berserah diri, merendahkan diri serta taat sepenuh hati dan kedua
masuk dalam al-Salam, iaitu selamat sejahtera dan damai hubungan yang harmonis.
Falsafah
teologi secara mudahnya merupakan sebuah bidang yang membincangkan falsafah
mengenai ketuhanan. Berdasarkan karya agung iaitu Hikayat Inderaputera, falsafah teologi ini jelas ditonjolkan oleh
watak-watak yang wujud dalam hikayat tersebut seperti Inderaputera, Nobat Rum
Syah, Raja Bikrama Buspa, Raja Syahian dan ramai lagi. Watak-watak tersebut
jelas mengamalkan ajaran agama Islam, patuh serta percaya dengan kewujudan
Allah. Inderaputera mengatakan kepada Nobat Rum Syah bawa dia tidak layak
menerima pujian kerana segala pujian itu hanyalah kepada Allah dan bukan kepada
hambanya. Selain itu, Raja Bikrama Buspa juga percaya bahawa sebagai hamba
hanya kepada tuhan tempat memohon pertolongan. Hal ini jelas dibuktikan apabila
putera baginda dibawa lari oleh seekor merak emas, baginda tidak lagi berada di
istana tetapi duduk di dalam masjid dan berdoa kepada Allah supaya melindungi
dan mengembalikan puteranya iaitu Inderaputera. Baginda yakin bahawa seorang
hamba perlu bergantung sepenuhnya kepada kekuasaan Allah.
Peristiwa
tersebut terbukti melalui petikan berikut:
"… Maka ujar Nobat Rum Syah, "Hai
saudaraku Inderaputera, bahawa dunia sampai akhirat tuan hamba jadi saudaralah
kepada hamba kerana tuan hamba menolong hamba menghapuskan kemaluan hamba
kerana tiada adat daripada dahulu kala daripada nenek moyang hamba, jin kafir
ke mari pada tempat hamba memberi makan kudanya, sebab inilah akan hamba maka
jadi hamba berperang dengan Tamar Jalis itu. Maka sekarang saudara hamba yang
menghapuskan malu hamba itu." Maka ujar Inderaputera, " Pujian itu
hanya Tuhan sarwa sekalian alam juga, dan hamba ini sehingga jadi sebab
juga."
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 25)
"… Adapun diceretakan oleh orang yang
empunya cereta ini bahawa selama Inderaputera diterbangkan oleh merak emas itu
maka Paduka Syah Alam pun tiada di dalam istananya lagi. Hanya baginda duduk
dalam masjid dengan segala pendeta juga meminta doa akan anakanda baginda itu
Inderaputera…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 222)
5.3 Falsafah Etika
Falsafah etika membincangkan falsafah
berkaitan moral yang memberikan tumpuan kepada tingkah laku individu dalam
kehidupan. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), etika ialah
pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Secara jelasnya, etika
bermaksud satu ukuran dan piawaian yang digunakan untuk membezakan kelakuan
seseorang sama ada baik atau buruk, menyenangkan atau tidak menyenangkan. Jadi
falsafah etika atau moral ialah satu cabang ilmu falsafah yang secara khusus
membincangkan perkara yang dikatakan tingkah laku yang baik dan tingkah laku
yang buruk dan turut membincangkan hal-hal moral, adab dan nilai dalam tingkah
laku manusia.
Berdasarkan
Hikayat Inderaputera, terdapat
tingkah laku baik dan tingkah laku buruk yang diceritakan dalam karya tersebut.
Hikayat tersebut menceritakan kisah manusia dan jin. Watak-watak yang dipegang
oleh manusia kebanyakannya mempunyai tingkah laku yang baik, manakala watak jin
pula terbahagi kepada dua iaitu jin Islam dan jin kafir. Jin Islam merupakan
jin yang mempunyai tingkah laku baik manakala jin kafir mempunyai tingkah laku
yang buruk. Tingkah laku baik yang ditunjukkan oleh Inderaputera adalah baginda
sanggup menolong sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan dan seorang yang
mengenang jasa. Peristiwa tersebut dapat dilihat melalui petikan berikut :
"…Maka dilihat oleh Inderaputera
Perdana Menteriduduk masyghul itu maka fikir Inderaputera di dalam hatinya, '
Kerana Perdana Menteri itu banyak kasihnya padaku akan pekerjaan ini di atas
batu kepala Perdana Menteri juga tertanggung. Jikalau demikian baiklah nyawaku
akan balasnya.' Setelah sudah fikirnya itu maka Inderaputera pun berkata pada
Perdana Menteri, "Ya Tuanku Perdana Menteri janganlah tuan hamba bercinta
lagi. Adapun hambalah pergi ke sana kepada Berma Sakti itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 14)
Sementara
itu, tingkah laku yang buruk jelas ditonjolkan oleh watak jin kafir yang
bernama Tamar Jalis. Tamar Jalis tanpa meminta izin telah membawa kudanya makan
di kawasan Nobat Rum Syah. Peristiwa tersebut dapat dilihat dalam petikan
berikut:
"… Seketika berkata maka Tamar Jalis
pun datanglah dengan segala kaumnya dan bertemu dengan Nobat Rum Syah. Maka
kata Nobat Rum Syah, "Hai Tamar Jalis, ke mana engkau datang dengan segera
ini?" Maka sahut Tamar Jalis," Aku hendak memberi makan kudaku pula
pada tempat ini." Setelah didengar oleh Nobat Rum Syah maka kata Nobat Rum
Syah," Tiada patut demikian. Perintah ini daripada nabi kita dahulu pada
tempatnya juga ada dengan masing-masing."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 23)
5.4 Falsafah Bahasa
Menurut Von Humboldt, iaitu seorang sarjana
Jerman, bahasa didefinisikan sebagai sintesis bunyi (Mohd Rashid Md Idris,
2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat dinyatakan kesimpulan bahawa
bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh masyarakat untuk menyampaikan
konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Namun
demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk
pengetahuan yang lebih unggul.
Menurut
Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu
falsafah linguistik dan falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah
linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah
linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang
digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid
Md Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa
berasaskan falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual knowledge atau ilmu
dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik
dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa
merupakan bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan
menggunakan konsep pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi
mencari kebenaran dalam setiap aspek yang ingin dikaji.
Berdasarkan
karya agung yang dikaji iaitu Hikayat
Inderaputera, pengarang menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa bertujuan
untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca. Antaranya ialah gaya bahasa
hiperbola, simile serta turut menggunakan ayat yang panjang dan meleret-leret.
Contoh ayat yang panjang dan meleret-leret adalah seperti berikut:
"… Maka Inderaputera pun menyembah
seraya berbangkit lalu mengunuskan pedangnya seraya melompat menggertakkan
kudanya lalu dipermain-mainnya terlalu indah lakunya bermain-main itu seperti
merak mengigal di atas talam…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 201)
5.5 Falsafah Kekuasaan
Falsafah kekuasaan juga turut terdapat
dalam karya agung Melayu. Kekuasaan ini membawa makna kepada pengaruh yang
dimiliki oleh seseorang khususnya pemerintah atau golongan raja. Falsafah
kekuasaan dalam sesebuah karya agung selalunya ialah melibatkan kuasa seorang
raja dan pemerintah. Hal ini demikian kerana kedudukan raja merupakan kedudukan
yang tertinggi dalam sistem organisasi sosial sebuah kerajaan khususnya zaman
dahulu. Oleh itu, kuasa raja amat besar dan raja merupakan seorang yang sangat
berpengaruh. Berdasarkan Hikayat
Inderaputera, pengarang jelas memperlihatkan kekuasaan golongan raja dan
pemerintah sama ada dalam bangsa manusia atau jin serta dewa. Selain itu,
kekuasaan tersebut turut diperkuatkan lagi dengan kesaktian yang dimiliki oleh
golongan tersebut. Kekuasaan yang dimiliki oleh Inderaputera dapat dilihat
dalam petikan berikut:
"… Maka ujar oleh Malik Zainab, ' Hai
orang muda, jika ada kasihan tuan hamba akan hamba orang yang miskin ini
berilah air itu keluar balik seperti sedia kala. Maka hamba taruh perjanjian
dengan tuan hamba. Jika berair kolam ini seperti dahulu, maka hamba dengan
segala harta hamba ini semua sekali pulang akan tuan hamba."
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 104)
"…Sebermula maka tersebutlah perkataan
Inderaputera tatkala ia berjalan seorang dirinya hendak pergi ke rumah Nenek
Kebayan. Maka Inderaputera pun dibunuh oleh anak raja-raja yang kesepuluh orang
itu. Maka Inderaputera pun matilah. Setelah sudah mati lalu diambil oleh anak
raja-raja itu cembul yang berisi gemala. Maka anak raja-raja itu pun segeralah
kembali. Hatta maka isteri Inderaputera ketiganya keluarlah dari dalam cembul
mutiara itu. Maka lalu ia memakai cara laki-laki. Maka keluarkannya Bedi Zahar
itu. Maka lalu disapukannya tubuh Inderaputera itu. Maka ia pun hiduplah dengan
tolong Tuhan Yang Maha Besar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 201)
6.0 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Hikayat Inderaputera
Nilai merupakan satu konsep yang dijadikan asas oleh masyarakat
untuk melihat , mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara, darjat,
mutu, kualiti dan taraf perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok
orang sebagai baik, berharga dan bernilai.
Budaya pula
adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama oleh sebuah kelompok
orang, serta diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk dari banyak
unsur yang rumit, termasuklah sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa,
perkakas, pakaian, bangunan, dan karya seni. Jadi, budaya adalah elemen yang
membezakan manusia daripada hidupan lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam
bidang antropologi. Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu buddayah
yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti
atau akal manusia. Budaya dalam pengertian biasa ialah suatu cara hidup manusia
dan membawa makna yang sangat luas. Dengan prinsip bahawa budaya itu dicipta
oleh manusia, maka budaya itu perlu dan dihasilkan oleh manusia itu sendiri
bagi keperluan hidup.
Dari sudut etimologi, perkataan “budaya” berasal dari akar kata yang
tersusun daripada dua perkataan yang terpisah iaitu “budi” dan “daya”. Kalimah
“budi” bererti cahaya atau sinar yang terletak di dalam batin manusia.
Perkataan “daya” bertalian dengan upaya, iaitu usaha, keaktifan manusia
melaksanakan dengan anggotanya apa yang digerakkan oleh budinya. Manakala dari
pandangan Inggeris, istilah budaya disebut culture berasal dari perkataan latin
colere yang bermaksud menyedia dan mengerjakan tanah atau menanam.
Oleh itu, nilai budaya dapat disimpulkan sebagai nilai-nilai yang
disepakati dan tertanam dalam suatu
masyarakat, organisasi, dan lingkungan masyarakat. Nilai budaya itu juga
menjadi acuan tingkah laku sebahagian besar anggota masyarakat yang
bersangkutan, berada dalam alam fikiran mereka dan sukar untuk diterangkan
secara rasional.
Pandangan
hidup pula merupakan suatu pendapat atau ketetapan yang dijadikan pegangan ,
pedoman, arahan dan petunjuk hidup dan suatu konsep yang dimiliki oleh
masyarakat atau komuniti tertentu , bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan
segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Nilai budaya
dan pandangan hidup yang terdapat dalam Hikayat
Inderaputera dapat dilihat dalam dua aspek, iaitu aspek adat resam dan juga
sikap masyarakat yang terdapat dalam hikayat tersebut.
6.1 Adat
Resam
6.1.2 Adat Perkahwinan
Adat istiadat perkahwinan bagi putera atau
puteri adalah menjadi satu upacara rasmi bagi raja dan kerajaan. Sememangnya
adat perkahwinan akan disambut meriah dengan penuh adat istiadat dari zaman
kuno lagi. Terdapat unsur-unsur
kebudayaan dalam perkahwinan yang berjalan mengikut peringkat dan adat resam.
Adat ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat
puluh hari empat puluh malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah
diadakan majlis akad nikah. Sambutan perkahwinan Diraja disambut dengan meriah
sekali.
Sebagai contoh ketika majlis perkahwinan Raja Dewa Lela Mengerna dengan
Nabat Rum Syah. Mereka dihiaskan dengan pakaian yang serba keemasan bertatahkan
permata.
Demikian setelah sudah lengkap maka Raja
Dewa Lela Mengerna pun dihias orang dengan pakaian serba keemasan bertatahkan
mutu manikam. Maka terkembanglah payung kerajaan dan berdirilah segala
panji-panji yang keemasan dan cogan alamat kerajaan pun terdirilah. Maka
Inderaputera dan Nabat Rum Syah memacu segala gajah dan kuda, seketika
dipacukan kudanya mengatur segala tunggul dan panji-panji. Maka berbunyilah
segala bunyi bunyian, gendang, gong, serunai, nafiri, terlalu ramai.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 68)
6.1.2 Adat Menjamu Hidangan Diraja
Dalam Hikayat
Inderaputera ini, kita dapat melihat bagaimana adat menjamu hidangan
diraja. Mereka begitu mengutamakan tetamu dengan menyediakan hidangan makanan,
minuman dan mengedarkan piala yang bertatahkan
ratna mutu manikam. Sirih juga merupakan salah satu makanan keutamaan bagi
golongan diraja. Semasa menjamu hidangan juga, para tetamu dihiburkan dengan
nyanyian dan alat muzik tradisional. Antara contoh petikan teks adat menjamu
hidangan diraja dalam Hikayat
Inderaputera adalah seperti berikut:
"…Maka Inderaputera pun memberi hormat
kepada tuan puteri seraya duduk di atas peterana yang keemasan, diadap oleh
segala bidadari dan segala dayang- dayang.
Maka karas emas yang bertatahkan ratna mutu
manikam itu pun disuruh tuan puteri diunjukkan oleh bidadari itu kepada
Inderaputera seraya berkata, “Santaplah tuanku sirih.”
Maka disambut oleh Inderaputera lalu
dimakannya. Maka hidangan nasi pun diangkat oranglah ke hadapan Inderaputera
dan Tuan Puteri Kemala Ratnasari…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 51)
6.1.3 Adat Berpakaian Orang Besar
Pakaian juga melambangkan adat dan budaya
masyarakat dalam Hikayat Inderaputera.
Cara berpakaian orang besar dalam Hikayat
Inderaputera kebanyakannya mereka dipakaikan pakaian yang serba keemasan,
bertatahkan ratna mutu manikam ( permata ). Cara berpakaian sangat penting bagi
memberi kehormatan kepada orang-orang yang tertentu. Contoh petikan teks adat
berpakaian orang besar dalam Hikayat
Inderaputera adalah seperti berikut:
"Setelah genap harinya maka Tuan
Puteri Jumjum Ratnadewi pun dihias dengan selengkapnya pakaian ser(i)ba
keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam. Maka rupa Tuan Puteri Jumjum
Ratnadewi pun bercahaya-cahaya, gilang-gemilang seperti bulan purnama empat
belas hari. Bermula maka Inderaputera pun dihias oleh Nabat Rum Syah dengan
berpakaian selengkapnya serba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 29)
Apabila
adanya adat berpakaian orang besar, hal ini menunjukkan bahawa golongan
pemerintah mempunyai tahap kebesarannya. Sikap dan pandangan hidup mereka
banyak dipengaruhi dengan tradisi pemakaian diraja. Jadi, sebahagian besarnya
cara berpakaian mereka yang dilengkapi keemasan bertatahkan ratna mutu manikam.
Ia sangatlah bersesuaian dengan pangkat seseorang dalam negara.
6.1.4 Adat Memberi Persalinan
Adat persalinan ini diadakan kepada utusan.
Persalinan merupakan pakaian akan diberikan kepada utusan mengikut darjat dan
gelaran. Maka terserlah gambaran yang jelas tentang budaya dan pandangan hidup
masyarakat dalam Hikayat Inderaputera
situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
"Setelah sudah maka Raja Mujtadar Shah
memberi persalin pakaian keemasan akan Inderaputera, dan Nabat Rum Syah, dan
segala raja-raja dengan segala menteri dan hulubalang, abantara sekalian
semuanya diberi persalin. Setelah antaranya berapa hari, maka Nabat Rum Syah
pun bermohonlah kepada Raja Mujtadar Syah hendak pulang ke negerinya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 69)
6.1.5 Adat Menyembah Raja
Raja merupakan tunggak utama dalam sistem
pemerintahan. Mengikut adat menyembah raja, seseorang hendaklah duduk atau
bertelekukan lutut sebelah kanan dan kaki kiri dijelepokkan. Istiadat yang
dilakukan oleh pembesar menandakan hormat dan taat setia kepada raja. Situasi
di bawah telah menunjukkan adat menyembah raja:
"Maka Raja Dewa Lela Mengerna dan
Nabat Rum Syah pun menyembah Raja Gohar Hinis. Maka disambut baginda seraya
dipermuliakan dengan seribu kemuliaan kedua anak raja itu, maka didudukkannya
di atas kerusi yang keemasan. Maka sirih pada jorong emas pun dibawa oranglah
ke hadapan anak raja kedua itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 137)
Jadi,
apabila adanya adat menyembah raja, maka masyarakat pada zaman itu sangat
berpegang pada pandangan hidup tidak boleh menderhakai raja. Waad merupakan
kontrak sosial antara Raja Shahian dengan perdana menteri, segala
menteri-menteri dan rakyat. Jika waad dilanggar, maka pelbagai bencana akan
menimpa. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. Waad merupakan suatu
kontrak atau perjanjian antara golongan pemerintah dengan rakyat. Terkandung
pelbagai perjanjian yang bertimbal balik. Contohnya, rakyat tidak menderhaka
dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan
perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh
kepada raja dan sekiranya tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana. Perkara ini
selaras dengan ajaran Islam, iaitu rakyat perlu taat dan patuh kepada raja
selagi mana perintah raja tidak bertentangan dengan syariat.
Sebagai
contoh petikan menunjukkan permintaan Raja Syahian yang meminta perdana
menteri, segala menteri dan rakyat mencari seseorang yang sanggup ke Berma
Sakti bagi mendapatkan ubat beranak. Walaupun permintaan ini agak sukar dan
membahayakan seseorang itu untuk sampai ke Berma Sakti namun perdana menteri
terpaksa akur dengan perintah raja. Sekiranya mereka tidak memenuhi permintaan
raja, mereka akan dihukum bunuh.
"Maka segala menteri dan hulubalang
masing-masing pulang ke rumahnya, maka hari pun malamlah. Setelah esok harinya
maka Raja Syahian pun keluar diadap orang di atas sehinggasana kerajaan diadap
segala menteri dan hulubalang dan rakyat sekalian, maka titah baginda kepada
segala menteri, “Hai segala menteriku, sekarang apa bicaramu sekalian; baik
kamu carikan aku akan ubat beranak karena sangat hasyratku hendak beranak.”
"Maka sembah segala menteri, “Ya tunku
Syah Alam, patik sekalian mohonkan ampun kepada ke bawah duli tuanku; patik
minta janji empat puluh hari patik bicarakan seperti hasyrat Syah Alam itu.”
"Maka titah baginda, “Baiklah, kunanti
seperti katamu itu, jikalau tiada, nescaya kamu sekalian kubunuh.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 12)
6.1.6 Adat Kelahiran
Situasi yang menggambarkan semasa menyambut
kelahiran Inderaputera, iaitu putera Raja Bikrama Bispa. Raja juga telah
meminta orang memalu bunyi-bunyian seperti adat segala raja-raja berputera.
"Hatta berapa lamanya Raja Bikrama
Bispa dalam kerajaan, maka isteri Raja
Bispa yang bernama Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun hamillah. Setelah
berapa lama antaranya genap bulannya pada ketika yang baik, pada empat belas
hari bulan ketika dini hari maka tuan puteri pun menyakit hendak beranaklah
seorang laki-laki terlalu amat baik rupanya seperti matahari baharu terbit,
gilang-gemilang rupanya.
Setelah demikian maka baginda pun terlalu
amat sukacita melihat anakanda baginda itu. Maka raja pun menyuruh orang memalu
bunyi-bunyian seperti adat segala raja-raja berputera. Demikianlah maka dinamai
akan anakanda itu Inderaputera."
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 4)
Kelahiran
merupakan saat-saat yang penting dalam kehidupan berkeluarga. Oleh itu, sikap
dan pandangan hidup mereka sangat mementingkan zuriat sebagai pewaris takhta
terutamanya dengan kelahiran anak lelaki.
Kelahiran harus ditandai dengan upacara adat. Contohnya, apabila bayi
dilahirkan, diadakan adat segala raja-raja berputera seperti memalu
bunyi-bunyian. Selain itu, sebagai tanda kesyukuran Raja akan mengeluarkan
sedekah seperti memberi emas dan perak kepada fakir dan miskin.
6.2 Sikap Masyarakat
6.2.1 Kemesraan.
Nilai ini dapat dilihat dalam watak Nenek
Kebayan yang melayan Inderaputera seperti anak sendiri meskipun tidak pernah
mengenalinya sebelum ini.
“Maka ujar inderaputera “Akulah anak raja
bikrama Buspa dan namaku inderaputera.
Adapun sebabnya kemari ini diterbangkan oleh merak emas. Dan segala hal
ehwal sekaliannya diceritakan. Maka ujar nenek kebayan, Mahukah cucuku duduk
bersama hamba? Baiklah nenekku: ke mana lagi hamba hendak membawa diri hamba
lagi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5-6)
6.2.2.2
Kasih sayang.
Nilai budaya kasih sayang dapat dilihat
menerusi watak Nenek Kebayan yang terlalu kasih kepada Inderaputera sehingga
tidak membenarkan Inderaputera tinggal bersama Perdana Menteri.
“Setelah sudah maka kata perdana menteri,
“hai nenek kebayan, biarlah inderaputera itududuk di sini. Maka ujar nenek
kebayan, Ya Tuanku Perdana Menteri, seketika pun tiada dapat patik bercerai
dengan cucunya hamba.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7-8)
6.2.3 Menghormati orang tua.
Pengarang menerapkan nilai ini sebagai
pegangan hidup masyarakat dalam Hikayat
Inderaputera menerusi perwatakan Nobat Rom Shah yang meminta keizinan
daripada ayah dan bondanya sebelum keluar mengembara.
“Maka Nobat Rom Shah pun pergi bermohon
kepada ayah bondanya pula. Maka ujarnya. “Hai anakku suatu pekerjaanmu
janganlah lupakan akan Tuhan yang Maha Besar.” Maka Nobat Rom Shah pun mnyembah
kaki ayah bondanya lalu ia berjalan dengan segala hulubalang menterinya dan
rakyat bala tenteranya sekalian dan beberapa lamanya sampailah ia ke padang
Belantara Hairani.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 52)
7.0 Kepengarangan dan Estetika dalam Hikayat
Inderaputera
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2004),
kepengarangan merupakan aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang iaitu
kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Bagi menghasilkan teks yang unggul dalam
mencipta sifat keperibadian masing-masing, pengarang haruslah mempunyai prinsip
keperibadian yang tersendiri. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah
dan Mohd Rashid Md. Idris (2016), mentakrifkan kepengarangan sebagai satu
mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati
diri seseorang pengarang itu. Kepengarangan terbina daripada aspek pengolahan
iaitu pengarang berusaha mencipta teks yang mempunyai pembaharuan atau
melanggar apa yang telah sedia ada. Seterusnya, pengarang beristiqamah dengan
penciptaannya sehingga memiliki kepengarangannya sendiri (Mana Sikana, 2004
dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md.
Idris, 2016).
Menurut
Rahman Shaari (2001), estetika bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya
sastera. Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif
sifatnya. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md.
Idris (2016) pula mentakrifkan estetika berhubung dengan aspek keindahan, iaitu
yang terdapat pada struktur, pengolahan dan teknik penulisan. Estetika
kebiasaannya dikaitkan dengan gaya bahasa dan teknik keindahan. Gaya bahasa
atau teknik mengindahkan bahasa digunakan oleh pengarang supaya pengolahannya
kelihatan lebih menarik dan lebih difahami maknanya dan memberi kesan emosi
kepada pembaca. Estetika atau gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata
dalam menyampaikan buah fikiran dan perasaan seseorang penulis.
7.1 Kepengarangan dalam Hikayat
Inderaputera
Terdapat beberapa unsur kepengarangan yang
telah ditonjolkan oleh pengarang kepada pembaca. Antaranya ialah kepengarangan
unsur mitos, unsur ketuhanan, unsur keperwiraan dan unsur istana.
7.1.1 Unsur Mitos
Hikayat Inderaputera banyak mengandungi unsur khayalan dan
mitos seperti unsur ghaib, kekuasaan yang dimiliki oleh perwira dan banyak
lagi. Unsur mitos merupakan unsur yang penuh dengan kesaktian dan magis. Unsur
mitos digunakan oleh pengarang bagi menunjukkan kelebihan dan kekuasaan yang
ada dalam diri seorang perwira. Antara unsur mitos yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera ialah unsur ghaib.
Unsur ghaib dijadikan unsur kekuasaan yang dimiliki oleh individu yang
membolehkannya hilang dari pandangan mata. Individu yang memiliki kuasa ghaib
ini dianggap luar biasa. Contohnya:
"Maka Tamar Jalis pun ghaib ke udara
seribu kesakitan dirasanya daripada sangat darab perang, Inderaputera itu ia datang
menolong Nobat Rom Syah."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 22)
Selain itu,
dalam Hikayat Inderaputera terdapat
juga mitos unsur kuasa yang tidak mungkin dimiliki oleh manusia. Dalam dunia
sebenar, apabila tubuh badan manusia cedera maka akan mengeluarkan darah. Namun
dalam hikayat ini apabila manusia dicederakan, tubuh badannya akan berasap dan
mengeluarkan api. Contohnya:
"Setelah itu maka Raja Dewa Mengerna
pun memanah Inderaputera berasap keluar api memancar-mancar ke udara dan
Inderaputera pun memanah Raja Dewa Lela Mengerna. Maka kena tubuhnya demikian juga
keluar api memancar-mancar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 54)
Pengarang
banyak menyelitkan unsur-unsur mitos yang tidak logik dan tidak dapat diterima
oleh akal manusia tetapi unsur mitos ini juga telah menjadikan jalan cerita
hikayat ini lebih menarik dan kelihatan hidup.
7.1.2 Unsur Ketuhanan
Pengarang memperkenalkan watak utama iaitu
Inderaputera sebagai seorang pengembara yang mencari kebenaran Ilahi. Dalam
pengembaraan, beliau tidak pernah lupa akan kekuasaan Tuhan. Dalam setiap
perkara yang dilakukan, Inderaputera sentiasa menyebut dan mengingati bahawa
setiap kejadian berlaku dengan keizinan daripada Tuhan. Sebagai contoh:
"…Maka ujarnya oleh Inderaputera,
“Tuhan Yang Mahabesar yang telah menghidupkan tuan-tuan sekalian itu tetapi
hamba ini menjadi sebabnya juga.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 90)
Berdasarkan
petikan di atas, Inderaputera mempunyai kuasa untuk menghidupkan orang yang
telah mati. Kuasa yang dimiliki tidak menjadikan Inderaputera sebagai seorang
yang bongkak dan bangga diri, malah Inderaputera bersikap rendah diri apabila
mengakui bahawa kejadian yang berlaku adalah dengan izin Tuhan Yang Maha Besar
dan dia hanyalah sebagai perantaraan.
7.1.3 Unsur Keperwiraan
Pengarang juga banyak memperlihatkan unsur
keperwiraan dalam watak utama, Inderaputera. Keistimewaan dalam diri
Inderaputera terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga dewasa.
Kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki oleh Inderaputera membolehkannya membunuh
seekor raksasa sedangkan tubuh raksasa adalah lebih besar berbanding tubuh
manusia. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan petikan di bawah:
"Maka Inderaputera pun bertempik seraya
diparangnya Gherakas itu penggal dua lalu rebah mati."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 93)
Selain
memperlihatkan unsur keperwiraan, pengarang turut menyelitkan kisah masyarakat
dan golongan atasan yang amat menyanjung seorang wira yang berjaya melepasi
pelbagai rintangan serta sentiasa memberikan bantuan terhadap golongan yang
memerlukan pertolongan. Unsur keperwiraan yang dimiliki oleh Inderaputera
disenangi oleh semua orang. Malah, ada pihak yang menghantarkan perutusan untuk
meminta pertolongan. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan petikan di
bawah:
"Maka segala mereka itu pun hairan
melihat kelakuan Inderaputera membunuh Gherakas itu yang amat hairan. Maka Raja
Talela Syah pun segeralah datang memeluk mencium akan Inderaputera."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 140)
7.1.4 Unsur Istana
Hikayat Inderaputera merupakan cerita yang mengisahkan tentang
kehidupan golongan raja. Hikayat
Inderaputera banyak memperlihatkan penggunaan bahasa istana. Bahasa istana
merupakan bahasa yang sangat lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa ini dapat
mengindahkan lagi jalan cerita kehidupan golongan raja. Hikayat Inderaputera terdiri daripada Inderaputera sebagai anak
raja dan juga watak-watak lain yang terdiri daripada golongan istana. Bahasa
istana digunakan dalam pertuturan seharian mereka kerana bahasa ini merupakan
bahasa rasmi golongan istana. Bahasa istana yang digunakan dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat
berdasarkan contoh berikut:
"…Maka baginda pun menyuruhkan empat
orang menteri mengalu-alukan anak raja kedua itu. Maka menteri itu pun
bertemulah dengan Raja Dewa Lela Mengerna dan Nobat Rom Syah serta ia memberi
hormat kepada kedua orang anak raja itu seraya berkata, “Segeralah tuan hamba
dipersilakan oleh baginda.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 122)
Dalam ayat
di atas, bahasa istana yang digunakan ialah baginda dan tuan hamba. Seterusnya,
pengarang juga menonjolkan unsur kemewahan dan kekayaan golongan raja-raja dan
juga golongan istana. Kekayaan yang dimiliki oleh golongan ini ditunjukkan
dalam ayat di bawah:
"… Inderaputera pun berjalanlah pula
pada selapis pagar jala-jala itu daripada tembaga suasa dan pintunya itu
daripada emas sepuluh mutu dan berbagai-bagai pula perbuatannya yang
indah-indah rupanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 40)
Dalam ayat
di atas, unsur istana ditonjolkan melalui kemewahan yang dimiliki oleh golongan
raja. Pengarang telah menonjolkan kemewahan melampau yang dimiliki golongan
raja sehinggakan pintu pagar istana turut dibina dengan menggunakan tembaga dan
emas yang tinggi nilainya. Kemewahan dan kekayaan yang melampau ini mustahil
dapat dilihat di dunia nyata.
7.2 Estetika atau Gaya Bahasa
Terdapat beberapa unsur estetika atau
keindahan iaitu gaya bahasa yang cuba diketengahkan oleh pengarang kepada
pembaca. Antaranya ialah gaya bahasa simile, personifikasi, anafora, antitesis,
oksimoron, aliterasi dan asonansi.
7.2.1 Simile
Simile merupakan perbandingan terus, iaitu
membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita
menganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu
perbandingan atau persamaan dengan menggunakan unsur-unsur perlambangan dan
ditandai dengan bak, laksana, seperti, bagai, laksana, umpama dan sebagainya.
Antara contoh penggunaan gaya bahasa simile dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
"Maka diperbuat oleh pandai kayu itu
seekor ikan terlalu indah-indah rupanya seperti rupa ikan yang benar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 6)
"Maka
ujar bayan itu, “Tiadakah ghairat hari tuanku mendengar khabar Tuan Puteri
Ratna Serigading, timang-timangannya Tuan Puteri Cenderalela Nurlela di Padang
Anta Berahi di atas mahligai yang keemasan bertatahkan mutu manikam, terlalu
elok rupanya, rambutnya seperti cincin dituang, dahinya bagai sehari bulan,
keningnya bagai ditaji dibentuk, matanya bagai timur, hidungnya bagai kuntum
melur, telinganya bagai telepok layu, pipinya bagai pauh dilayang, bibirnya
bagai pati dicarik, giginya bagai delima merekah, lidahnya bagai cerana diupam,
dagunya bagai awan bergantung, lehernya bagai kumba dilarik, bahunya bagai bahu
wayang, lengannya bagai panah dibentur, jarinya bagai duri landak, susunya
bagai telur burung, dadanya bagai antaran hanyut, pinggangnya bagai tangkai
bunga, pahanya bagai paha belalang, betisnya bagai bunting padi, tapaknya bagai
dua jari hujung”."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)
"Maka kata bayan itu, ‘Patut sekali
dengan tuanku, seperti bunga kembang sekaki, kembangnya tidak nirmala
lagi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)
7.2.2 Personifikasi
Menurut Corbett dan Connors dalam Abu
Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012), personifikasi bermaksud menerangkan
objek bukan manusia dengan sifat manusia. Personifikasi juga ditakrifkan
sebagai sesuatu yang memberi unsur manusia atau benda hidup kepada bukan benda
hidup atau tidak bernyawa. Contohnya:
"Maka ikan kayu itu pun tertawa dan
berenang dalam air itu, berpantun dan berseloka."
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 6)
"Maka dilihat baginda terlalu ajaib
indah-indah rupanya merak itu. Maka ditaruh baginda di atas talam emas, maka
merak itu pun mengigal di atas talam itu seraya berpantun dan berseloka."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7)
7.2.3 Anafora
Menurut Corbett dan Connors dalam buku Abu
Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012) juga, anafora merujuk kepada
pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa
yang berurutan. Anafora digunakan bagi menghasilkan kesan emosi yang kuat.
Contohnya adalah seperti berikut :
"Maka ia pun berjalan pula beberapa
melalui hutan dan padang. Maka Inderaputera pun bertemu dengan binatang
berbagai-bagai rupanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 78)
7.2.4 Antitesis
Menurut Umar Junus dalam buku Abu Hassan
Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012), antitesis boleh ditafsirkan sebagai
bentuk peletakan dua ayat atau kata yang bertentangan dalam kedudukan
berdampingan. Contohnya perkataan ayah dan bonda yang membawa maksud berbeza
tetapi diletakkan secara berdampingan dalam ayat. Begitu juga tuan dan hamba
serta makan dan minum.
"Maka Inderaputera mengucap syukur
akan dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’la akan ayah bondanya."
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 20)
“… tahukah akan tuan hamba jauhnya mahligai
Tuan Puteri itu..”
(Hikayat Inderaputera,
Halaman 67)
“…dihadap oleh segala menteri hulubalang
dan bala tenteranya sekalian dengan makan minum…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 83)
7.2.5 Paralelisme
Paralelisme merujuk kepada kesamaan
struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa
yang berhubungan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris, 2012). Berdasarkan
contoh di bawah, dapat dilihat wujudnya kesamaan struktur bagi contoh pertama
yang menyenaraikan pelbagai jenis alat muzik, manakala contoh dua pula
menyenaraikan pelbagai jenis binatang.
“… bunyi-bunyian pun berbunyilah daripada
harebab, kecapi, dandi, muri, serdam, mendali, kopak, ceracap,bangsi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 91)
“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan
beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 118)
7.2.6 Aliterasi
Aliterasi merupakan sejenis gaya bahasa
pengulangan bunyi konsonan yang sama pada awal kata dan yang berturutan waima
dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden waima
kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh
berikut:
“Apa ketupat padi Dang Nilam,
Temu-temu parang lengkuas,
Apa ubat hati yang dendam,
Sukar bertemu makanya puas,”
“Ke padang rimba raya,
Kumbang menyeri pekan sutera,
Kepada pemandangan sahaya,
Sedang akan isteri Inderaputera.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 121)
Berdasarkan
contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan aliterasi dapat dilihat dalam
pengulangan huruf ‘t’ dan ‘m’ dalam beberapa perkataan.
7.2.7 Asonansi
Asonansi adalah gaya bahasa pengulangan
bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya
secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi
tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif ata
bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa asonansi dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh
berikut:
Utar-utar di atas pintu,
Sarung keris sudah dirapat,
Orang sukar sahaja begitu,
Orang arif maka mendapat.
Telak empelas di dalam padi,
Menteri duduk berdagang gelang,
Tidaklah belas hati tuan puteri,
Melihat dagang terulang-ulang.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 97)
Berdasarkan
contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan asonansi dapat dilihat dalam
pengulangan huruf ‘a’ dan ‘e’ dalam beberapa perkataan.
8.0 Nilai Ilmu dalam Hikayat
Inderaputera
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010),
perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai
membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau
salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu
barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu
perlakuan manusia. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) juga memberikan definisi
terhadap ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin
dan lain-lain. Oleh itu dapat dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan
kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain
dalam bentuk pelbagai maklumat.
Terdapat
beberapa jenis nilai ilmu yang dapat dilihat dalam karya agung Melayu Hikayat Inderaputera, antaranya:
8.1 Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010),
dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara
kampung atau tradisional dengan bacaan jampi serapah. Manakala perdukunan pula
membawa maksud berubat cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan
ilmu dukun. Ilmu dukun ini dikatakan mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang
pertama disebut sebagai kaahin iaitu si pendukun, kedua ialah mutakaahin iaitu
peminta atau pesakit yang berjumpa dukun dan yang terakhir ialah mahkuun iaitu
kepada siaoa dukun itu ditujukan.
Menurut Neil
Turnbull (1999:32), dukun merupakan titik hubungan ghaib antara dunia roh
dengan dunia manusia. Kelompok orang istimewa yang mampu membaca dan
menggunakan bahawa ghaib dari dunia roh ini dikenal sebagai dukun. Kepercayaan
masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Mereka
beranggapan perkara-perkara atau benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Oleh
itu wujudlah pemujaan atau penyembahan terhadap benda-benda seperti batu,
pokok, sungai, gunung dan lain-lain. Hanya dukun, pawang dan ahli nujum sahaja
dikatakan mampu melakukan perkara ini. Tindakan ini dianggap berperanan untuk
mengembalikan keadaan seperti asal.
Dalam Hikayat Inderaputera, Inderaputera telah
berkhidmat kepada Raja Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung Mali Kesna
untuk mendapatkan ubat bagi memperoleh anak. Hal tersebut telah menyebabkan
golongan istana mempercayai kehebatan dukun ini. Raja Syahian percaya dukun
yang berada di atas Gunung Mali Kesna dapat memberikan ubat kepada baginda
untuk memperoleh anak. Disebabkan keinginan baginda yang terlalu tinggi dan
mendesak, baginda mengarahkan mana-mana rakyatnya yang sanggup ke gunung
berkenaan untuk mengambil ubat walaupun dikatakan tiada orang mampu pulang
dengan selamat.
"Maka ujar perdana menteri, “Ada hamba
mendengar daripada nenek moyang hamba tatkala itu hamba lagi kecil, ada
diwartakan orang pada Gunung Mali Kesna namanya, ada seorang maharesi bertapa
pada gunung itu bernama Berma Sakti. Baginda itu terlalu amat sakti, jika ada
raja-raja sakit atau hendak beranak maka pergi menyuruh kepada baginda itu
minta ubat, nescaya sembuh sakitnya dan beroleh anak...”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 13)
Berma Sakti
telah memberikan bunga tunjung putih kepada Inderaputera, kemudian Inderaputera
menyerahkan kepada Raja Syahian sebagai ubat memperoleh anak. Kesaktian bunga
tunjung putih dapat dilihat setelah permaisuri memakan sayur bunga tunjung
putih itu, kemudian permaisuri Raja Syahian telah hamil.
"Maka Raja Syahian pun masuk ke dalam
istana. Maka setelah berapa lamanya maka permaisuri pun hamillah. Maka Raja
Syahian pun terlalu sukacita melihat permaisuri hamil itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 187)
Selain itu, Inderaputera juga dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai
penyakit. Inderaputera telah diberi sehelai kain sutera puri oleh Dewi Lakpurba
ketika berada sebuah negeri. Inderaputera diajar cara menggunakan kaun sutera
tersebut untuk mengubat orang sakit.
"Maka kata Dewi Lakpurba kepada
Inderaputera, “Hai cucuku, suatu pun tiada pemberiku kepada cucuku, hanyalah
kain sutera ini juga. Adapun penggunaannya kain ini, jikalau ada orang sakit
payah, jikalau hancur sekalipun tubuhnya, maka kain ini ditudungkan kepada
tubuh orang sakit itu. Maka disiram dengan air mawar, nescaya sembuh sakitnya
orang itu.”
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 193)
Ketika
puteri kepada Raja Syahian iaitu Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga jatuh sakit,
Inderaputera telah mengubatinya dengan menggunakan kain sutera itu. Ternyata
Tuan Puteri sembuh. Sudah ramai dukun yang dibawa ke istana untuk mengubat
penyakit yang dihadapi oleh Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga tetapi semuanya
hampa. Raja Syahian telah memberi kebenaran untuk menjadi menantunya bagi
sesiapa yang dapat memberi ubat kepada puterinya itu. Kehadiran Inderaputera
telah memberi sinar baharu kepada Raja Syahian untuk melihat puterinya sembuh.
Sekaligus Inderputera dikahwinkan dengan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga hari
selepasnya.
"Maka Inderaputera pun masuklah ke
dalam tirai peraduan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga. Maka Tuan Puteri
Mengindera Sari Bunga pun membuka matanya … Maka Inderaputera pun mengeluarkan
kain sutera puri. Maka dilihat oleh Raja Syahian kain sutera puri itu terlalu
halus rupanya seperti air embun."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 196)
8.2 Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), firasat adalah pengetahuan
mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan
atau nasib seseorang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu
firasat. Terdapat juga golongan istana yang menggunakan ahli nujum sebelum
kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak
berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Ahli nujum dapat
mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain selepas membuat tilikan terhadap
sesuatu, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika.
Dalam Hikayat Inderaputera banyak mempamerkan
ilmu firasat. Antaranya ketika kelahiran Inderaputera, putera kepada Maharaja
Bikrama Bispa dan Tuan Puteri Jumjum Ratradewi. Ahli nujum pada ketika itu
dititahkan oleh baginda untuk menilik nasib kebesaran yang bakal diperoleh
Inderaputera.
"Maka segala ahlunnujum pun melihat
nujumnya dan menggerakkan kepalanya. Maka sembah segala ahlunnujum, “Ya tuanku
Syah Alam, terlalu sekali berbahagia paduka anakanda itu dan memangku kerajaan
yang maha besar. Adapaun tujuh tahun juga paduka anakanda itu dapat
bersama-sama dengan tuanku. Kemudian dari itu bercerailah paduka anakanda
dengan tuanku, beberapa paduka anakanda itu melihat kekayaan Allah Subhanahu wa
Ta’ala Tu(h)an yang Maha Tinggi; dan jangan paduka anakanda itu tuanku beri
bermain binatang, karena sebab paduka anakanda bermain binatang itu jadi
beroleh bencana, bercrai dengan duli tuanku.”
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 4)
Ahli nujum
biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara tertentu. Biasanya
ramalan ahli nujum mudah dipercayai dan diyakini akan berlaku walaupun nasib
seseorang itu buruk. Sebagai contohnya dapat dilihat melalui petikan dalam Hikayat Inderaputera seperti berikut:
"… karena baginda sangat memeliharakan
pesan ahlunnujum; dan jika baginda diadap segala raja-raja dan menteri
hulubalang sekalian pun anakanda itu tiada bercerai dengan baginda.”
(Hikayat
Inderaputera, Halaman 5)
Berdasarkan
contoh petikan di atas, ramalan ahli nujum terhadap nasib Inderaputera itu
memang tepat. Inderaputera telah diterbangkan oleh seekor burung merak tanpa
dapat dihalang oleh sesiapa pun. Peristiwa ini dapat dilihat daripada petikan
teks hikayat.
"… maka Inderaputera disambar oleh
merak itu dibawanya terbang. Maka Inderaputera pun ghaiblah dengan seketika itu
daripada mata Maharaja mikrama Bispa dan mata orang banyak."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7)
8.3 Ilmu Agama
Dalam zaman klasik, ilmu yang paling
menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat difahami kerana apabila Islam
mula diperkenalkan kepada umat Melayu yang memerlukan pengembangan ajaran Islam
dalam segala sudut yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat bangsa
Melayu, selaras dengan kesepaduan yang ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan
dengan Tuhan (hablum min Allah), hubungan sesama manusia bahkan dengan makhluk
lain (hablum min al-nas).
Berdasarkan Hikayat Inderaputera, Maharaja Bikrama
Bispa amat menekankan soal agama kepada puteranya, Inderaputera ketika
Inderaputera kecil. Inderaputera sudah
tahu mengaji ketika berumur tujuh tahun lagi.
"Hatta setelah berapa lamanya maka
anakanda baginda Inderaputera pun besarlah, maka disuruhkan baginda kepada
mualim disuruh ajar mengaji. Setelah berapa lamanya kira-kira tujuh tahun umur
Inderaputera, maka Inderaputera pun tahulah mengaji Qur’an…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5)
Inderaputera digambarkan sebagai seorang umat Islam yang soleh, ingat
kepada Allah, baik sewaktu dia menikmati keindahan ciptaan-Nya, mahupun dalam
saat-saat dia terancam bahawa. Nilai Islam dimasukkan dalam perwatakan
Inderaputera untuk menggambarkan keindahan Islam.
"Maka hairanlah Inderaputera melihat
segala yang indah-indah itu. Maka beberapa pula puji Inderaputera kepada Allah
Subhanahu wa Ta’ala…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 53)
“… Atas patiklah melawan segala menteri itu
dengan anak raja-raja sekalian itu dengan tolong Tuhan Yang Kuasa.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)
9.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat Inderaputera merupakan kelangsungan daripada pengaruh Hindu
terhadap kesusasteraan Melayu. Perwatakan, tema dan plotnya menunjukkan dasar
kreativiti pemikiran yang masih kuat berkhayal terhadap alam nyata dan alam
dongeng yang disatukan. Keistimewaan Inderaputera yang dapat berkomunikasi dan
bergerak di pelbagai pelosok alam ini adalah berpunca dari world view daripada
serpihan kepercayaan Hindu yang antaranya memaparkan unsur-unsur sakti dan
inkarnasi.
Walau bagaimanapun, karya ini juga sudah disisipkan dengan unsur-unsur
kemelayuan seperti unsur nenek kebayan, unsur Islam seperti penggunaan
nama-nama Islam dan unsur memuji kebesaran Tuhan. Sungguhpun begitu, penyisipan
unsur-unsur Melayu dan Islam sukar memadamkan kekentalan nilai-nilai Hindunya.
BIBLIOGRAFI
Abu Hassan Abdul, PhD. (2013). Modul BMK 30043 Seni Mengarang. Tanjung
Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris.
(2012). Nota Kuliah Semester 1 2012/2013.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Kamus
Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
Dan Pustaka.
Hassan Ahmad. (2007). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Global
Printers Sdn. Bhd.
Neil Turnbull. (1999). Filsafat. Indonesia : Penerbit Erlangga.
Nik Hassan Basri
Nik Abd Kadir. (2007). Komsas Pegangan
Teras Keterampilan. Kuala
Lumpur : Icon Region Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani.
(2014). Karya Agung Melayu.
Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd
Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah
Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti Pendidikan
Sultan Idris.
Mohd Rashid Idris, Siti Khairiah Mohd Zubir & Abdullah Yusof.
(2004), Nilai Estetika dalam Pantun. Tanjong
Malim: Emeritius Publications.
Rahman Shaari. (2001), Bimbingan Istilah
Sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Raja Ali Haji. (2000). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Theologi
Surakarta. (2013). Pengertian Teologi
Menurut Islam. Diperoleh pada 23 April 2016
daripada https://theologisurakarta.wordpress.com/2013/07/08/pengertian- teologi-menurut-islam.
No comments:
Post a Comment