1.0
Pengenalan
Karya
agung merupakan karya yang nilainya kekal sepanjang zaman sebagai khazanah
budaya dan ilmu Melayu. Ia tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas,
walaupun zaman berubah. Nilai-nilainya yang tidak lapuk itu termasuklah nilai
seni, budaya, ilmu dan pemikiran, teknik kepengarangannya, serta bahasanya yang
tinggi dan indah, tersusun penuh tertib. Karya agung ialah karya ulung yang
meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang
berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Terdapat beberapa sifat utama
yang mengelaskan sesuatu karya itu sebagai karya agung. Sifat utama sesuatu
karya agung ialah dapat dikaitkan dengan masalah dan isu terkini, karya yang
tidak jemu dibaca berulang kali, dan karya yang bersesuaian dengan pemikiran
yang hebat serta boleh mengisi minda individu sehingga masa kini.
Terdapat beberapa kepentingan karya-karya agung ini terhadap sesuatu
bangsa. Antaranya ialah untuk menunjukkan tradisi sesuatu bangsa, iaitu tentang
kewujudan diri, asal usul kejadian, serta fenomena alam kosmos dan kesannya.
Daripada aspek-aspek tersebutlah wujudnya mitos-mitos yang dilahirkan dalam
bentuk karya, iaitu karya agung. Karya-karya agung ini juga mempunyai nilainya
yang tersendiri dalam membentuk tradisi dan tamadun melalui yang pertamanya
metafizik iaitu dalam mengenal pencipta. Sebelum kedatangan Islam, banyak unsur
agama Hindu yang dimasukkan dalam karya.
Kedua ialah melalui pengalaman iaitu interaksi dengan persekitaran. Oleh
itu, dapat dilihat bahawa banyak unsur-unsur alam yang dimasukkan ke dalam
karya, dek pengalaman penulis semasa berinteraksi dengan alam, mungkin semasa
mendapatkan idea atau menenangkan fikiran. Ketiga ialah melalui asimilasi dan
akulturasi, iaitu percampuran antara dua atau lebih masyarakat dan bangsa.
Semakin banyak penulis bergaul dengan masyarakat luar, semakin banyak
pengalamannya dan semakin bagus karyanya. Oleh sebab itulah, kebanyakan karya
yang berkembang ke serata dunia merupakan karya yang banyak memasukkan
unsur-unsur luar daripada tempat dan budaya asal penulis.
Berdasarkan kesemua ciri yang terdapat dalam novel Sandera itulah yang
menyebabkan Sandera karya Arena Wati ini tergolong dalam karya agung. Sandera
mengisahkan perjuangan bukan sahaja dalam menuntut kemerdekaan, tetapi
mengekalkan kemerdekaan. Nilai-nilai dan semangat yang terdapat dalam novel ini
wajar dipraktikkan sehingga sekarang. Berdasarkan susunan cerita dan watak
juga, pengarang dapat digambarkan sebagai seorang yang sangat tekun dan
mempunyai nilai kepengarangan yang sangat tinggi. Novel ini sangat sesuai untuk
dijadikan penguat semangat dan pegangan dalam mengekalkan kemerdekaan,
terutamanya bagi anak-anak muda yang semakin leka dalam arus pemodenan.
1.1 Latar Belakang Pengarang Novel Sandera
Nama sebenar Arena Wati ialah
Muhammad Bin Abdul Biang atau Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung. Nama
penanya ialah Arena Wati, Duta Muda dan Patria. Beliau dilahirkan pada 30 Julai
1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat
pendidikan awal di Hollands Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda
di Makasar, kemudian di Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere
Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut. Beliau
menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953
selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut bermula
pada tahun 1945.
Pengalaman
kerjaya Arena Wati bermula sebagai kelasi kapal, sidang penerbitan majalah dan
akhbar di Singapura, Johor Bahru, Brunei dan Kuala Lumpur, pegawai penyelidik
di Yayasan Sabah, Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1985-1989)
dan di Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1990) serta menjadi fellow di beberapa
buah universiti antarabangsa seperti di Universiti Cornell, Amerika Syarikat,
Universiti Leiden dan Universiti Kyoto, Jepun. Arena Wati melibatkan diri dalam
dunia penulisan dengan menghasilkan novel, cerpen, puisi dan wacana yang
mencakupi pelbagai ilmu tentang kehidupan. Beliau melontarkan idea, menyuarakan
pandangan dan membangkitkan kelesuan berasaskan pena di tangan dan lembaran
kertas. Ketika itu lahirlah karya beliau berjudul Kisah Tiga Pelayaran yang
diterbitkan di Singapura pada Tahun 1959. Pengalamannya yang luar biasa sebagai
pelaut banyak memberinya ilham dalam berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan
beliau dalam bidang penulisan khasnya untuk menghasilkan novel dan cerpen yang
baik
Pada 1974,
Arena Wati yang telah memperoleh hak kerakyatan Malaysia. Beliau telah
menghasilkan sebanyak 24 buah novel, 87 buah cerpen, 6 buah antologi cerpen, 23
esei dan kritikan sastera, 9 buah buku kajian sastera, 12 buah puisi dan sebuah
autobiografi. Arena Wati telah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan,
antaraanya ialah Pada tahun 1975 pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan
Agung (1975), Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun
1985 di Bangkok, Thailand. Anugerah Sasterawan Negara (1988) dan pemenang
Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) pada tahun 2003.
Beliau juga banyak memenangi hadiah sayembara sastera, antaranya ialah hadiah
sagu hati Peraduan Mengarang Novel anjuran DBP (1962) menerusi novelnya
Lingkaran, pemenang tempat ketiga menerusi Sandera dalam Peraduan Mengarang
Novel sempena 10 Tahun Merdeka. Novelnya Panrita pula dipilih sebagai pemenang
Hadiah Karya Sastera Malaysia (1992/1993), dan novelnya yang terbaharu Sukma
Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1998/1999). Manakala cerpen
beliau Wisata terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera (1971), Bukan Satu Jalan
ke Mekah dan Alun Menggulung Perlahan memenangi Hadiah karya Sastera (1972).
1.2
Latar Belakang Novel Sandera
Novel Sandera merupakan
sebuah novel yang berkisarkan sebuah perjuangan. Novel ini mempunyai tajuk yang
membawa makna besar pada keseluruhan penceritaan novel ini. Sandera
merupakan perkataan yang berasal daripada Indonesia yang bermaksud tebusan,
tahanan penjara, atau orang yang diculik. Pada mulanya karya ini tidak
diterbitkan dan menjadi simpanan Dewan Bahasa dan Pustakan selama tiga tahun.
Namun, pada tahun 1971 novel ini diterbitkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini juga pernah dijadikan teks
rujukan untuk pelajar aliran sastera. Novel ini memperlihatkan mesej nusantara
yang sangat kuat dari segi persembahan latar cerita dan pembawaan watak yang
merancakkan jalan cerita ini. Malahan Tan Sri P. Ramlee juga pernah berhasrat
mengadaptasi novel ini ke dalam filem kerana penyampaian mesej novel ini yang
melibatkan negara-negara di Nusantara.
Novel ini
berkisar tentang sebuah kebangkitan rakyat di Nusantara untuk menentang
penjajah yang datang untuk merampas hak rakyat asal dan membuat kucar kacir.
Novel ini mengandungi 459 halaman dan mempunyai tiga bahagian iaitu bahagian I:
Pelarian, bahagian II: Gelombang Pasang dan bahagian III: Salah
siapa?. Setiap bahagian mempunyai subtopik yang memisahkan situasi
penceritaan. Novel ini bertujuam memberikan panduan dan nasihat kepada mereka
yang hidup selepas zaman kemerdekaan dengan membawa mesej agar generasi kini
sentiasa menghargai serta memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh
pemimpin terdahulu.
2.0
Sinopsis Novel Sandera
Novel ini menceritakan
kisah perjuangan individu bernama Busad di samping rakan dan ahli keluarganya
yang hidup dalam satu zaman serba mencabar yang menuntut pengorbanan harta,
masa dan keluarga. Busad seorang pelopor yang menentang pihak Belanda merupakan
tahanan yang akan dihantar ke Tanah Merah sebagai pesalah politik oleh penjajah
Hindia-Belanda. Busad meninggalkan Makassar bersama Jubir dan di hantar ke
Tanah Merah yang digambarkan seperti sebuah tempat menuju kematian. Busad,
telah berjaya melarikan diri daripada ditahan di Digul, Tanah Merah dengan
merancang kebakaran kapal yang membawanya ke Tanah Merah. Ibunya, Sariyah telah
ditangkap oleh serdadu Belanda dan dipenjarakan di Karebosi. Kedua-dua belah
tangannya telah dipaku. Ayah Busad iaitu Ibrahim berasal dari Tanah Melayu,
tetapi Busad tidak mengetahui dari negeri yang mana satu.
Kisah kematian
isteri Jusuh iaitu Indon yang merupakan ibu saudara kepada Busad yang berada di
Terengganu. Kematian Indon telah membuatkan Jusuh merasa sebuah kehilangan dan
menyebabkan dia menyesal atas perbuatannya yang suka bermain judi dan suka
berfoya-foya. Akhirnya Busad menjadi seorang usahawan setelah selamat daripada
kebakaran kapal yang dinaikinya menuju ke Tanah Merah. Busad berkahwin dengan
Kalsom iaitu anak perempuan Jusuh dan juga merupakan sepupu Busad sendiri.
Perkahwinan mereka telah diaturkan oleh Jusuh sendiri atas amanat arwah
isterinya, Indon.
Busad terpaksa
meninggalkan isteri dan anak dalam kandungan isterinya untuk meneruskan
perjuangan kemerdekaan di Singapura. Sariyah pula dikhabarkan berada di penjara
Karebosi dan menjadi tahanan yang bertahan untuk tidak menurut arahan daripada
Direktor Belanda itu. Jusuh sedih melihat Kalsom yang selalu bersedih kerana
ditinggalkan suami yang pergi ke Singapura. Jusuh mengambil keputusan untuk
pergi ke Singapura untuk mencari Busad. Jusuh meninggalkan Kuala Terengganu ke
pelabuhan Mersing dengan sebuah kapal payang. Jusuh menuju mersing ke Johor
Bharu dengan berjalan kaki namun Jusuh meninggal dunia di pertengahan jalan kerana
pertengkaran dengan tentera Jepun.
Hakim Mahmud
terlibat dengan Parti Melayu Bersatu atas dorongan Busad. Keterlibatan Mahmud
dalam Parti Melayu Bersatu merupakan taktik yang diaturkan oleh Busad untuk
mendapatkan kuasa dan hak menuntut kemerdekaan. Mahmud mudah untuk menyesuaikan
dirinya dalam Parti Melayu Bersatu kerana dia merupakan lulusan dalam
undang-undang dan pernah menjawat jawatan sebagai seoran hakim. Tanah Melayu
pada masa itu digambarkan sangat daif dan keperitan yang ditanggung oleh penduduk
asal melaui peristiwa “food control”. Individu ditegah untuk membawa
sebarang bekalan makanan yang masih berada dalam tin atau masih berbungkus
rapi. Makanan yang dibawa daripada mana-mana tempat harus disertakan dengan
surat yang rasmi daripada pihak Food Control bagi setiap bahagian untuk
tujuan tertentu.
Seterusnya,
Tanah Melayu digemparkan dengan isu Jus Soli yang menyebut tentang hak
kerakyatan automatik pada kelahiran di Tanah Melayu. Kemenangan 51 kerusi yang
oleh Parti Melayu Bersatu daripada 52 kerusi yang dipertandingkan melibatkan
gerakan Hakim Mahmud. Hakim Mahmud pada masa itu merupakan wakil kepada Parti
Melayu Bersatu dan Zahid sebagai calon yang turut bertanding. Kemerdekaan Tanah
Melayu pada masa itu menggembirakan semua penduduk Tanah Melayu yang juga
diraihkan dengan kejayaan Kadir dan Rustam. Rustam telah beranjak dewasa dan
setampan ayahnya iaitu Busad. Rustam memulakan pengajiannya di sebuah
Universiti seperti yang dihajatkan oleh ayahnya.
Akhir
penceritaan novel ini dikisahkan dengan hal penyelewengan Ismail atau Weh yang
menjual tanah pusaka arwah Haji Karim. Tanah pusaka Haji Karim merupakan hak
Busad dan Kalsom namun Ismail telah menjual tanah itu kepada orang cina.
Terjadi pertelingkahan dan pergaduhan antara Busad dan Ismail. Akhirnya, Ismail
tersungkur lemah di tangan Busad. Busad juga menangkap orang Cina yang berpakat
dengan Ismail untuk diserahkan kepada pihak polis.
1.0
Pemikiran dalam Novel Sandera
Menurut Seri Lanang Jaya HJ. Rohani,
Abd. Rahman Napiah dan Mohd. Rashid Md. Idris, (2016: 69) pemikiran bermaksud
subjek yang dibawakan oleh seseorang pengarang. Pemikiran bermula daripada idea
dan pengalaman pengarang serta dimantapkan dengan imaginasi dan kreativiti
untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema sesebuah karya. Setiap karya agung
yang dihasilkan memiliki pemikirannya yang tersendiri. Seterusnya, ia
dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan
idealisme pengarang. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih
bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakaannya menjadi mesej, mutiara dan
permata karya.
Dalam novel
Sandera, terdapat beberapa isi dan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang,
antaranya ialah perjuangan menentang penjajah, taat setia kepada negara,
kekejamaan pihak penjajah dan ketentuan jodoh.. Secara ringkasnya, novel
Sandera memaparkan kisah kebangkitan masyarakat Melayu menentang penjajah untuk
memerdekakan tanah air.
i.
Perjuangan Menentang Penjajah
Secara keseluruhannya, mesej utama
yang cuba disampaikan ialah tentang perjuangan masyarakat Melayu menentang
penjajah. Pengarang menceritakan tentang peristiwa penentangan masyarakat
terhadap penjajahan yang berlaku di Indonesia, Singapura dan Tanah Melayu.
Berikut merupakan salah satu peristiwa yang memaparkan penentangan masyarakat.
Aku, dengan rela hati memasuki
perjuangan ini, sejak suamiku masih hidup, dan melanjutkan hingga sekarang.
Tujuannya bukan hanya sekadar kemerdekaan bangsa kami, tapi juga kemerdekaan
kami itu akan kami isi dengan manusia yang berperkerti baik.
(Sandera, 2003: 64)
Peristiwa tersebut menunjukkan
semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh Sariyah yang berasal dari Makassar,
Indonesia. Sariyah juga telah menjelaskan bahawa perjuangan yang dilakukannya
adalah untuk memerdekakan tanah air. Antara contoh peristiwa lain ialah:
“Di hadapannya sekarang jelas
kelihatan tong benzin berdiri di kaki tembok luar sel-sel para tahanan yang
berpenghuni dan yang kosong. “Yah, kalau memang mesti terjadi, dan sekadar inilah yang dapat kulakukan, oh ibunda tanah
air tercinta; sampai sinilah saham yang dapat kuberikan untukmu!”
(Sandera, 2003: 127)
Peristiwa tersebut menunjukkan
bahawa Sariyah bertegas untuk terus berada di penjara daripada mengkhianati
tanah air. Sariyah rela terbakar di dalam penjara untuk membuktikan bahawa
beliau tetap menentang penjajahan yang berlaku di negerinya. Selain itu,
perjuangan menentang penjajahan juga dapat dilihat melalui watak utamanya iaitu
Busad.
“Barisan
bersejata secara regular?”
“Tentu, kami sudah minta satu divisi
sebagai tawaran kerjasama kita kepada Jepun. Tapi mereka dalam tingkat pertama
hanya sanggup mengambil satu resimen,” Kata Bahar.
“Bagus,
kita ambil mana yang dapat dicapai,” sahut Busad.
Kemudian Busad memperlihatkan
jasanya dengan sebaik-baiknya. Jaring-jaringnya terpasang rapi antara Singapura
sebagai pusat yang menjalar ke Rangoon, Bangkok, Pontianak, Belawan Deli,
Jakarta, Semarang, dan Makasar, untuk kebangkitan semesta Nusantara.
(Sandera, 2003: 139)
Petikan tersebut menunjukkan pelbagai
usaha yang dilakukan oleh Busad dan rakan-rakannya untuk memperjuangkan tanah
air dan menentang penjajahan. Busad mengetuai parti menentang penjajahan dengan
menyusun pelbagai starategi ke arah memerdekakan Indonesia, Singapura dan Tanah
Melayu.
ii.
Taat Setia Kepada Negara
Pengarang juga cuba menyampaikan
pemikiran tentang taat setia kepada negara dalam novel Sandera. Pemikiran ini
dapat dilihat melalui watak utama iaitu Busad. Contohnya dapat dilihat melalui
petikan berikut:
“Benar-benar aku hairan. Kenapa
orang berjuang sampai sanggup berbuat begitu?”
“Memang tanah air amat besar
tagihannya kepada setiap orang. Tapi tidak setiap orang yang sanggup
membayarnya dengan tunai. Cinta kepada keluarga, cinta kepada diri sendiri,
terlalu kuat daam dada mereka dan ini menyebabkan mereka takut. Mereka lupa,
bahawa cinta keluarga bagi keturunan yang akan datang, cinta kepada diri
sendiri bagi turunan yang akan datang juga, akan lebih rapuh kalau tagihan
tanah air itu tidak dilaksanakan.” Busad bercakap tenang tetapi bersemangat.
(Sandera, 2003: 91)
Busad menyerahkan kehidupannya untuk
taat setia kepada tanah airnya. Beliau sanggup meninggalkan keluarga dan
melupakan kebahagian diri hanya untuk mempertahankan tanah air. Busad
mengatakan bahawa tanah air perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.
Pemikiran ini dapat dilihat melalui watak Sariyah yang menunjukkan taat setia
yang tidak berbelah bagi kepada negara. Sebagai contoh:
“ Ibu
tolak tawaran jasa dari saya ?”
“
Aku tolak!’’
“ Tapi dengan itu ibu akan mati terbakar.”
“ Anakku juga mati terbakar!”
“Kau yang berkuasa di sini. Tapi aku
akan lawan. Aku lawan, aku lawan,
kataku!” Sebagaimana aku lawan selama ini. Kau tahu? Aku engkau kurung,
tapi jiwaku tidak! Aku engkau tahan di sini, tapi pengaruhku tidak!”
(Sandera, 2003: 124)
Peristiwa tersebut memaparkan
peristiwa tentang Sariyah yang telah diberi tawaran untuk bekerjasama dengan
pihak Belanda. Sariyah akan dibebaskan jika menerima tawaran itu
tetapi jika dia menolak, dia akan dibakar. Oleh kerana semangat taat setia kepada Negara
yang amat kuat dalam diri Sariyah, dia rela mati terbakar daripada berpaling
tadah.
iii.
Kekejaman Penjajah
Novel Sandera juga memaparkan
tentang kekejaman penjajah. Terdapat pelbagai jenis kekejaman yang telah
dilakukan oleh pihak penjajah kepada masyarakat, antaranya ialah penangkapan
masyarakat bumiputera yang menentang penjajahan, penyeksaan terhadap tahanan
penjara, pemerkosaan terhadap wanita, penyekatan makanan dan sebagainya. Antara
peristiwa yang menunjukkan kekejaman penjajah adalah:
“Tidak!” bentak Sariyah kembali.
“Aku bukan binatang. Kau boleh memaksa kuda ke dalam air, tapi kau tidak dapat
memaksa kuda minum air.”
“ Tapi aku dapat memaksa engkau,” kata yang berpakaian preman.
Kini, leftenan itu datang memaksa
Sariyah dan menariknya keluar dari bom
kereta,dan dibawa ke belakang kereta kuda itu. Dan kudanya dipasang kembali
oleh orang preman itu. Dengan satu tendangan pada punggung daripada kaki
leftenan itu, Sariyah terhuyung dan dan terjongkok ke muka, kemudian dengan
suara berdaulat leftenan itu membentak, “Letak tangan koe pada lantai
kereta.”“Ini yang dapat mengajar koe, atau anak manis itu akan bersama koe
begini,” kata leftenan itu, dan mengambil dua buah paku dan sebilah tukul dari
dalam peti di bawah tempat duduk kereta itu. Dan dengan tangan leftenan itu
sendiri, dia pakukan kedua-dua belah tangan Sariyah pada lantai kereta.
(Sandera, 2003: 28-29)
Peristiwa
tersebut menceritakan tentang Sariyah yang telah ditangkap kerana dituduh mengetuai pakatan menentang
penjajah. Sariyah yang enggan menngikut tentera Belanda telah diseksa oleh
pihak Belanda. Sariyah telah dipaku tangannya dilantai kereta kuda oleh leftenan Belanda yang akan
membawanya ke penjara. Kekejaman pihak penjajah juga dapat dilihat melalui
petikan berikut:
“Pegawai itu mendatangi Jusuh,
merenungnya dengan tajam dan dengan tiba-tiba dia menampar muka Jusuh sekuat
tenaganya. Jusuh jatuh terpelanting dan orang yang melihatnya merasa ngeri.
Jusuh
sudah nekad diperlakukan begitu dan sebaik tubhnya mencapai tanah, kaki
kanannya sudah menyambar celah kelangkang pegawai Jepun itu dari depan. Jepun
itu bersuara tersedak, dan runduk ke depan terhuyung, lalu rebah ke tanah.
Jusuh bangkit hendak merebut samurai itu tetapi satu letusan sudah menggema.
Jusuh
rebah, dan kepalanya terburai.”
(Sandera, 2003: 135-136)
Jusuh melawan
pegawai Jepun yang menyekatnya untuk memasuki Singapura dan dia telah ditampar
oleh pegawai Jepun yang bertugas mengawal sempadan Singapura dan Tanah Melayu.
Jusuh cuba melawan pegawai Jepun terbabit sehingga dia ditembak mati.
iv.
Ketentuan Jodoh
Selain itu, mesej sampingan yang
cuba disampaikan oleh pengarang ialah tentang
ketentuaan jodoh. Jodoh merupakan aturan Allah S.W.T dan kita tidak
dapat menyangka kehadirannya. Begitulah yang cuba disampaikan oleh pengarang
dalam watak Busad. Busad telah berkahwin dengan Kalsom pada zaman bujannya dan
kemudian selepas kemerdekaan beliau menemui jodoh bersama Midah yang merupakan
anak sahabat karibnya, Hakim Mahmud. Berikut merupakan petikannya:
“Mahmud tidak menyangka bahawa Busad
akan menjadi menantunya. Busad adalah sahabatnya. Daripada
pertolongan-pertolongan Busad kepada keluarganya terutama pada zaman Jepun,
tidak terbayang dalam fikiran Mahmud,
bahawa Busad akan menjadi keluarganya”.
(Sandera, 2003: 316)
4.0
Falsafah dalam Novel Sandera
Falsafah dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang
pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada
ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Ilmu yang dimaksudkan
tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang
mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Menurut Seri Lanang
Jaya Hj. Rohani et al. (2016), falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan
kebenaran. Berfalsafah pula ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk
kebenaran.
Tujuan falsafah adalah untuk mencari
kebenaran tentang sesuatu permasalahan dengan cara berfikir secara radikal,
sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu akan menjadi persoalan falsafah
apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah dan pengamatan sains.
Persoalan falsafah juga biasanya melibatkan perkara-perkara yang abstrak
seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara rumusannya, falsafah merupakan
suatu pemikiran yang amat mendalam dan menyeluruh terhadap sesuatu perkara
dalam usaha mencari kebenaran.
i.
Falsafah Politik
Definisi falsafah politik diperoleh melalui gabungan
keduanya, iaitu sebagai suatu upaya
untuk membahas hal-hal yang berkaitan dengan politik secara sistematis,
logik, bebas, mendalam, serta menyeluruh. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani
et al. (2016), politik ialah aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah
negara. Falsafah politik bererti pemikiran-pemikiran yang berkaitan tentang
politik. Bidang politik merupakan tempat menerapkan idea falsafah. Terdapat
berbagai idea-idea falsafah yang ikut mendorong perkembangan politik moden
iaitu liberalisme, komunisme, pancasila, dan lain-lain.
Berdasarkan karya moden yang dianalisis,
iaitu Sandera, secara jelasnya tema
yang cuba diketengahkan oleh pengarang adalah berkaitan dengan politik sesebuah
negara seperti Tanah Melayu sebelum mencapai kemerdekaan. Pada awal cerita,
pengarang menceritakan sistem politik di Indonesia yang dikawal oleh Hindia
Belanda. Pada ketika itu, Busad dan Jubir telah dipenjarakan kerana menjadi
pelopor. Namun, pada ketika itu sistem politik Hindia Belanda telah mengalami
perubahan berbanding tahun sebelumnya. Contoh petikan yang memperlihatkan
peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
"Politik Hindia Belanda
sudah amat banyak berubah dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu. Dan
akhir-akhir ini, ada gagasan baru; minta kepada bumiputera supaya bersedia
memanggul senjata untuk bersama mempertahankan Hindia Belanda. Eropah kian
panas, dan politik di Pasifik kian menajam. Jubir akan bebas kalau dia bersedia
bekerjasama, dan meninggalkan pendirian non-koperator…"
(Sandera,
2003:3)
Selain itu, falsafah politik diperlihatkan oleh
pengarang melalui peristiwa ayah Busad, iaitu Ibrahim yang terpaksa
meninggalkan Tanah Melayu kerana tidak menerima politik raja pada ketika itu
yang terlalu mengikut telunjuk pihak Inggeris dalam sistem politik. Situasi
tersebut diperlihatkan dalam petikan berikut:
"… Ayahnya meninggalkan
Tanah Melayu kerana penentangannya kepada politik raja yang selalu mengalah
kepada Inggeris, dan sikap beku daripada mufti yang terlalu kaku menghadapi
cabaran zaman bagi agama Islam…"
(Sandera, 2003:3)
Seterusnya, politik penjajah semakin
memperlihatkan kekuasaan mereka ke atas negara yang dijajah. Contohnya, Jerman
semakin menunjukkan kekuasaan dan mampu menjatuhkan kuasa Eropah sekiranya
pihak Jerman menginginkan perkara tersebut berlaku. Selain Jerman, Jepun turut
mempergiatkan politiknya untuk menjajah Asia bagi mendapatkan bahan mentah dan
hasil industri. Hal ini jelas diperlihatkan dalam petikan berikut:
"… Politik internasional
amat genting. Jerman mulai memperlihatkan giginya. Eropah akan hancur luluh
kalau dia mahu. Dan lihat sendiri, Jepun makin memperhebat politik dumpingnya.
Apa ini semua?" kata Amin lagi, sambil menarik nafas panjang.
"Rebutan
tanah jajahan, rebutan negara pasaran hasil industri dan mencari bahan
mentah," sahut Jubir…"
(Sandera, 2003:60)
Berdasarkan
tiga contoh peristiwa yang diterangkan di atas, pengarang jelas memasukkan
aspek falsafah politik dalam novel Sandera.
Antara falsafah politik tersebut adalah falsafah politik berkaitan dengan
sistem pemerintahan atau penjajahan yang dilakukan oleh pihak Hindia Belanda ke
atas Indonesia sebelum perang dunia kedua. Selain itu, pengarang turut
menceritakan falsafah politik berkaitan politik raja di Tanah Melayu yang
terlalu mengikut telunjuk penjajah. Seterusnya ialah sistem politik pihak
penjajah yang semakin berkuasa untuk memonopoli bahan mentah di negara Asia.
ii.
Falsafah Sejarah
Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016),
sejarah ialah persoalan yang berkaitan dengan makna masa silam, seperti tamadun
dan keruntuhan. Perbahasan dalam falsafah sejarah ini selalunya berkait rapat
dengan persoalan sejarah itu sendiri. Dengan kata lain, falsafah sejarah ini
cuba membahaskan inti pati atau tujuan sejarah itu sendiri. Hal ini demikian
bagi menyimpulkan atau menyebut sesuatu yang berguna daripada sejarah.
Maksudnya untuk mendapatkan dan mencari sesuatu yang bermakna daripada sejarah.
Lantaran itu, falsafah sejarah bolehlah dikatakan sebagai suatu percubaan
sejarawan untuk memahami dan menerangkan apakah sejarah itu. Pada awalnya,
falsafah sejarah merupakan falsafah kehidupan itu sendiri. Oleh itu, falsafah
sejarah pada zaman silam kerap dianggap sebagai satu bentuk spekulasi terhadap
sejarah.
Novel Sandera mengisahkan tentang sejarah yang berlaku di negara-negara
Asia yang melibatkan perjuangan rakyat Indonesia dan Tanah Melayu. Rakyat
Indonesia dan Tanah Melayu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada
tangan penjajah seperti Inggeris, Jerman, Jepun dan banyak lagi kuasa barat
yang cuba menjajah negara-negara Asia sebelum Perang Dunia Kedua tercetus.
Sejarah berkaitan Perang Dunia Kedua dikatakan tercetus apabila pihak Jerman
memulakan serangan. Kemudian disertai oleh Britain, Perancis, Netherland dan
Belgium. Seterusnya, perang tersebut akan melibatkan seluruh negara Asia. Pada
masa yang sama Jepun akan campur tangan dalam perang tersebut. Peristiwa
tersebut dibuktikan dalam petikan berikut yang dikarang oleh pengarang:
"Kalau Jerman mulai, Perang
Dunia Kedua akan pecah. Britain, Perancis, Netherland, Belgium akan terlibat.
Waktu itu Inggeris akan terjepit dan akan membuka kesempatan kepada anak-anak
tanah jajahannya…" Perang Dunia Kedua akan melibatkan seluruh Asia. Jepun
akan masuk gelanggang. Dan kukira penjajahan Barat di Asia akan tamat."
(Sandera, 2003:55-56)
Selain itu, pengarang menceritakan juga
peristiwa sejarah ketika Jepun mula menapak dan mendarat di Tanah Melayu. Pada
tanggal 22 Disember 1941, Jepun telah mendarat di Tanah Melayu melalui Kota Baharu dan Terengganu. Pada ketika itu,
askar-askar orang putih telah mengundurkan diri. Situasi sejarah tersebut
diceritakan oleh pengarang dalam petikan berikut:
" …maka pada tanggal 22
Disember, ketika Jepun memasuki Terengganu, dan askar-askar orang putih sudah
mengundurkan diri, Embong dan beberapa orang temannya daripada kalangan
guru-guru…"
(Sandera, 2003:128)
Seterusnya, pengarang juga menceritakan
tentang sejarah penentangan yang dilakukan oleh penduduk di Tanah Melayu
terhadap penubuhan Malayan Union.
Semua penduduk Tanah Melayu menentang kuat penubuhan tersebut kerana tidak mahu
Tanah Melayu dijadikan sebagai Melayan dan bukannya Melayu yang hakikatnya
merupakan hak orang Melayu sepenuhnya. Petikan berikut menceritakan kisah
penentangan tersebut dilakukan.
"…Tapi kita mesti bersatu, cikgu. Orang Melayu
mesti bersatu. Tengok, orang Cina sekarang sudah mulai minta diakui. Orang
India juga minta diakui. Semuanya mahu sama dengan kita. Manakan boleh. Itu
fasal kami lawan habis-habis Malayan Union ini. Sebab negeri ini mahu dijadikan
Malayan, bukan Melayu lagi," kata Hamzah tegas…"
(Sandera, 2003:202)
"…Perjuangan menentang Malayan Union sudah
reda. Perarakan di setiap negeri sudah
berakhir. Tetapi kesannya masih mendalam. Bahar menyaksikan ini sepanjang
perjalanannya dari rumah Zahid di Jalan Datuk Dalam hingga ke stesen kereta api
di Johor Bahru. Setiap orang lelaki yang lalu dan memakai songkok, tua, muda
dan kanak-kanak, sebahagian besar masih menggunakan kain putih berbelit pada
songkok mereka sebagaimana biasa kalau raja mangkat. Perkabungan ini dilakukan
d seluruh Malayan, menentang Malayan Union, sebagai tanda membantah dan
bersedih hati akan wujudnya Malayan Union itu sebab menurut anggapan, itu akan
menghilangkan bangsa Melayu di negerinya sendiri…"
(Sandera,
2003:214)
Melalui peristiwa penentangan tersebut akhirnya
mereka berjaya menghentikan penubuhan Malayan
Union dilaksanakan di Tanah Melayu. Kebangkitan orang Melayu menentang
Malayan Union secara tidak langsung menaikkan semangat mereka untuk mencapai
kemerdekaan untuk tanah Melayu.
Kesimpulannya, berdasarkan contoh
petikan yang dikemukakan, pengarang mengetengahkan falsafah sejarah berkaitan
dengan zaman penjajahan barat ke atas negara-negara Asia yang bermula dengan
Indonesia dan seterusnya Tanah Melayu. Selain negara barat, Jepun turut
menjajah Tanah Melayu kemudian setelah Jepun kalah, barat kembali menduduki
Tanah Melayu dan ingin menubuhkan Malayan
Union.
iii.
Falsafah Sosial
Menurut Ahsya Ahmad (2016), falsafah sosial
merupakan ilmu kritis dalam melihat dan menganalisis persoalan sosial
kemasyarakatan. Dengan demikian falsafah sosial dalam hal ini bertitik tolak
dari manusia secara individu dan masyarakat. Di samping itu, falsafah sosial
turut melihat masyarakat sebagai kesatuan manusia dalam kebersamaan. Melalui
kebersamaan itu kemudian falsafah sosial melihat struktur, proses dan makna
sosial, baik pada masa lalu atau sekarang, yang di dalamnya mempelajari
nilai-nilai, tujuan-tujuan individu, kelompok dan kelas sosial (Donald E.
Comstock, 1980). Falsafah sosial sebagai ilmu kritis mempunyai karakter berbeza
dari ilmu sosial positif. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016),
sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual.
Berdasarkan novel Sandera yang dianalisis, didapati pengarang mengetengahkan falsafah
sosial yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kampung yang saling
bekerjasama dan tolong-menolong tanpa mengira usia untuk melancarkan urusan
sesebuah majlis atau kenduri. Jusuh yang kematian isteri, iaitu Indon yang
merupakan ibu kepada Kalsom membuat satu kenduri tahlil. Sebelum bermula kenduri
tahlil tersebut, penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong membuat
persiapan seperti memasak dan mengemas rumah. Peristiwa tersebut dapat dilihat
pada petikan berikut:
"…Perempuan-perempuan
yang sudah janda, yang ada suami, dan perempuan-perempuan yang belum lima belas
tahun tapi sudah beranak satu, bersama anak-anak dara yang jarang mencapai usia
tujuh belas tahun sebagai gadis, bertaut menjadi satu dalam kerja
menyelenggarakan jamuan untuk kenduri mendua Jumaat kematian Indon.
Perempuan-perempuan yang sudah tua - namun, masih sedia bercerai kalau dicabar
suami, atau masih sanggup menerima akad kalau sudah jodohnya - mata mereka
sudah berair kerana pedih oleh asap. Muka mereka kering berkilat
kekelam-kelaman kerana dikutuk matahari. Perempuan-perempuan tua ini menanak
nasi dan memasak lauk…"
(Sandera, 2003:66)
Berdasarkan
contoh peristiwa di atas, pengarang turut menggunakan falsafah sosial sebagai
salah satu aspek falsafah dalam novel Sandera.
Aspek falsafah sosial dalam novel ini adalah berkaitan dengan kehidupan
masyarakat kampung yang saling bekerjasama dan tolong-menolong serta melakukan
kerja secara gotong-royong untuk melancarkan segala urusan berkaitan majlis
atau kenduri tanpa mengira lapisan umur.
iv.
Falsafah Teologi Islam (Ketuhanan)
Menurut Theologi Surakarta (2013), istilah teologi
Islam terdiri dari dua pengertian tersendiri, iaitu teologi dan Islam. Apabila
keduanya diketahui pengertian secara komperhensif kemudian dikaitkan satu sama
lain maka lahirlah pengertian yang utuh tentang Teologi Islam secara jelas dan
argumentatif. Islam dalam aspek teologi Islam adalah agama yang menuntut sikap
ketundukan dengan penyerahan dan sikap pasrah, disertai sifat batin yang tulus,
sehingga perkara penting yang terkandung dalam Islam ada dua iaitu pertama
berserah diri, merendahkan diri serta taat sepenuh hati dan kedua masuk dalam
al-Salam, iaitu selamat sejahtera dan damai hubungan yang harmonis.
Falsafah
teologi secara mudahnya merupakan sebuah bidang yang membincangkan falsafah
mengenai ketuhanan. Berdasarkan novel Sandera, pengarang menonjolkan falsafah
ketuhanan melalui beberapa watak seperti Romo, Sariyah, Kalsom, Mahadi, Midah,
Mahmud dan ramai lagi. Falsafah ketuhanan ini juga diperlihatkan dalam beberapa
situasi dan peristiwa yang berbeza, namun watak-watak tersebut jelas
memperlihatkan penyerahan diri kepada Allah S.W.T. Antara peristiwa yang
memperlihatkan penyerahan diri dan hanya memohon pertolongan kepada Allah ialah apabila Sariyah meminta kepada
Allah agar menempatkan anak Busad di tempat yang lapang di akhirat sekiranya
anaknya itu telah meninggal dunia dan kalau masih hidup, Sariyah minta agar
dipertemukan kembali dia dengan anaknya itu. Petikan di bawah membuktikan
peristiwa tersebut.
"…Anakku…,"dia mengeluh, kemudian berdoa
khusyuk kepada Allah, mengharapkan, kalau Busad mati, akan dilapangkan
tempatnya di akhirat. Kalau masih hidup, akan dipertemukan kembali dengan
selamat…"
(Sandera,
2003:65)
Selain itu, sebagai hamba kita juga
perlu bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan dan menerimanya sebagai
suatu nikmat daripada Pencipta. Mahadi dan Midah dalam novel ini melafazkan
rasa kesyukuran kerana mereka selamat daripada kekalutan yang tercetus akibat
gerakan mencapai kemerdekaan daripada penjajah. Petikan peristiwa tersebut
adalah seperti berikut:
"…Alhamdulilah,
kita semua selamat," sahut Mahadi…"
"Ya Allah,
ya Rahman, Engkau Maha Pemurah, Engkau kembalikan adikku kepada kami,"
ucap Midah bersyukur."
(Sandera,
2003:157)
Kesimpulannya, berdasarkan dua contoh yang diberikan,
pengarang jelas memperlihatkan wujudnya falsafah ketuhanan dalam karya beliau.
Antara falsafah ketuhanan yang ditonjolkan adalah berkaitan dengan penyerahan
diri kepada Allah serta bersyukur atas segala kurniaan yang diberikan oleh
Allah.
v.
Falsafah Agama
Aries Sikwandi et al.
(2011), menyatakan falsafah agama adalah falsafah yang menjadikan agama menjadi objek
pemikirannya. Dalam hal ini, falsafah agama dibezakan dari beberapa ilmu yang
juga mempelajari agama, seperti antropologi budaya, sosiologi agama dan
psikologi agama. Antropologi budaya meneliti pola kehidupan sebuah masyarakat
dan kerangka spiritual hidup. Dalam rangka itu, bentuk-bentuk penghayatan agama
dalam masyarakat itu diteliti. Antropologi mengamati dan berusaha ikut
menghayati bagaimana masyarakat yang diteliti menghayati Yang Ilahi.
Antropologi adalah ilmu deskriptif. la tidak menilai apakah penghayatan itu
baik atau buruk dan tidak berusaha untuk mengubah penghayatan itu, melainkan
berusaha untuk memahami apa yang merupakan kenyataan keagamaan dalam
masyarakat.
Falsafah agama yang diterapkan dalam sesebuah karya berfungsi sebagai
sumber moral, petunjuk kebenaran, sumber informasi tentang masalah metafisika
dan memberikan bimbingan rohani kepada
manusia. Terdapat beberapa falsafah agama yang ditonjolkan dalam novel Sandera. Pengarang
mengetengahkan
persoalan agama tentang rukun Islam yang ketiga, iaitu berkaitan dengan zakat.
Bahar menerangkan kepada Mahmud bahawa mengeluarkan zakat sangat penting bagi
memenuhi rukun Islam tersebut. Bahar menerangkan kepada Mahmud bahawa zakat
yang dikeluarkan oleh umat Islam merupakan penghasilan negara yang utama.
Tambahan lagi, zakat dipungut daripada orang bukan Islam. Petikan yang
berkaitan dengan peristiwa tersebut adalah seperti berikut:
"Kita semua tahu rukun Islam ada lima. Rukun yang
ketiga iaitu tiang agung daripada rukun itu, ialah zakat. Nah," Bahar
menumbuk meja ketika itu, dan Mahmud tercengang, " Apa ertinya ini? Zakat
daripada kalangan penganut Islam dalam negeri ini akan menjadi sumber utama
untuk penghasilan negara. Kita tidak akan pungut zakat kalau bukan Islam, itu
ada garisnya yang lain. Tetapi sebagai rakyat, mereka tidak akan terlepas
daripada bebanan cukai…"
(Sandera,
2003:228)
Berdasarkan penjelasan di atas dan disertakan dengan contoh yang sesuai,
jelas bahawa pengarang turut mengetengahkan aspek falsafah agama, iaitu
berkaitan dengan rukun Islam yang ketiga. Rukun Islam yang ketiga, iaitu zakat
sangat penting dalam kepada umat Islam. Selain sebagai sumber pendapatan
negara, mengeluarkan zakat merupakan salah satu cara orang Islam menyucikan
harta mereka yang diperoleh daripada pelbagai sumber dan melalui zakat juga
nasib orang miskin akan terbela.
5.0
Nilai
Budaya dan Pandangan Hidup
Nilai budaya merupakan perkara yang
paling banyak ditonjolkan oleh pengarang dalam sesebuah karya yang mereka
hasilkan. Wan Abdul Kadir (2007) mendefinisikan nilai sebagai ukuran yang
diberikan oleh seseorang individu tentang sesuatu atau perlakuan baik atau
buruk, halus atau kasar, tinggi atau rendah, berasaskan kepada kelakuan yang
telah menjadi kebiasaan atau kelaziman yang dikongsi bersama dan telah disahkan
oleh masyarakat akan kedudukan nilai itu. Anggota masyarakat dapat menyatakan
ukuran nilai dalam menentukan sesuatu atau perlakuan berasaskan kepada
pengalaman yang diterimanya melalui proses sosiolisasi.
Kamus Dewan Edisi Keempat, pula
mendefinisikan nilai sebagai taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan
dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, kualiti,
mutu dan taraf. Maksud ini jelas mengambarkan nialai adalah ukuran kepada
sesuatu seperti sifat keperibadian yang ada pada individu.
Budaya pula secara umumnya difahami
sebagai keseluruhan gaya hidup anggota masyarakat yang meliputi berbagai-bagai
aspek kehidupan seperti peralatan, teknologi, pemikiran, nilai, pandangan dunia
dan sebagainya. Setiap masyarakat mempunyai budayanya dan budaya itu
mengambarkan identiti masyarakat tersebut. Budaya atau kebudayaan berasal
daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang bermaksud budi pekerti atau
akal.
Menurut Kamus Dewan Edisi keempat
budaya dapat ditakrifkan sebagai tingkah laku yang diwarisi oleh sesuatu
masyarakat atau bangsa. Budaya adalah elemen yang membezakan manusia dengan
hidupan yang lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi.
Dalam disiplin ini, tiada perbezaan maksud di antara perkataan ‘budaya’ dengan
‘kebudayaan’.
Budaya adalah daripada perkataan
sangskrit iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang
bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya, ia membincangkan hal-hal
berkaitan budi dan akal manusia. Dalam pengertian yang luas pula bermaksud
segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris,
budaya disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan Latin,
iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan.
Budaya mempunyai hubungan yang erat
dengan masyarakat. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat
mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki
masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenal dalam kalangan ahli antropologi
sebagai fahaman determism atau penentuan budaya. Di samping itu, budaya juga
adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang
seterusnya dan konsep ini sebagai organik lampau.
Sementara itu, budaya turut merujuk
kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta
struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual
yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai
satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan,
kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang
diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Daripada kesemua pengertian
ini, budaya boleh disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk
hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang
menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok.
Definisi pandangan hidup pula
menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014), secara umumnya, pandangan
hidup merupakan satu konsep mengenai alam semesta secara keseluruhan
terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu
sistem nilai yang tertentu. Selain itu, aspek ini bertujuan untuk menanggapi
dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan
alam. Pandangan hidup merupakan pendapat atau pertimbangan yang dijadikan
pegangan, petunjuk dan pedoman hidup di dunia. Pendapat atau pertimbangan ini
wujud hasil daripada pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut
waktu dan tempat hidupnya (Ahmad Jenali, 2008). Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al
(2014), hampir 800 tahun Hindu- Buddha telah mempengaruhi minda orang Melayu dan
dalam tempoh tersebut orang Melayu dibelenggu oleh corak berfikir yang bersifat
khayalan dan mitos. Walau bagaimanapun, setelah Islam tersebar di Nusantara,
barulah berlaku transformasi yang melibatkan perubahan falsafah hidup,
pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu.
5.1 Nilai Budaya
i.
Sebuah masyarakat yang
memperjuangkan tanah air.
Sikap
memperjuangkan tanah air bermaksud semangat cinta akan tanah air dan sentiasa
bersedia berkorban demi tanah air tercinta. Sikap ini penting untuk disemaikan
dalam diri masyarakat supaya keamanan dan kesejahteraan negara dapat dijaga
dengan sebaik mungkin. Masyarakat dalam novel sandera juga merupakan sebuah
masyarakat yang berjiwa patriotik kerana sanggup bergadai nyawa demi
mempertahankan negara dari ancaman musuh. Contoh pernyataan dalam novel Sandera
yang membuktikan bahawa masyarakat tersebut memperjuangkan tanah air ialah :
Busad
menggabungkan diri ke dalam GAPI dan mulai mengadakan penentangan tajam dengan
golongan yang lebih tua, yang dituduhnya menyeleweng, pelopor kurang tegas dan
tindakannya yang ekstrem, terlalu dekat kepada rakyat di pedalaman mempelopori
penentangan cukai tanah, menyebabkan pemerintah menangkapnya.
(Sandera, 2003:3)
Selain itu, adat meminang juga
terdapat di dalam novel Sandera. Adat istiadat meminang dalam masyarakat bukan
sahaja dituntut dalam agama bahkan sudah menjadi adat dalam sesebuah
masyarakat. Ia merupakan permulaan istiadat di mana pihak lelaki menghantar
seorang wakil ke rumah pihak perempuan untuk dipinang. Upacara ini dilakukan untuk
melahirkan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Amalan ini dilakukan
untuk mendapatkan maklumat mengenai diri perempuan yang hendak dipinang.
Setelah tiba masa yang sesuai, seorang wakil daripada pihak lelaki akan
berterus terang untuk menyampaikan hajat mereka yang sebenarnya.
ii.
Masyarakat dalam karya Sandera
mengamalkan adat meminang
ialah:
Kebiasaannya, adat meminang
disertakan dengan sirih dan pinang. Sirih dan pinang adalah sebagai pembuka
kata dan peralatan seni budaya. Sirih juga adalah aspek penting yang diangkat
sebagai simbol adat bukan sahaja untuk dimakan malah dihias dengan cantik,
disusun dalam bekas, disertakan dengan haruman dan ditutupi dengan kain
sulaman. Rombongan yang menghantar daun sirih juga adalah lambang penyampaian hasrat
dan pembuka kata. Kesimpulannya, sememangnya masyarakat dalam novel Sandera
mengamalkan adat meminang dalam kehidupan mereka. Contoh ayat yang membuktikan
bahawa masyarakat dalam karya Sandera mengamalkan adat meminang ialah:
“Aku
anak dara. Menurut adat, kalau ada pemuda yang mahu kahwin dengan aku, dia
mesti pergi meminang aku pada orang tuaku. Dia mesti bayar mas kahwin. Dia
mesti bawa wang belanja kahwin. Tapi aku tidak mahu itu, dan tidak akan cara
itu,” kata Sapiah berapi-rapi.
(Sandera, 2003:213)
iii.
Masyarakat yang baik hati
Sikap baik
hati yang dimaksudkan dalam karya sandera ini ialah masyarakatnya saling tolong
menolong antara satu sama lain apabila berlaku sebarang permasalahan. Dalam
karya Sandera, nelayan menolong Busad dan Jubir dengan menaiki perahunya
selepas kapal yang dinaiki oleh Busad dan Jubir mengalami kebakaran di
tengah-tengah laut. Nelayan-nelayan sengaja menghampiri kapal yang terbakar
untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terjun ke dalam laut. Oleh sebab itulah,
dikatakan bahawa dalam karya Sandera terdapat masyarakat yang baik hati. Contoh
monolog yang terdapat dalam karya Sandera yang membuktikan bahawa masyarakat
tersebut sangat baik hati ialah:
“Tepat
sekali , dan terima kasih, saudara-saudara. Tapi bagaimana dengan mandur dan
orang-orangnya? Cukupkah perahu-perahu yang datang merapat?”
(Sandera, 2003:21)
iv.
Masyarakat yang memiliki sikap
sabar.
Sikap sabar dapat didefinisikan sebagai
kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila berlaku sesuatu
permasalahan. Sememangnya masyarakat dalam Novel memiliki sikap sabar. Hal ini
demikian dapat dibuktikan apabila Jubir masih mampu bertahan di dalam penjara
meskipun dia boleh dibebaskan dengan dengan hanya menandatangani surat daripada
pihak Belanda. Namun, dia tetap dengan pendiriannya dengan enggan
menandatangani surat tersebut dan memilih untuk dikurung dalam penjara walaupun
dia dibenarkan untuk membuat pilihan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Jubir
amat bersabar dengan dugaan yang menimpanya dan tidak mengambil tindakan yang
melulu yang boleh memudaratkan diri dan tanah airnya sendiri. Contoh monolog
yang berlaku antara Busad dengan Jubir yang membuktikan Jubir seorang yang
penyabar ialah:
“Busad…,”
Jubir mengejutkannya dengan kasar. “Bagaimanapun juga, kau jangan putus asa.
Lihat aku, aku terima nasib yang ku terima ini penuh kesabaran.”
(Sandera,
2003:1)
v.
Masyarakat yang mempunyai sifat
keberanian
Dalam karya Sandera, masyarakatnya amat berani
mempertahankan tanah air dari cengakaman penjajah iaitu Belanda. Hal ini dapat
dibuktikan apabila Jubir sanggup berperang untuk membebaskan tanah air mereka
daripada cengkaman Belanda. Selain itu, Busad dan Jubir juga berani menentang
Belanda berikutan dengan sistem kutipan cukai yang dikenakan oleh Belanda.
Contoh perbualan Jubir yang membuktikan belaiu seorang yang berani ialah:
“Nah,
perang besar, dan dari perang besar ini kita akan bebas, dan dari perang besar
ini kita akan bekerja kuat, kita akan merdeka, lebih cepat daripada apa yang
kita duga!”
(Sandera
2003:7)
vi.
Masyarakat yang mengamalkan budaya
ziarah-menziarahi antara satu sama lain.
Dalam
karya Sandera, Busad telah pergi ke Johor untuk menziarahi keluarga Mahmud. Hal
ini demikian jelas menunjukkan bahawa masyarakat dalam karya Sandera
sememangnya mengamalkan budaya ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Contoh
penyataan yang terdapat dalam karya sandera yang membuktikan bahawa masyarakat
mengamalkan budaya ziarah-menziarahi ialah:
Waktu
itu Busad datang ke Johor, dan menziarahi keluarga Mahmud ini. Mahmud
mengatakan Matali ada datang menghadiri Kongres Melayu Bersatu di Johor Bahru.
Busad meminta supaya Matali dibawa datang ke rumah Mahmud.
(Sandera,
2003:285)
5.2
Pandangan Hidup
i.
Masyarakat yang perlu berkorban
untuk mendapatkan kemerdekaan.
Dalam siri novel Sandera, penulis
menyampaikan kisah tentang perjuangan masyarakat dalam menentang penjajah
“Dahulu,
Busad anak periang, peramah dan manja kepada ibunya. Dan tiada siapa yang
menduga, bahawa kelak, setelah lulus AMS di Jawa, dia akan melibatkan diri ke
dalam PNI Hatta-Shahrir.
Kemudian
kembali ke Makassar, menjadi lunak dan kian berhati-hati. Kerja jadi
Land-Assistant. Tetapi hanya enam bulan, kerana terbentuknya GAPI, dan mulai
mengadakan pertentangan-pertentangan tajam dengan golongan yang lebih tua, yang
dituduhnya menyeleweng, pelopor kurang tegas, dan tindakannya yang ekstrem;
terlalu dekat kepada rakyat di pedalaman mempelopori pertentangan cukai tanah,
menyebabkan pemerintahan menangkapnya.
“Tetapi jangan penolakan itu, bererti kau hanya akan
didatangi surat perintah; berangkat ke Tanah Merah,” kata Jubir dan menjeling
kepada Busad.”
(Sandera, 2003:4)
Petikan tersebut menyatakan bahawa
Busad ditangkap kerana pelbagai tuduhan yang kepadanya sewaktu mahu
memperjuangkan hak rakyat jelata. Namun semua itu tidak mematahkan semangat
Busad untuk terus berjuang.
“Tapi
aku ini hairan sungguh-sungguh, mengapa begitu mustahak perjuangan itu?” Jusuh
mengemukakan pertanyaan yang tidak difahaminya secara menyeluruh ini, dan
merenung muka Busad tepat-tepat.
“Benar-benar aku hairan. Kenapa berjuang sampai sanggup
berbuat begitu?”
“Memang
tanah air amat besar tagihannya kepada setiap orang. Tapi tidak setiap orang
yang sanggup membayarnya dengan tunai. Cinta kepada keluarga, cinta kepada diri
sendiri, terlalu kuat dalam dada mereka dan ini menyebabkan mereka takut.
Mereka lupa, bahawa cinta keluarga bagi turunan yang akan datang, cinta kepada
diri sendiri bagi turunan yang akan datang juga, akan lebih rapuh kalau tagihan
tanah tersayang itu tidak dilaksanakan.” Busad bercakap tenang tetapi
bersemangat.
(Sandera, 2003:91)
Petikan pada muka surat ini
memperlihatkan semangat Busad menjawab persoalan Jusuh tentang mustahaknya
memperjuangkan tanah air. Hal ini menunjukkan bahawa niat Busad yang
bersungguh-sungguh untuk tanah air membuatkan Jusuh tertanya-tanya mengapa
Busad begitu mahu mempertahankan tanah air yang tidak dapat memberi keuntungan
kepada mereka tetapi hanya pada generasi akan datang.
Dalam novel ini, dapat dilihat
masyarakat yang sanggup berkorban demi mencapai kemerdekaan melalui watak
Busad. Busad merupakan watak utama dalam karya ini telah ditangkap, dipenjara
dan merupakan salah seorang tahanan yang akan dihantar ke Tanah Merah iaitu
sebuah tempat untuk orang-orang buangan. Hal ini demikian kerana, Busad
merupakan salah seorang pemuda yang aktif dalam pertubuhan yang menentang
penjajah iaitu Inggeris. Selain itu, ketika peristiwa kejatuhan kuasa Inggeris
di Tanah Melayu dan permulaan kemasukan Jepun, ramai ahli Melayu Muda yang
aktif dan merupakan orang yang hebat telah ditangkap. Keadaan ini telah
mewujudkan suasana yang getir akibat penangkapan yang dilakukan kerana akan
menjejaskan gerak kerja mereka. Melihat situasi tersebut, Busad
meninggalkan isteri dan keluarga di Terengganu selama dua tahun untuk
memastikan gerakan menjatuhkan Inggeris berjalan seperti yang dirancang dan
akhirnya perkahwinan Busad berakhir dengan perceraian. Jelas menunjukkan bahawa
perjuangan dalam menuntut kemerdekaan memerlukan pengorbanan baik dari segi
nyawa, keluarga, masa dan juga tenaga.
ii
Keberanian
Keberanian
merupakan aspek yang penting yang perlu ada dalam diri masyarakat bagi
menggapai cita-cita. Hal ini demikian kerana, dalam perjuangan menuntut
kemerdekaan pelbagai cabaran seperti tekanan pihak Inggeris, penipuan,
penganiayaan dan sebagainya, justeru keberanian merupakan benteng untuk
berhadapan dengan situasi tersebut. Aspek keberanian ini telah ditonjolkan
dalam watak Sariyah dan juga Busad. Sebagai contoh, Sariyah merupakan wanita
yang berani dalam menentang pihak Inggeris bukan sahaja dapat dilihat daripada
aspek pertuturan dan tingkah laku. Sariyah merupakan seorang wanita yang
mempunyai pengaruh yang besar dalam penentangan terhadap penjajah dan ketika
peristiwa penangkapannya, Sariyah tidak gentar ketika berhadapan dengan
serdadu-serdadu Inggeris.
“Hai
hantu-hantu botak...tidak cukupkah dengan membawa serdadu-serdadu untuk
menangkap aku, aku seorang perempuan, kau rampas pula hartaku dan membelenggu
aku begini? Aku bukan kriminal, aku bukan pembunuh dan aku bukan pencuri.”
“
Buat apa engkau daripada pihak berkuasa tidak berkata terus tentang anakku.
Kalau memang pemerintah tidak menemukannya, mengapa pemerintah malu-malu
mengakui perbuatan dan kelemahan diri. Nah, setan-setan yang tak cukup nafas,
terangkan kepadaku”.
(Sandera,
2003:26)
Dalam peristiwa tersebut, Sariyah
dengan berani telah menuntut penjelasan daripada Inggeris mengenai anaknya
iaitu Busad yang dijangka oleh Sariyah dan penduduk sekeliling telah mati dalam
peristiwa kebakaran kapal yang membawa tahanan ke Tanah Merah. Di samping itu,
Sariyah juga berani mempertahankan diri daripada tuduhan yang dilemparkan oleh
penjajah yang menyatakan dia telah menghasut penduduk di pedalaman agar tidak
membayar cukai. Keadaan ini menunjukkan sikap masyarakat yang perlu menanam
sikap keberanian dalam pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi bagi mendapatkan
kemerdekaan.
iii
Sikap kerjasama atau muafakat perlu
dipasakkan dalam jiwa masyarakat dalam penentangan terhadap penjajah.
Sikap
kerjasama penting kerana aspek ini akan menentukan keberhasilan gerakan dan
usaha yang dilakukan untuk menyingkirkan penjajah di nusantara. Sesebuah
masyarakat akan menjadi utuh dan kuat sekiranya ada sikap kerjasama dan bersatu
padu jika dibandingkan dengan masyarakat yang mementingkan diri sendiri seperti
enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Dalam karya ini, sikap
muafakat telah dapat dilihat ketika Inggeris gagal mempertahankan kuasa mereka
di Tanah Melayu yang juga menjadi detik kemasukan pihak Jepun. Dalam peristiwa
tersebut, Melayu muda telah mengarahkan ahli-ahlinya untuk menjalankan tugas di
seluruh Tanah Melayu dan juga Singapura. Ketika itu, ramai ahli-ahli Melayu
Muda yang telah ditangkap oleh Inggeris yang bekerjasama dengan Jepun untuk
menjatuhkan pemerintahan Inggeris termasuk ahli-ahli yang terpengaruh.
Rentetan daripada peristiwa
tersebut, mereka yang belum ditangkap oleh Inggeris seperti Busad, Mahmud Ghani
dan Andang telah merancang untuk memastikan agar ahli Melayu Muda tidak terus
ditangkap oleh pihak Inggeris yang akhirnya menjejaskan gerakan penentangan
mereka. Sebagai contoh, Busad dan Andang telah menjalankan tugas mereka di
Singapura, Ghani telah diarahkan ke Melaka manakala Mahmud ke Johor Bharu.
“Sebelum
Karim datang, Mahmud dan Andang sudah menentukan rancangan kerja mereka.
Pertama, berita penangkapan ini mesti disebarkan kepada orang-orang Melayu
Muda...Mahmud sendiri akan bekerja untuk Johor dan Melaka. Andang untuk
Singapura”.
(Sandera, 2003:105)
iiii
Saling hormat-menghormati sesama
ahli keluarga, rakan dan masyarakat
Dalam
novel Sandera ini, sikap hormat-menghormati ini sangat kuat dipegang oleh watak
ayah Kalsom. Apabila ada tetamu datang ke rumah mereka, ayah Kalsom mengarahkan
Kalsom untuk menyediakan apa yang diperlukan dengan sebaiknya untuk tetamu
mereka tersebut sehinggakan Kalsom tertanya-tanya siapa yang akan datang
bertandang ke rumah mereka.
Kemudian
Jusuh pulang ke rumah bersama hatinya yang riang dan ceria, dan berkata kepada
Kalsom, “Som… baik kau sedia makanan yang baik.” Waktu itu Jusuh memandang
tepat muka Kalsom yang berpipi ranum itu. “Barangkali kita akan didatangi tamu
dari jauh.”
“Tamu dari jauh?”
Kalsom
berkata seakan kepada diri sendiri, tidak mengerti apa tetapi asa sesuatu yang
menggetar dalam hatinya. Dia melihat ayahnya begitu ceria membawa khabar yang
aneh itu.
“Ya,
tamu dari jauh. Sediakan makanan yang baik-baik dan tempat tidur juga.
Barangkali kalau tidak ada hotel, dia akan tidur di rumah ini.”
Hati
Kalsom berdebar, dan kurang senang. Perkataan tidur di hotel mengandung bau
yang tidak lazim baginya dan terasa hina. Perkataan hotel – bagi anak-anak
gadis Terengganu yang terdidik dengan kaji Qurn, membawa seribu janji yang
separuh buruk.
“Kalau dia datang, belikan di Pasar Tanjung saja,” kata
Kalsom.
“belikan
di pasar Tanjung?” soal Jusuh, matanya terbeliak, matanya terbeliak. “makanan
macam apa di sana? Keropok mentah yang hanyir itu? Katamu? Tidak,kau tidak
malu? Mesti buatkan kuih-kuih basah. Buatkan nasi dagang sarapan pagi. Lauknya
ikan raya (tongkol). Dan tempat tidur pasang pasangkan katil yang ayah buatkan
yang belum engkau pakai itu. Letakkan tilam baru itu juga yang kau sulam, dan
bantal baru juga,” Jusuh terus-menerus memandang muka anaknya yang sudah
berubah kesal dan merah padam itu.
“Ini
tamu dari jauh. Orang saudagar, kau tau? Barang kali dia pun ada sekolah dan
pandai mengaji,”
(Sandera, 2003:77)
iiv
Meletakkan nilai-nilai agama sebagai keutamaan dalam hidup
sebagai pegangan hidup
Bagi novel
Melayu Sandera ini, nilai-nilai agama diletakkan sebagai keutamaan meskipun
dalam memperjuangkan dan berkorban untuk tanah air. Hal ini dapat dilihat
melalui petikan seperti berikut yang menyatakan bahawa perjuangan untuk tanah
air sebagai fardhu ain;
“Kenapa begitu sekali, Sad? Kenapa begitu sekali? Ayahmu
membuang diri, kerana perjuangan. Engkau tercampak ke Singapura,” Jusuh
terhenti, dia mengingat-ingat akan merancang perjalanan suatu hari nanti, akan
membawa Busad ke Kemaman, ke Dungun, ke Marang, ke Besut, untuk mempertemukan
dengan keluarganya. “Eh … kenapa sampai ibumu pun menggadaikan dirinya kepada
perjuangan itu, setelah dengan rela hati menjual putera tunggalnya kepada
perjuangan itu juga?”
“Memang begitulah. Tidak ada pilihan lain,” kata Busad dan
memandang kepada Kalsom dengan tenang. “Perjuangan untuk tanah air bukan fardhu
kifayah, tapi fardhu ain. Mesti dibuat oleh semua orang.”
(Sandera, 2003:95)
6.0
Kepengarangan dan Estetika
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2004),
kepengarangan merupakan aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang iaitu
kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Bagi menghasilkan teks yang unggul dalam
mencipta sifat keperibadian masing-masing, pengarang haruslah mempunyai prinsip
keperibadian yang tersendiri. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah
dan Mohd Rashid Md. Idris (2016), mentakrifkan kepengarangan sebagai satu
mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati
diri seseorang pengarang itu. Kepengarangan terbina daripada aspek pengolahan
iaitu pengarang berusaha mencipta teks yang mempunyai pembaharuan atau melanggar
apa yang telah sedia ada. Seterusnya, pengarang beristiqamah dengan
penciptaannya sehingga memiliki kepengarangannya sendiri (Mana Sikana, 2004
dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md.
Idris, 2016).
Teknik kepengarangan dianalisis
daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang itu sendiri.
Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip
keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seorang pengarang, ia harus
berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian
masing-masing. Seseorang pengarang biasanya akan berhadapan dengan beberapa
tahap penulisan. Seorang pengarang perlu mempunyai pengalaman yang artistik dan
berharga kerana ia akan mempengaruhi daya kretivitinya. Pengalaman diperoleh
melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian,
pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuk
yang bersifat konseptual dan kontekstual. Pengarang akan melakukan pembetulan
demi pembetulan, pengejapan demi pengejapan terhadap teks yang diusahakan.
Keadaan ini akan dapat menghasilkan proses pembinaan teks yang unggul (Mana
Sikana, 2006).
Novel Sandera dikarang oleh seorang
yang pintar dan bijak dalam ilmu mengarang iaitu Sasterawan Negara Arena Wati
atau nama sebenarnya Dr. Muhammad Dahlan bin Abdul Biang. Novel ini telah
memenangi tempat ketiga dalam peraduan mengarang novel sempena 10 tahun merdeka
1967. Novel ini juga telah dijadikan buku teks STPM dari tahun 1977 hingga 1989.
Sebagai pengarang yang besar, Arena Wati telah melakar tentang perjuangan
membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.
Hal utama yang menjadi nadi kepada
kejayaan novel Sandera ini ialah novel ini berunsurkan patriotik iaitu semangat
cintakan tanah air. Novel ini berkisar tentang kebangkitan rakyat di nusantara
menetang penjajahan dari pihak luar. Kandungan novel ini mengandungi panduan
dan nasihat kepada mereka yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan
memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu. Novel
ini dicetak pada tahun 1971, namun di atas permintaan ramai, buku ini telah
dicetak semula pada tahun 1986.
Estetik pula berhubungkait dengan
persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Ia membicarakan unsur
keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya.
Sementara kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan
seseorang pengarang itu dalam berkarya. Biasanya kepengarangan dapat
menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang.
Pendekatan estetik ialah yang menilai teks sastera dengan merujuk kepada aspek
keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan,
kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan
yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan
dan terpahat dalam pemikiran, (Mana Sikana, 2006).
Dapat ditegaskan keindahan ialah
daya tarikan dan kepuasan dalam penikmatan karya sastera terhadap aspek susunan
unsur struktur yang harmonis yang memiliki perasaan, pemikiran dan sebagainya.
Setiap komposisi karya memiliki keindahannya yang tersendiri. Dan khalayak akan
membina pula sikap estetikanya bagi menerima teks-teks tersebut. Keindahan yang
lebih agung lagi ialah yang membawa manusia mencapai kebaikan, mengagungkan
Allah Azza Wajalla. Keindahan pengalaman bergantung kepada keunikan pengalaman,
pengalaman itu luar biasa dan belum pernah dialaminya, menarik dan memberi
kepuasan. Membaca adalah proses penambahan pengalaman. Pengalaman keindahan
ialah apabila kita merasa kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan atau
memeranjatkan. Seandainya pengalaman yang diberikan pengarang itu istimewa,
maka pembacaan kita akan merasakan kenikmatan keseronokannya. Sebuah karya yang
baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya.
6.1 Kepengarangan dalam novel Sandera
Terdapat beberapa unsur kepengarangan yang telah
ditonjolkan oleh pengarang kepada pembaca. Antaranya ialah penggunaan bahasa
puitis dan gramatis, penggunaan unsur dialog, penggunaan monolog dan penggunaan
teknik imbas kembali.
i.
Penggunaan bahasa puitis dan
gramatis
Novel ini telah dikarang dengan
struktur pengkaryaannya yang tersendiri. Ia mempunyai kekuatan dari segi
struktur ditambah lagi dengan bahasanya yang tersendiri. Pengarang telah
menggunakan bahasa yang puitis dan gramatis dalam setiap bahagian novel ini
untuk menarik minat pembaca. Ini dapat dibuktikan melalui petikan dibawah:
“Angin
barat laut membawa janji yang selalu bohong. Awan hitam yang datang dengan
anginnya, disambut harapan semoga panas yang membakardikurangi dengan hujan
selingan.”
(Sandera, 2003: 30)
“Dan
mukjizat yang mempersona itu ditambah dengan rezeki yang menggelindang dan
berbondong dalam kandang pukat, dan menggetarkan tangan yang memegang tali
bira. “
(Sandera, 2003: 34)
“Bunga-bunga kemakmuran sudah mulai kelihatan janjinya yang
semerbak
“wangi
(Sandera, 2003:184)
“Muzik-muzik
gembira dari lagu-lagu mengapung di udara dan memantak ke dalam telinga.”
(Sandera,
2003:384)
ii.
Penggunaan Unsur Dialog
Dalam novel ini, terdapat banyak
unsur dialog yang dapat dikenalpasti daripada setiap bahagian novel ini. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat. Dialog merupakan kata-kata yang dituturkan oleh
watak-watak drama atau fiksyen. Dialog merupakan komunikasi interaksi dua hala
antara dua orang atau lebih. Pengarang Arena Wati telah menggunakan banyak
unsur dialog dalam mnghasilkan novel Sandera. Antaranya contoh dialog yang
terdapat dalam novel ini ialah:
“Tidak, saya lebih senang di perahu”, kata Romo
“Besok
takada masa berbelanja. Kita ke darat sekarang, barangkali kau perlukan pakaian
dalam pelayar” jelas nakhoda.
(Sandera,2003:46)
“Eh,
Hamzah, bagaimana parti kau Melayu Bersatu itu, agak-agak dapat lawan
orang putih?” Cikgu
Karim memancing Hamzah.
“Mana
saya tahu. Saya ikut sahaja. Yang tahu tanya Encik Mahmud. Dia tu ketua
sekarang, tapi tak mahu terang-terang sangat. Dia sogok ke depan setiausaha
sahaja”.
(Sandera,2003:201)
“Kita main sampan,” Zaleha memecahkan kesunyian mereka.
“Pergilah.” Sahut Mahadi acuh tidak acuh”
“Takkan saya seorang,” suara Zaleha merajuk dalam bunyi
rengek.
(Sandera,2003:385)
iii.
Penggunaan Monolog
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
monolog merupakan percakapan yang agak panjang oleh seseorang dalam sesebuah
karya. Percakapan yang panjang lebar oleh seseorang penutur sahaja dan biasanya
monolog digunakan untuk menafikan kesempatan orang lain untuk becakap. Monolog
merupakan perbualan atau dialog secara sendirian. Teknik monolog juga telah
digunakan oleh pengarang dalam penghasilan novel ini.
‘aku sudah berbuat sebaik-baiknya untuk Mahadi’,
fikir Mahmud.
(Sandera,2003:222)
‘Dimanakah
mereka sekarang?’ Midah mengeluh sendirian dan bangkit dari amben dapur.
(Sandera,2003:311)
iv.
Penggunaan Teknik Imbas Kembali
Teknik imbas kembali digunakan juga
oleh pengarang dalam menghasilkan karya ini. Imbas kembali merupakan suatu
teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah
dialaminya. Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang
atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman. Teknik imbas kembali
dapat dilihat dalam Novel Sandera ini yang menjadi tunggak kejayaan bagi
seorang pengarang.
Dalam
lamunan yang memanjang ini, Busad kemudiannya dapat membuka kenangan panjang kepada
ibunya, ibunyalah yang terlalu banyak berkorban untuknya.
(Sandera,2003:7)
6.2
Nilai Estetika dalam Novel Sandera
Dalam penulisan sesebuah karya,
kebijaksanaan penulis dapat dilihat menerusi karya yang dihasilkan. Estetika
dalam sesebuah karya agung Melayu dapat dinilai oleh pembaca sama ada dari
aspek gaya penulisannya yang mampu menarik minat pembaca untuk meneruskan
bacaan karya tersebut serta menjadikan mesej yang ingin disampaikan kepada
pembaca dengan cara yang cukup berkesan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), estetika membawa definisi cabang falsafah yang mengkaji konsep yang
berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Estetika ialah rasa
keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan
bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau,
yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran (Dr. Hj. Mohd Rashid
Hj. Md Idris, Prof. Madya Dr. Abd. Rahman Napiah & Dr. Seri Lanang Jaya Hj.
Rohani, 2014). Keagungan karya-karya Melayu terserlah melalui kepintaran dan kehebatan
penulisnya dalam mengolah dan menulis butir-butir ceritera di dalam karyanya.
Setiap karya memiliki sudut
keindahannya yang tersendiri daripada karya-karya lain. Dalam karya Sandera
ini, estetika dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu estetika luaran dan
estetika dalam. Apakah yang dikatakan dengan estetika luaran? Luaran di sini
bermaksud keindahan yang terdapat pada struktur penulisan karya itu sendiri.
Dalam karya Sandera, pemilihan tajuk itu sendiri mempunyai estetika yang tinggi
kerana tajuk itu sendiri iaitu Sandera merupakan perkataan dari Indonesia yang
membawa maksud tawanan atau orang ditawan dalam bahasa Melayu. Dapat dijelaskan
di sini bahawasanya Sandera ini memiliki maksud yang mendalam berdasarkan tajuk
Sandera itu sendiri dan pemilihan tajuk dalam bahasa Indonesia pada tajuk karya
ini menunjukkan estetika dua budaya negara iaitu Indonesia dan Malaysia
merupakan di bawah rumpun yang sama dan memiliki budaya, adat dan pemikiran
yang sama sejak dahulu lagi.
Selain itu, pemilihan tema atau
pemikiran yang terkandung dalam karya ini iaitu berkaitan perjuangan rakyat
dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah merupakan mesej yang sangat dekat
dengan pembaca kerana negara kita pernah dijajah suatu ketika dahulu. Oleh yang
demikan, sangat wajarlah pemilihan tema yang sebegini kerana penulisan dan
penghasilan karya ini merupakan satu wadah bagi membolehkan rakyat khususnya
pembaca untuk menghayati dan mengenang jasa-jasa pejuang tanah air yang rela
berkorban untuk memerdekakan tanah air kita tidak kira di Malaysia, Indonesia
dan Singapura. Dalam karya agung Sandera, terdapat banyak nilai estetika yang
diperoleh terutama daripada hasil penulisan sejarawan negara Arena Wati ini
yang memiliki pelbagai gaya bahasa iaitu dari aspek gaya bahasa onomatopia,
anafora, hiperbola, metafora, personifikasi, simile, sinkope, disfemisme,
pengaruh bahasa asing yang terdiri daripada bahasa Inggeris, bahasa Indonesia,
bahasa Arab dan bahasa Jepun dan juga simpulan bahasa.
i.
Onomatopia
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), onomatopeia atau onomatopia bermaksud pembentukan kata yang bunyinya
ditiru daripada bunyi alamiah. Secara khususnya, onomatopia ini merupakan
pembentukan kata yang meniru bunyi asal sesuatu atau perbuatan. Dalam novel
Sandera, onomatopia dapat dilihat penggunaanya pada halaman 121 iaitu:
“Puuuuuiiiii...,” Sariyah
meludah dan mengejek tajam.
`
(Sandera,2003 :121)
Dalam ayat di atas, perkataan puuuuuiiiii
itu menunjukkan atau melambangkan perbuatan Sariyah yang meludah serta mengejek
pihak Belanda. Selain itu, contoh onomatopia dapat dilihat pada halaman 250
iaitu:
“Sysy...,
jangan membual, malam hari suara jauh bunyinya, tidak takutkah?” soal Sapiah
memperingatkan.
(Sandera,2003:250)
Contoh lain bagi gaya bahasa
onomatopia ialah pada halaman 309 iaitu:
“Auuwww...tolong,” pekik gadis
itu.
(Sandera,2003:309)
ii.
Anafora
Anafora
bermaksud pengulangan perkataan yang sama pada awal ayat. Dalam karya Sandera,
penggunaan anafora dapat dilihat dengan jelas pada halaman 10 iaitu:
Selamat tinggal
Selamat tinggal Losariku yang indah
Selamat tinggal riak pantai dan angin lautku,
Selamat tinggal warna senja yang mempesona
Selamat tinggal pulau-pulauku.
(Sandera,2003:10)
Dalam contoh di atas, pengulangan
penggunaan perkataan Selamat tinggal dapat dilihat pada setiap permulaan
baris.
iii.
Hiperbola
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), hiperbola membawa erti ungkapan kiasan yang berlebih-lebihan atau
dibesar-besarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak bertujuan
ditafsirkan secara harfiah. Dalam novel Sandera, penulis telah memasukkan gaya
bahasa hiperbola ini dalam penulisannya bagi mencantikkan dan menarik minat
pembaca untuk membaca karyanya. Contohnya:
“Gegak
gempita guntur yang membelasah angkasa terdengar olehnya ketika dia tiba ke dalam selnya.”
(Sandera,2003:62)
Dalam contoh di atas, penggunaan
teknik hiperbola dapat dilihat pada ayat Gegak gempita guntur yang
membelasah angkasa. Penggunaan perkataan yang
melampau-lampau atau berlebih-lebih dalam konteks ayat ini menunjukkan ayat
tersebut merupakan gaya bahasa hiperbola.
iv.
Metafora
Gaya bahasa metafora merupakan gaya
bahasa yang membawa makna yang berlainan daripada perkataan asalnya yang
digunakan untuk perbandingan atau kiasan tanpa menggunakan perkataan yang menunjukkan
perbandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai dan laksana. Kebiasaannya gaya
bahasa metafora ini terdiri daripada perkataan yang abstrak dan perkataan yang
logik atau konkrit. Dalam novel Sandera ini, terdapat beberapa contoh ayat yang
menggunakan gaya bahasa metafora iaitu:
“Busad
senyum dan merasa tenggelam dalam lautan berahi ketika melihat isterinya
dalam wajah pagi yang natural, dibungkus pakaian warna biru laut bersulam
broket bentuk bunga mawar warna merah jambu.”
(Sandera,2003:333)
“Laut harapan kian surut.”
(Sandera,2003:371)
“Gelombang-gelombang
itu menyebabkan daun teratai bergerak dan bunganya yang putih kapas dan
tampang serbuk benihnya yang kuning pinang itu terletak di
tengah-tengah kepungan helai daun bunga bergegar dan serbuknya gugur sedikit
demi sedikit.”
(Sandera,2003:384)
v.
Personifikasi
Personifikasi merupakan gaya bahasa
yang memasukkan sifat atau perbuatan yang dilakukan oleh manusia ke dalam benda
bukan hidup, keadaan atau suasana. Contoh yang terdapat dalam novel Sandera
ialah:
“Ombak
mendepak menepuk lambung kapal di
permukaan laut menemani keterangan komandan polis itu...”
(Sandera,2003:12)
“Senja
menyeret matahari yang bulat
dn berwarna merah menjunam ke kaki langit dan perlahan-lahan terbenam ke dasar
laut.”
(Sandera,2003:14)
Busad
membantu menarik tali bubutan dan merasa tangannya panas perit digigit tali.
(Sandera,2003:39)
vi.
Simile
Gaya bahasa simile merupakan gaya
bahasa yang membandingkan sesuatu menggunakan bak, bagai, seperti, umpama dan
laksana. Terdapat banyak contoh yang terdapat dalam novel Sandera yang
mempunyai unsur gaya bahasa simile seperti:
“Kapal-kapal
di pangkalan, perahu-perahu layar berlabuh di balik Pulau Laelae dan layar
perahu nelayan seperti sayap sekawan burung laut.”
(Sandera,2003:9)
“Di beranda, Jusuh masih terpukau seperti
ayam kalah sabung.”
(Sandera,2003:37)
“Orang-orang
yang sudah bersampan-sampan dari tadi, mukanya merah seperti udang
dibakar.”
(Sandera,2003:390)
vii.
Sinkope
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), sinkope bermaksud pemendekkan sesuatu kata dengan menggugurkan satu
atau lebih huruf atau suku kata dari tengah-tengah kata itu. Contoh yang
terdapat dalam novel Sandera ialah:
“Jangan, nak,” lama kemudian
baru wanita itu dapat menguasai dirinya...
(Sandera,2003:15)
Dalam ayat di atas, perkataan nak
merupakan singkatan bagi perkataan anak.
“Bu...,’hanya itu, suaranya
terpandang sedu yang mendalam .
(Sandera,2003:15)
Dalam
ayat di atas, perkataan bu merupakan sinkope bagi perkataan ibu.
viii.
Disfemisme
Disfemisme
pula membawa maksud yang bertentangan dengan eufemisme iaitu ungkapan kasar
bagi menggantikan ungkapan halus dalam pengkaryaan. Sebagai contoh, perkataan mati
digunakan dalam karya Sandera ini bagi menggantikan perkataan meninggal
dunia iaitu pada halaman 298. Selain itu, contoh penggunaan gaya bahasa
disfemisme dapat dilihat pada halaman 69 iaitu:
“Kau setan betina tua,” Jusuh
tegak dari duduknya.
(Sandera,2003:69)
Perkataan
yang mempunyai unsur disfemisme ialah setan betina tua yang
merujuk kepada perempuan jahat atau perempuan yang tidak baik.
ix.
Penggunaan bahasa asing
Dalam novel Sandera, terdapat juga
unsur bahasa asing yang digunakan iaitu bahasa Inggeris, bahasa Indonesia,
bahasa Arab dan juga bahasa Jepun. Penggunakan pelbagai unsur bahasa asing ini
menunjukkan penulis mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bahasa.
i)
Bahasa Inggeris
Dalam karya Sandera, terdapat banyak
penggunaan bahasa Inggeris yang dikarang oleh penulis. Sebagai contoh perkataan
instinct pada halaman 366 yang membawa makna rasa hati dalam bahasa
Melayu.
ii)
Bahasa Indonesia
Disebabkan penulis berasal dari
Makasar, Indonesia, tidak menjadi sesuatu yang
luar biasa jika penulis menggunakan bahasa ibunda beliau. Sebagai contoh, pada
halaman 50 iaitu:
“Serdadu
juga? Nanti kau bunuh ayahmu sendiri? Jadi marsose juga? Kau akan bedil bibimu,
kau akan bunuh aku dan semua keluargamu?”
(Sandera,2003:50)
Perkataan serdadu, marsose dan
bibi merupakan perkataan bahasa Indonesia. Serdadu membawa makna
askar dalam bahasa Melayu, marsose merupakan satu angkatan bersenjata
yang ditubuhkan ketika Hindia Belanda iaitu semasa Belanda menjajah Indonesia
dan bibi membawa erti ibu saudara.
iii)
Bahasa Arab
Dalam novel ini juga, penulis
menggunakan bahasa Arab bagi menggambarkan unsur agama Islam dalam penulisan
novel ini. Sebagai contoh perkataan subhanallah pada halaman 135 dan
perkataan bismillah pada halaman 251.
iv)
Bahasa Jepun
Penulis juga menggunakan unsur
bahasa Jepun iaitu ketika penulis menceritakan peristiwa Jepun menjajah
Tanah Melayu dalam novel ini. Perkataan bagero digunakan pada halaman
133 yang membawa makna bodoh.
x.
Simpulan Bahasa
Penulis turut menggunakan simpulan
bahasa dalam penghasilan karya ini. Simpulan bahasa tersebut dikenal pasti
digunakan pada beberapa halaman seperti halaman 70 iaitu simpulan bahasa naik
gila iaitu bermaksud marah, bertikam lidah pada halaman 203
yang membawa erti bertengkar, pada halaman 347 iaitu buta hurut
yang bermaksud tidak pandai membaca dan halaman 383 iaitu hati batu
bermaksud keras hati.
7.0 NILAI ILMU
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat,
kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial (Mohd Rashid Md Idris,
2011), nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu
sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu
objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan
manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang
lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai
juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai
membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau
salah. Oleh yang demikian, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi
sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak
sesuatu pelakuan manusia.
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara
dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa
ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita
menyebarkannya kepada orang lain dalam pelbagai bentuk maklumat. Maklumat yang
disebarkan mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu
disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara
yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Ilmu dan maklumat yang
ingin dikaji berdasarkan karya agung merupakan ilmu perdukunan, ilmu firasat,
ilmu jampi, ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu, adat dan istiadat Melayu.
Masyarakat
Melayu pada zaman dahulu begitu kaya dengan khazanah bahasa dan amalannya. Ada
antara amalan-amalan itu masih diamalkan sehingga ke hari ini. Datuk nenek
moyang kita dahulu begitu kuat kepercayaannya kepada alam sekeliling. Dengan
ini muncullah kuasa alam sehinggakan mereka menuntut ilmu yang berkaitan dengan
alam ghaib atau alam yang tidak dilihat dengan mata kasar. Ada yang menyebut
ilmu ini sebagai ilmu hitam. Namun demikian, terdapat juga masyarakat Melayu
pada zaman dahulu mengamalkan amalan ini mengikut ajaran Islam. Dalam karya
agung Melayu, segelintir penulis memasukkan unsur-unsur seperti unsur mistik,
ghaib, ilmu hitam, pemujaan dewa dewi, ilmu pengasih, perdukunan, ilmu firasat
dan sebagainya.
i.
Ilmu
Keagamaan
Antara
nilai ilmu yang terdapat dalam novel Sandera
ialah ilmu keagamaan iaitu ilmu agama Islam. Agama Islam adalah ajaran yang
mencakupi akidah atau keyakinan dan syariat atau hukum. Islam adalah ajaran
yang sempurna yang mana Islam memerintahkan untuk mentauhidkan Allah s.w.t dan
melarang kita melanggar segala perintah-Nya. Terdapat lima rukun Islam dan enam
rukun iman yang perlu kita patuhi.
Dalam
novel Sandera, diceritakan bahawa
Bahar mengetahui tentang kewajipan membayar zakat sebagai seorang yang beragama
Islam. Bahar menerangkan bahawa terdapat lima rukun Islam dan rukun Islam yang
ketiga iaitu tiang agung daripada rukun itu, ialah zakat. Bahar juga cuba menjelaskan
kepada Mahmud bahawa pembayaran zakat daripada kalangan penganut Islam akan
menjadi sumber utama untuk penghasilan negara. Hal ini menjelaskan bahawa
masyarakat Melayu mengetahui tentang konsep Islam dari segi ekonomi. Hal ini
dapat dibuktikan melalui petikan monolog yang terdapat dalam novel di bawah:
“Kita
semua tahu rukun Islam ada lima. Rukun yang ketiga iaitu tiang agung daripada
rukun itu, ialah zakat. Nah,”dan“Apa ertinya ini? Zakat daripada kalangan
penganut Islam dalam negeri ini akan menjadi sumber utama untuk penghasilan
negara. Kita tidak akan pungut zakat kalau bukan Islam.”
(Sandera,2003 : 228)
Dalam novel ini, terdapat juga
diceritakan tentang keperluan memenuhi kewajipan kepada Allah s.w.t iaitu
menunaikan solat. Hal ini dapat dilihat apabila Midah sangat menitikberatkan
perihal solat bukan sahaja dalam dirinya malah dia juga mendidik adik-adiknya
supaya menunaikan solat. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah:
“Midah
sudah berdiri di atas kain sejadah yang sudah lusuh. Disiplinnya kepada
adik-adiknya tentang sembahyang, maghrib ini tidak sekeras biasa. Lazimnya,
Midah memaksa Zainab dan Kadir. Tetapi sekarang masih dibiarkan kedua-dua anak
itu. Kadir di dapur dan Zainab dengan hafalannya. Dia sendiri, sembahyang kali
ini hanya kerana kelaziman biasa. Hanya kerana perasaan dan kebiasaan yang
sudah mendaging tulang itu maka dia sembahyang.”
(Sandera,2003
: 154)
ii.
Ilmu
Peperangan
Selain
itu, terdapat juga diceritakan tentang ilmu peperangan dalam novel Sandera. Peperangan bermaksud
perkelahian, pertempuran dengan menggunakan senjata yang melibatkan satu negara
dengan negara yang lain. Peperangan juga boleh ditakrifkan sebagai konflik
antara kumpulan-kumpulan pesaing dengan menggunakan taktik kekerasan.
Peperangan bersifat konflik yang terancang ini dilancarkan untuk mencapai
objektif-objektif tertentu.
Dalam
novel Sandera, diceritakan bahawa
masyarakat Melayu juga mahir dalam ilmu peperangan. Hal ini dapat dilihat
apabila Kapten Mahadi merencanakan suatu tindakan ofensif yang tegas. Pada
mulanya Milton berasa ragu-ragu tetapi setelah rencana Kapten Mahadi ini
dipertimbangkan oleh Brigedier Hudson, Kapten Mahadi sendiri yang menggalas
tugas tersebut. Kapten Mahadi memperlihatkan bakatnya sehingga dia berjaya
dalam serangan tersebut. Daripada kejayaan tersebut, Mahadi diberikan cuti khas
dan menyambut kejayaan itu bersama kawan-kawannya. Hal ini dapat dilihat
melalui petikan:
“Sekali ini Mahadi benar-benar memperlihatkan
bakatnya. Dia kembali dari daerah Gunung Pulai dengan kemenangan besar, setelah
satu minggu mengepung gunung itu dan dengan bantuan helikopter akhirnya dia
mengetahui letak kubu gerila. Mahadi mengadakan serangan terbuka, dan berjaya meleburkan kubu gerila
di tempat tersebut.”
(Sandera ,2003: 283)
iii.
Ilmu
Perniagaan
Seterusnya,
nilai ilmu yang terdapat dalam novel Sandera
ialah ilmu perniagaan. Perniagaan ialah pertukaran barang dengan barang
atau pertukaran barang dengan perkhidmatan. Perniagaan juga boleh didefinisikan
sebagai satu proses iaitu apabila perniagaan itu berfungsi melalui pertukaran
harta dengan harta di atas persetujuan penjual dan pembeli mengikut cara-cara
yang diizinkan syarak.
Dalam
novel Sandera, disebutkan tentang
kemahiran mengenai ilmu perniagaan. Kemahiran dalam ilmu perniagaan ini dapat
dilihat melalui watak Busad yang berkemahiran dalam perniagaan. Busad
diceritakan dalam novel tersebut bahawa dia diterima sebagai salesman di sebuah
gudang perniagaan bangsa Jerman. Hal ini demikian kerana Busad mempunyai
kebolehan bertutur dan menulis dengan lancar dalam bahasa Inggeris, Belanda,
Jerman dan Perancis dan dia menjadi penghubung utama antara pengurus besar
dengan kedai-kedai penjual di seluruh Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat
melalui petikan ini:
“Dengan
melalui Andang inilah Busad dapat membangun hidupnya di Singapura. Busad
diterima bekerja sebagai salesman di sebuah gudang perniagaan bangsa Jerman,
yang menjual jentera-jentera, alat-alat utas dan segala perkakas yang dibuat
daripada besi. Disebabkan kebolehan Busad bertutur dan menulis dengan lancar
dalam bahasa Inggeris, Belanda, Jerman dan Perancis, maka dia menjadi
penghubung utama pula antara pengurus besar dengan kedai-kedai penjual di
seluruh Tanah Melayu.”
(Sandera,2003 : 99)
iv.
Ilmu
Politik
Di
samping itu, novel Sandera ini jelas
menceritakan tentang perjuangan mempertahankan tanah air. Jadi, nilai ilmu yang
terangkum dalam novel ini adalah berkaitan dengan ilmu politik. Ilmu politik
yang terdapat dalam keseluruhan novel ini menceritakan tentang parti
pemerintahan yang dipertandingkan dalam sesebuah tempat melalui pilihan raya.
Dalam
novel Sandera, ilmu politik banyak
dipaparkan tentang pilihan raya yang dijalankan di Tanah Melayu. Sebagai
contoh, terdapat pilihan raya yang diadakan di Seberang Takir, Terengganu yang
mempertandingkan parti Melayu Bersatu dengan parti lain dan dalam pilihan raya
tersebut, Matali menang mengalahkan lawannya iaitu Ismail. Hal ini dapat
dilihat melalui petikan dibawah:
“Radio
mengumumkan hasil pilihan raya di Seberang Takir, Terengganu. Matali menang daripada Melayu Bersatu, mengalahkan
lawannya, Ismail daripada parti
lain.”
(Sandera, 2003 : 308)
Secara
keseluruhannya, nilai-nilai ilmu seperti ilmu firasat, ilmu pengasih, ilmu
jampi dan perdukunan ini merupakan salah satu ilmu yang misteri untuk
diterokai. Tidak lupa juga ilmu-ilmu yang terdapat dalam novel Sandera hasil nukilan Arena Wati ini.
Oleh hal yang demikian, nilai-nilai ilmu yang terdapat dalam karya
kesusasteraan moden ini memberikan pelbagai mesej yang menarik dan mengandungi
pelbagai nilai kebudayaan Melayu yang tinggi seterusnya dapat dijadikan sebagai
panduan dalam kehidupan seharian. Karya agung sememangnya memiliki nilai
keunggulan yang tinggi kerana mengandungi pelbagai isi dan mesej yang bermakna.
9.0
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
novel Sandera banyak mengandungi nasihat dan pengajaran buat kita semua. Novel
ini pernah memenangi hadiah utama sayembara 10 tahun merdeka pada tahun 1968
dan telah diangkat sebagai karya agung Melayu. Aspek pemikiran, nilai budaya,
pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan estetika dalam karya ini
telah menjadi tunggak kepada kekuatan bagi karya ini. Novel Sandera yang
memiliki keenam-enam aspek tersebut menjadikannya sebagai salah sebuah karya
agung dalam sastera Melayu. Intipati novel Sandera yang penuh dengan
penceritaan tentang kebangkitan rakyat menentang penjajah wajar dihayati dan
dikenang dan boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua untuk menghargai
tokoh-tokoh pejuang tanah air yang telah berjuang untuk mempertahankan tanah air
tercinta dari tangan penjajah.
Bibliografi
Arena
Wati (2003). Sandera. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Aries Sikwandi, Khusnul Hotimah,
Nisaatul Anis dan Nur Hadi (2011). Falsafah
agama.
Diperoleh
pada Mei 8, 2016 daripada
Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd.
Rahman Napiah & Mohd Rashid Md. Idris (2016). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.