1.0 PENGENALAN
Sesebuah
karya diterima sebagai karya agung setelah meneliti secara terperinci ciri-ciri
yang perlu ada untuk melayakkan diterima sebagai karya agung. Terdapat empat
aspek yang diteliti untuk mengiktiraf sesuatu karya sebagai karya agung.
Ciri-ciri tersebut ialah lambang dan pesanan yang ingin disampaikan, nilai
budaya, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa.
Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016),
ketokohan pula merujuk kepada kekuatan dan keistimewaan seseorang tokoh dalam
mengarang sesebuah karya yang dikenali sebagai karya agung pada hari ini.
Antara pengarang karya agung yang sering diperkatakan ialah Tun Seri Lanang,
Raja Ali Haji, Hamzah Fansuri, Sheikh Syamsuddin Al Sumatrani dan Abdullah
Munsyi. Antara enam tokoh pengarang karya agung hanya dua daripada mereka yang
akan dibincangkan dalam penulisan ilmiah ini iaitu Tun Seri Lanang dan Raja Ali
Haji.
2.0 TUN SERI LANANG
2.1 Latar
Belakang Tun Seri Lanang
Tun Sri
Lanang adalah nama timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun
Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun
ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada
tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor
kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan
Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan
telah menetap di negeri Samalanga. Pada ketika itu, ramai bangsawan dan rakyat
Johor yang mengikut beliau ke Aceh dan dikatakan seramai ribuan orang yang
mengikut beliau ke sana.
Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan
diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau
telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di
negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi
raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659
di Lancok dan telah dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya
menjadikan negeri Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di
timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan
bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.
2.2 Peranan
dan Sumbangan Tun Seri Lanang
Tun Sri
Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin bermula pada
tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu di
samping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau disifatkan sebagai
seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek penggunaan gaya bahasa
dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya terunggul beliau ini
berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan karya tersebut
seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban Tamadun Islam
Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek
penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan
dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.
Karya ini juga dianggap sebagai karya yang begitu
indah dan menarik dari segi gaya bahasa dan persuratannya. Kandungannya yang
meliputi unsur kelucuan, kebijaksanaan, sindiran, perlambangan, peribahasa,
bidalan, pantun seloka, dan gurindam yang dikarang dalam pelbagai bahasa
seperti bahasa Melayu, Arab, Jawa dan lain-lain dengan begitu teliti dan kemas.
Namun, ia juga tidak terlepas daripada ‘Polemik Sejarah’ kerana naskhah
tersebut didakwa bukan naskhah asal karangan Tun Sri Lanang tetapi kandungannya
adalah daripada Hikayat Melayu yang diberikan oleh Tun Bambang
Sri Narawangsa, anak Sri Askar Raja, Patani. Hikayat itu dikatakan telah
dikarang dan disusun semula oleh Tun Sri Lanang atas titah Raja Abdullah, iaitu
adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang akhirnya menjadi Sulalatus
Salatin. Sejarah penting berkaitan arahan dan galakan oleh Raja Abdullah
kepada Tun Sri Lanang untuk menulis dan mengarang tentang Sejarah Melayu ada
tercatat dalam kitab tersebut sebagai mukadimahnya. Dengan titah Raja Abdullah
tersebut, dapat disimpulkan bahawa penulisan kitab Sulalatus
Salatin telah dimulakan pada 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah bersamaan Mei
1612 ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja.
3.0 RAJA
ALI HAJI
3.1 Latar
Belakang Raja Ali Haji
Nama
penuhnya ialah Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dan kadangkala dikenali sebagai
Engku Haji Tua. Beliau berketurunan Daeng Bugis ataupun raja-raja Bugis dan
dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau pada tahun 1809. Beliau dibesarkan dalam
kalangan bangsawan. Ketika berusia 11 tahun, Raja Ali Haji menunaikan fardhu
haji bersama bapanya, Raja Ahmad dan tinggal di sana selama beberapa tahun.
Setelah pulang ke Riau, beliau menjadi penasihat Yamtuan Muda Riau dalam bidang
agama dan undang-undang. Ketika itu, Pulau Penyengat menjadi pusat kebudayaan
Melayu dan pusat tumpuan ilmu pengetahuan, khususnya Islam. Beliau memiliki
pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Melayu dan Arab serta alim dalam hal ehwal
agama Islam.
Raja Ali Haji terkenal sebagai ahli tawarikh dan
politik semasa hidupnya. Bakat-bakat ilmiah, sastera dan politik yang ada pada
dirinya adalah diwarisi daripada ayahnya. Sekiranya mempunyai kelapangan,
beliau akan mengarang buku dan antara anak muridnya yang terkenal termasuklah
Yang Dipertuan Muda Riau sendiri dan Syed Syeikh al-Hadi dari Melaka (bapa
novel Melayu). Beliau meninggal dunia pada tahun 1870.
3.2 Peranan
dan Sumbangan Raja Ali Haji
Raja Ali
Haji muncul sebagai tokoh bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga
tokoh agama yang ulung pada zamannya (Mohd. Sharifudin Yusop dan Mohd. Lani
Sobi, 1999). Sumbangan beliau terhadap persuratan Melayu amat penting. Daya
kreativitinya dan kepekaannya terhadap permasalahan yang berlaku di
sekelilingnya menjadikan beliau begitu masyhur. Dalam bidang agama, beliau
menjadi guru kepada Yamtuan Muda Riau selain mengajarkan agama Islam kepada
pembesar dan rakyat jelata. Beliau turut menghasilkan karya-karya berteraskan
Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan
Syair Sinar Gemala Mustika Alam. Dalam bidang sejarah pula, beliau menghasilkan
dua buah kitab sastera sejarah yang penting terutamanya bagi keturunan raja-raja
Bugis iaitu Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian
Raja-rajanya. Sebagai tokoh bahasa, beliau menghasilkan pula Bustanul Katibin
dan Kitab Pengetahuan Bahasa.
Ternyata Raja Ali Haji seorang tokoh yang tiada tolok
banding jika diteliti karya-karyanya yang meliputi pelbagai bidang itu. Dalam
bidang bahasa, beliaulah yang diketahui orang pertama yang menulis tentang
tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun sebuah kamus
Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa. Menurut Wan Samsuddin Mohd. Yusoff
(1976), mengenai bukunya Tuhfatul Nafis, C. Hooykaas dan Winstedt bersependapat
menyatakan bahawa sesudah sejarah Melayu, Tuhfatul Nafis dipandang sebagai
sumber terpenting dalam persejarahan Melayu. Dalam bidang sejarah, beliau
berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-raja
Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul
Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Untuk pertama
kalinya juga beliau menggarap penulisannya secara lebih realistik sekali gus
mengurangkan unsur-unsur mitos, dongeng dan khayalan dalam penghasilan karya.
Walaupun terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam hasil karangan beliau, Raja Ali
Haji tetap dianggap pengarang klasik.
4.0 ABDULLAH MUNSYI
4.1 Latar
belakang Abdullah Munsyi
Nama
sebenar Munsyi Abdullah ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan pada
1796 di Kampung Masjid atau Kampung Masjid Keling yang juga dikenali sebagai
Kampung Pali pada waktu itu. Abdullah mempunyai empat orang adik-beradik tetapi
ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia ketika kecil berusia antara satu
hingga tiga tahun. Ibu Abdullah selalu menangis dan berasa susah hati sehinggakan
sampai ke pengetahuan seorang guru agama yang bernama Habib Abdullah. Beliau
menasihati ibu Abdullah supaya berhenti menangis dan jika dikurniakan anak
lelaki lagi, maka diberikan nama Abdullah bagi mengambil berkat daripada nama
beliau.
Abdullah menyatakan asal usul keturunannya bermula
daripada seorang pemuda Arab Yaman, suku Uthmani yang bernama Syeikh Abdul
Kadir. Syeikh Abdul Kadir telah mengembara dari Tanah Arab ke Bandar Nagor di
India. Beliau bekerja sebagai guru agama dan bahasa. Beliau telah berkahwin
dengan gadis tempatan dan menetap di tanah asing itu. Mereka telah dikurniakan
empat orang anak dan salah seorang merupakan datuk Abdullah yang bernama
Muhammad Ibrahim. Muhammad Ibrahim telah mengembara sehingga ke Melaka apabila
Syeikh Abdul Kadir meninggal dunia. Beliau juga telah berkahwin di Melaka
dengan gadis bernama Peri Achi mungkin berketurunan India-Islam dan
mendapat anak yang salah seorangnya ialah ayah Abdullah, iaitu Abdul Kadir
sempena nama ayah beliau.
Abdul Kadir sangat tegas dengan anaknya terutama dalam
pelajaran. Setiap malam bapa Abdullah akan mendera beliau supaya menyambung
pelajaran atau membuat kerja rumah. Hasil didikan itu menyebabkan Abdullah
menjadi pintar dan kreatif berbanding kanak-kanak lain. Abdullah dikatakan
cepat matang dan memiliki sikap berdikari kerana pada usia yang masih
kanak-kanak lagi, beliau sudah menjual layang-layang, melukis, menulis surat,
dan menyalin al-Quran untuk mendapatkan wang. Abdullah juga sangat rajin
menuntut ilmu. Dia tidak kisah belajar dengan sesiapa asalkan dapat mempelajari
ilmu baru. Bidang yang paling digemarinya ialah bidang bahasa dengan meluaskan
pengetahuan mengenai kata dari aspek simpulan, ikatan, rangkai kata, kuasa,
tujuan, dan ilmu bahasa. Beliau juga turut mempelajari bahasa Tamil, Arab, dan
Inggeris selain bahasa Melayu untuk memudahkan proses berkomunikasi dengan
bangsa lain.
Abdullah menerima gelaran “munsyi” yang bermaksud guru
ketika berumur 11 tahun kerana kepintarannya dan mempunyai banyak ilmu. Beliau
juga menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka.
Golongan askar tersebut atau dikenali sebagai Supai atau ‘sepoy’ dalam bahasa
Inggeris yang telah memberikan gelaran “munsyi”. Mereka merupakan anggota
tentera berbangsa India yang diambil berkhidmat dengan tentera Inggeris di
India. Panggilan “munsyi” digunakan oleh Abdullah di hujung nama beliau dan
gelaran tersebut menjadi sebahagiaan daripada nama penuh beliau sehingga kini.
Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 berusia 58 tahun ketika
dalam perjalanan ke Mekkah. Ketika itu, beliau ingin menunaikan fardhu haji
pada 19 Januari 1854. Sepanjang perjalanan itu, Abdullah mencatat pengalamannya
tetapi terhenti apabila beliau meninggal dunia semasa berada di Mekkah. Hasil
tulisan Abdullah itu tetap dicetak walaupun tidak dapat disiapkan dengan diberi
tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah” yang diterbitkan oleh Balai Pustaka,
Jakarta pada 1920.
4.2
Sumbangan dan Peranan Abdullah Munsyi
Abdullah seorang yang sangat berkebolehan dan bijak.
Abdullah banyak memainkan peranan dan memikul tanggungjawab seperti telah
dilantik sebagai jurutulis dan penterjemah ketika Stamford Raffles membuat
lawatan ke Melaka kali ketiga. Beliau bekerja di kediaman Raffles Bandar Hilir,
Melaka. Tugas yang lakukan sebagai jurutulis Raffles antaranya menyalin
hikayat, menulis surat kiriman, menulis tentang bahasa Melayu, syair, dan
sebagainya. Sikap rajin dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Abdullah membuatkan
Raffles menyenanginya dan berasa hormat dalam kalangan Inggeris terhadap anak
watan itu. Bagaimanapun, persahabatan itu terputus apabila Raffles berpindah ke
Betawi.
Ketika usianya 27 tahun, Abdullah telah mengajar
Bahasa Melayu kepada Paderi Milne tetapi pada masa yang sama Paderi Milne
bersetuju menerima Abdullah belajar bahasa Inggeris. Selain menjadi seorang
guru kepada orang Inggeris, Abdullah turut mencetak buku dan risalah. Abdullah
juga telah mengajar seorang lagi Inggeris yang bernama C.H.Thomson ketika dia
datang ke Melaka pada bulan September 1815 selepas Abdullah mula belajar dan
mengajar di rumah Paderi Milne. Walaupun Paderi Thomson pernah belajar bahasa
Melayu di Jawa, dia tetap mahu menguasai lagi bidang nahu dan penulisan bahasa
Melayu. Abdullah bersetuju untuk mengajar Paderi Thomson bahasa Melayu setelah
berbincang dengan Paderi Milne dan memperuntukkan masa yang lebih berbanding
Paderi Milne. Hal ini demikian dapat dilihat bahawa orang Inggeris berminat
untuk mempelajari bahasa Melayu dan menunjukkan penyebaran penggunaan bahasa
Melayu di seluruh dunia. Kehebatan anak Melayu juga terserlah apabila mampu
bekerjasama dengan orang Inggeris.
Selain itu, pada tahun 1815, peralatan percetakan
telah digunakan di kediaman Paderi Milne. Percetakan lebih giat dilakukan
selepas peralatan percetakan seperti pengecap buku dan surat, dan pembentuk
huruf-huruf jawi di bawa masuk. Abdullah telah menggunakan peralatan baru itu
untuk membuat huruf-huruf, mengaturnya, dan mencetak buku serta surat. Dengan
bantuan Abdullah, Aglo-Chinese College(ACC) telah mengeluarkan terjemahan buku
matematik untuk anak-anak Melayu. Buku-buku perbualan dalam bahasa Melayu untuk
tujuan berkomunikasi dan majalah turut diterbitkan. Berdasarkan rekod sejarah,
majalah “Bustan Ariffin” telah diterbitkan di dalam dwi-bahasa, Inggeris-Melayu
tiga bulan sekali. Bagaimanapun, penerbitan majalah tersebut hanya mampu
bertahan selama dua tahun sahaja.
Apabila Singapura dibuka, Abdullah telah berpindah di
sana dan menjadi jurutulis serta jurubahasa Raffles. Di Singapura, beliau tetap
meneruskan kerja-kerja utamanya seperti di Anglo-Chinese College di Melaka,
iaitu sebagai jurucetak, jurubahasa dan mengajar bahasa Melayu kepada
pedagang-pedagang yang berada di Singapura. Beliau juga bertanggungjawab
menulis undang-undang Singapura atas arahan Raffles. Abdullah juga diberi tugas
untuk mengumpul bahan sastera Melayu lama seperti kitab, hikayat dan syair
untuk Raffles membawa pulang bahan itu ke England. Seorang Inggeris yang
bernama Newbold telah mengarahkan Abdullah mengkaji dan menulis adat Cina dan masyarakat
Jakun dalam bahasa Inggeris apabila Abdullah kembali ke Melaka. Tugas itu telah
membawa Abdullah mengembara ke Gunung Pancur bagi melihat dan mengkaji budaya
hidup masyarakat Jakun di sana.
5.0 HAMZAH FANSURI
5.1 Latar
Belakang Hamzah Fansuri
Syeikh
Hamzah Fansuri adalah seorang cendekiawan, ulama tasawuf, dan budayawan
terkemuka yang diperkirakan hidup antara pertengahan abad ke-16 sampai awal
abad ke-17. Sayang sekali bukti-bukti tertulis yang dinyatakan tarikh
sebenarnya Syeikh Hamzah Fansuri lahir dan wafat, dimana dilahirkan dan dimana
pula jasadnya dibaringkan dan ditanam, tak dijumpai sampai sekarang. Namun
begitu, Hamzah Fansuri dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus
atau Panchor, Sumatera Barat. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya
Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai
Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di
Fansur.
Hamzah Fansuri telah mengembara ke pelbagai tempat
untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah
Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Beliau menguasai bahasa Arab dan
Parsi di samping Bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa
Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan
sekarang. Nama gelar atau takhallus yang tercantum di belakang nama kecilnya
memperlihatkan bahwa pendekar puisi dan ilmu sulukini berasal dari Fansur,
sebutan orang-orang Arab terhadap Barus, sekarang sebuah kota kecil di pantai barat
Sumatera yang terletak antara kota Sibolga dan Singkel. Sampai abad ke-16
kota ini merupakan pelabuhan dagang penting yang dikunjungi para saudagar dan
musafir dari negeri-negeri jauh. Daripada syair dan namanya sendiri
sudah sekian lama berdominasi di Fansur, berdekatan Singkel, sehingga mereka
dan turunan mereka pantas digelari Fansur. Konon saudara Hamzah Fansuri bernama
Ali Fansuri, ayah dari Abdur Rauf Singkel Fansuri.
Mengikut sarjana bahasa yang memahami syair mengatakan
bahwa Hamzah Fansuri lahir di tanah Syahrmawi, tapi tidak ada sebarang
penjelasan mengenai dimana tanah Syahrmawi itu berada. Ada yang mengatakan di
tanah Aceh sendiri ada yang menunjuk tanah Siam, dan bahkan ada
sarjana yang menunjuk negeri Persia sebagai tanah yang di Aceh oleh nama
Syamawi. Kiranya namanya di Nusantara di kalangan ulama dan sarjana penyelidik
keislaman tak asing lagi. Hampir semua penulis sejarah Islam mencatat bahwa
Syeikh Hamzah Fansuri dan muridnya Syeikh Syamsuddin Sumatrani adalah dengan
al-Hallaj, faham hulul, ittihad, mahabbah dan lain-lain adalah seirama. Syeikh
Hamzah Fansuri diakui seorang pujangga Islam yang sangat popular di zamannya,
sehingga kini namanya menghiasi lembaran-lembaran sejarah kesusasteraan Melayu
dan Indonesia. Namanya tercatat sebagai tokoh kaliber besar dalam perkembangan
Islam di nusantara dari abadnya hingga ke abad kini. Dalam buku-buku
sejarah mengenai Aceh namanya selalu diuraikan dengan
panjang.
Hamzah Fansuri menghasilkan karya tulis yang banyak,
akan tetapi karya-karya tulisnya itu bersama karya-karya tulis Syamsuddin
Sumatrani, dibinasakan (dibakar) berdasarkan perintah Sultan Iskandar Sani atau
anjuran Huruddin al-Riniri, mufti dan penasihat agama di Istana Sultan
tersebut. Di antara syair-syair Syeikh Hamzah Fansuri terkumpul dalam buku-buku
yang terkenal, dalam kesusasteraan Melayu/ Indonesia tercatat buku-buku
syairnya antaranya, Syair Burung Pingai, Syair Dagang, Syair Pungguk, Syair
Sidang Faqir, Syair Ikan Tongkol, Syair Perahu.
5.2
Sumbangan dan Peranan Hamzah Fansuri
Karya-karya
Syeikh Hamzah Fansuri baik yang berbentuk syair mahupun berbentuk prosa banyak
menarik perhatian para sarjana baik sarjana barat atau orientalis barat mahupun
sarjana tempatan. Puisi-puisi penyair sufi biasanya tidak lengkap
tanpa disertai tanda-tanda kesufian seperti, faqir, asyiq dan lain sebagainya.
Tanda serupa ini kita jumpai di dalam sajak-sajak Hamzah Fansuri. Antara tanda
kesufian yang banyak ditemukan dalam syair-syair Hamzah Fansuri ialah anak dagang,
anak jamu, anak datu, anak ratu, orang uryani, ungkas quddusi, dan
kadang-kadang digunakan dengan nama pribadinya seperti Hamzah Miskin, Hamzah
Gharib dan lain-lain.
Syeikh Hamzah Fansuri bukan hanya seorang ulama
tasawuf dan sasterawan terkemuka, tetapi juga seorang perintis dan pelopor bagi
perkembangan kebudayaan Islam dan sumbangannya sangat besar. Di bidang keilmuan
Syeikh telah mempelajari penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang demikian
sistematis dan bersifat ilmiah. Sebelum karya-karya Syeikh muncul, masyarakat
muslim Melayu mempelajari masalah-masalah agama, tasawuf dan sastera melalui
kitab-kitab yang ditulis di dalam bahasa Arab atau Persia. Di bidang sasetra
Syeikh mempelopori pula penulisan puisi-puisi filosofi dan mistis bercorak
Islam, kedalaman kandungan puisi-puisinya sukar ditandingi oleh penyair lain
yang sezaman ataupun sesudahnya. Penulis-penulis Melayu abad ke-17 dan 18
kebanyakan berada di bawah bayang-bayang kegeniusan dan kepiawaian Syeikh
Hamzah Fansuri.
6.0 KESIMPULAN
Rumusnya,
tidak dapat dinafikan lagi ketokohan seorang pengarang yang sangat hebat dalam
diri dua orang tokoh yang telah dibincangkan iaitu Tun Seri Lanang dan Raja Ali
Haji. Keindahan bahasa yang digunakan dalam hasil karya sangat menusuk kalbu
pembaca dan isi penulisan juga mempunyai jalan cerita yang sangat unik dan
menarik.
Hasil karya sastera dan sejarah yang dikarang oleh Tun
Seri Lanang mempunyai tujuan yang serius dan berat. Beliau secara jelas bukan
sekadar mengarang Sulalat al-Salatin atas perintah sultan, tetapi terdapat
sesuatu yang ingin disampaikan oleh pengarang ini sebagai panduan dan
pengajaran kepada pembaca. Begitu juga dengan Raja Ali Haji, karya 'Gurindam
Dua Belas' banyak memberikan pengajaran dan peringatan kepada pembaca dalam
pelbagai aspek untuk mewujudkan sebuah kehidupan yang lebih baik dan mendapat
keberkatan Allah.
BIBLIOGRAFI
A.Samad Ahmad (penyelenggara). Edisi Pelajar Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Sharifudin Yusop dan Mohd. Lani Sobi. (1999). Sejarah
dan Kritikan Sastera. Selangor:
Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. (1988). Sejarahwan
dan Pensejarahan: Ketokohan dan
Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seri Lanang Jaya Haji Rohani, Abd Rahman Napiah &
Mohd Rashid Md. Idris. (2016). Karya Agung
Melayu. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
No comments:
Post a Comment