Wednesday, 25 May 2016

Pengenalan


Hikayat Inderaputera (Ali Haji Ahmad)




Karya agung Melayu genre cerita lipur lara yang sangat terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga abad ke-19, terbukti dengan terdapatnya naskhah karya ini dalam versi-versi Aceh, Jawa, Lombok, Bugis, Makasar, Cam (Kemboja) dan Mindanao (Filipina). Sejumlah 30 naskhah diketahui masih ada, terpelihara di Perpustakaan Belanda, Great Britain, Jerman, Perancis, Belgium, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia.




Novel Sandera (Arena Wati)


Sandera (bermaksud tebusan; sebuah perkataan bahasa Indonesia) merupakan sebuah novel bertemakan sejarah hasil karya Arena Wati. Novel ini menceritakan kisah kebangkitan rakyat di nusantara  menentang penjajahan dari pihak luar. Kandungan novel ini juga mengandungi panduan dan nasihat kepada mereka yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu. Di atas permintaan ramai, buku ini pernah dicetak semula pada tahun 1986.

Video Pembentangan





HIKAYAT INDERAPUTERA








NOVEL SANDERA


Saturday, 21 May 2016

Slaid Pembentangan Novel Sandera

Karya Moden: Novel Sandera - Arena Wati


1.0  Pengenalan
Karya agung merupakan karya yang nilainya kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Ia tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas, walaupun zaman berubah. Nilai-nilainya yang tidak lapuk itu termasuklah nilai seni, budaya, ilmu dan pemikiran, teknik kepengarangannya, serta bahasanya yang tinggi dan indah, tersusun penuh tertib. Karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Terdapat beberapa sifat utama yang mengelaskan sesuatu karya itu sebagai karya agung. Sifat utama sesuatu karya agung ialah dapat dikaitkan dengan masalah dan isu terkini, karya yang tidak jemu dibaca berulang kali, dan karya yang bersesuaian dengan pemikiran yang hebat serta boleh mengisi minda individu sehingga masa kini.
Terdapat beberapa kepentingan karya-karya agung ini terhadap sesuatu bangsa. Antaranya ialah untuk menunjukkan tradisi sesuatu bangsa, iaitu tentang kewujudan diri, asal usul kejadian, serta fenomena alam kosmos dan kesannya. Daripada aspek-aspek tersebutlah wujudnya mitos-mitos yang dilahirkan dalam bentuk karya, iaitu karya agung. Karya-karya agung ini juga mempunyai nilainya yang tersendiri dalam membentuk tradisi dan tamadun melalui yang pertamanya metafizik iaitu dalam mengenal pencipta. Sebelum kedatangan Islam, banyak unsur agama Hindu yang dimasukkan dalam karya.
Kedua ialah melalui pengalaman iaitu interaksi dengan persekitaran. Oleh itu, dapat dilihat bahawa banyak unsur-unsur alam yang dimasukkan ke dalam karya, dek pengalaman penulis semasa berinteraksi dengan alam, mungkin semasa mendapatkan idea atau menenangkan fikiran. Ketiga ialah melalui asimilasi dan akulturasi, iaitu percampuran antara dua atau lebih masyarakat dan bangsa. Semakin banyak penulis bergaul dengan masyarakat luar, semakin banyak pengalamannya dan semakin bagus karyanya. Oleh sebab itulah, kebanyakan karya yang berkembang ke serata dunia merupakan karya yang banyak memasukkan unsur-unsur luar daripada tempat dan budaya asal penulis.
Berdasarkan kesemua ciri yang terdapat dalam novel Sandera itulah yang menyebabkan Sandera karya Arena Wati ini tergolong dalam karya agung. Sandera mengisahkan perjuangan bukan sahaja dalam menuntut kemerdekaan, tetapi mengekalkan kemerdekaan. Nilai-nilai dan semangat yang terdapat dalam novel ini wajar dipraktikkan sehingga sekarang. Berdasarkan susunan cerita dan watak juga, pengarang dapat digambarkan sebagai seorang yang sangat tekun dan mempunyai nilai kepengarangan yang sangat tinggi. Novel ini sangat sesuai untuk dijadikan penguat semangat dan pegangan dalam mengekalkan kemerdekaan, terutamanya bagi anak-anak muda yang semakin leka dalam arus pemodenan.

1.1 Latar Belakang Pengarang Novel Sandera
Nama sebenar Arena Wati ialah Muhammad Bin Abdul Biang atau Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung. Nama penanya ialah Arena Wati, Duta Muda dan Patria. Beliau dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan awal di Hollands Indische School (HIS), iaitu sebuah sekolah Belanda di Makasar, kemudian di Meer Uigebreid Lager Onderwijs (MULO) dan Hoogere Burger School (HBS) yang diteruskan semasa beliau menjadi pelaut. Beliau menamatkan pengajiannya di Sekolah Menengah Atas, Makasar pada tahun 1953 selepas terhenti semasa perang meletus. Kehidupan beliau sebagai pelaut bermula pada tahun 1945.
Pengalaman kerjaya Arena Wati bermula sebagai kelasi kapal, sidang penerbitan majalah dan akhbar di Singapura, Johor Bahru, Brunei dan Kuala Lumpur, pegawai penyelidik di Yayasan Sabah, Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1985-1989) dan di Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1990) serta menjadi fellow di beberapa buah universiti antarabangsa seperti di Universiti Cornell, Amerika Syarikat, Universiti Leiden dan Universiti Kyoto, Jepun. Arena Wati melibatkan diri dalam dunia penulisan dengan menghasilkan novel, cerpen, puisi dan wacana yang mencakupi pelbagai ilmu tentang kehidupan. Beliau melontarkan idea, menyuarakan pandangan dan membangkitkan kelesuan berasaskan pena di tangan dan lembaran kertas. Ketika itu lahirlah karya beliau berjudul Kisah Tiga Pelayaran yang diterbitkan di Singapura pada Tahun 1959. Pengalamannya yang luar biasa sebagai pelaut banyak memberinya ilham dalam berkarya dan meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam bidang penulisan khasnya untuk menghasilkan novel dan cerpen yang baik
Pada 1974, Arena Wati yang telah memperoleh hak kerakyatan Malaysia. Beliau telah menghasilkan sebanyak 24 buah novel, 87 buah cerpen, 6 buah antologi cerpen, 23 esei dan kritikan sastera, 9 buah buku kajian sastera, 12 buah puisi dan sebuah autobiografi. Arena Wati telah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan, antaraanya ialah Pada tahun 1975 pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agung (1975), Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 1985 di Bangkok, Thailand. Anugerah Sasterawan Negara (1988) dan pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) pada tahun 2003. Beliau juga banyak memenangi hadiah sayembara sastera, antaranya ialah hadiah sagu hati Peraduan Mengarang Novel anjuran DBP (1962) menerusi novelnya Lingkaran, pemenang tempat ketiga menerusi Sandera dalam Peraduan Mengarang Novel sempena 10 Tahun Merdeka. Novelnya Panrita pula dipilih sebagai pemenang Hadiah Karya Sastera Malaysia (1992/1993), dan novelnya yang terbaharu Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1998/1999). Manakala cerpen beliau Wisata terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera (1971), Bukan Satu Jalan ke Mekah dan Alun Menggulung Perlahan memenangi Hadiah karya Sastera (1972).

1.2  Latar Belakang Novel Sandera      
Novel Sandera merupakan sebuah novel yang berkisarkan sebuah perjuangan. Novel ini mempunyai tajuk yang membawa makna besar pada keseluruhan penceritaan novel ini. Sandera merupakan perkataan yang berasal daripada Indonesia yang bermaksud tebusan, tahanan penjara, atau orang yang diculik. Pada mulanya karya ini tidak diterbitkan dan menjadi simpanan Dewan Bahasa dan Pustakan selama tiga tahun. Namun, pada tahun 1971 novel ini diterbitkan  oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini juga pernah dijadikan teks rujukan untuk pelajar aliran sastera. Novel ini memperlihatkan mesej nusantara yang sangat kuat dari segi persembahan latar cerita dan pembawaan watak yang merancakkan jalan cerita ini. Malahan Tan Sri P. Ramlee juga pernah berhasrat mengadaptasi novel ini ke dalam filem kerana penyampaian mesej novel ini yang melibatkan negara-negara di Nusantara.
Novel ini berkisar tentang sebuah kebangkitan rakyat di Nusantara untuk menentang penjajah yang datang untuk merampas hak rakyat asal dan membuat kucar kacir. Novel ini mengandungi 459 halaman dan mempunyai tiga bahagian iaitu bahagian I: Pelarian, bahagian II: Gelombang Pasang dan bahagian III: Salah siapa?. Setiap bahagian mempunyai subtopik yang memisahkan situasi penceritaan. Novel ini bertujuam memberikan panduan dan nasihat kepada mereka yang hidup selepas zaman kemerdekaan dengan membawa mesej agar generasi kini sentiasa menghargai serta memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.

2.0  Sinopsis Novel Sandera
Novel ini menceritakan kisah perjuangan individu bernama Busad di samping rakan dan ahli keluarganya yang hidup dalam satu zaman serba mencabar yang menuntut pengorbanan harta, masa dan keluarga. Busad seorang pelopor yang menentang pihak Belanda merupakan tahanan yang akan dihantar ke Tanah Merah sebagai pesalah politik oleh penjajah Hindia-Belanda. Busad meninggalkan Makassar bersama Jubir dan di hantar ke Tanah Merah yang digambarkan seperti sebuah tempat menuju kematian. Busad, telah berjaya melarikan diri daripada ditahan di Digul, Tanah Merah dengan merancang kebakaran kapal yang membawanya ke Tanah Merah. Ibunya, Sariyah telah ditangkap oleh serdadu Belanda dan dipenjarakan di Karebosi. Kedua-dua belah tangannya telah dipaku. Ayah Busad iaitu Ibrahim berasal dari Tanah Melayu, tetapi Busad tidak mengetahui dari negeri yang mana satu.
Kisah kematian isteri Jusuh iaitu Indon yang merupakan ibu saudara kepada Busad yang berada di Terengganu. Kematian Indon telah membuatkan Jusuh merasa sebuah kehilangan dan menyebabkan dia menyesal atas perbuatannya yang suka bermain judi dan suka berfoya-foya. Akhirnya Busad menjadi seorang usahawan setelah selamat daripada kebakaran kapal yang dinaikinya menuju ke Tanah Merah. Busad berkahwin dengan Kalsom iaitu anak perempuan Jusuh dan juga merupakan sepupu Busad sendiri. Perkahwinan mereka telah diaturkan oleh Jusuh sendiri atas amanat arwah isterinya, Indon.
Busad terpaksa meninggalkan isteri dan anak dalam kandungan isterinya untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan di Singapura. Sariyah pula dikhabarkan berada di penjara Karebosi dan menjadi tahanan yang bertahan untuk tidak menurut arahan daripada Direktor Belanda itu. Jusuh sedih melihat Kalsom yang selalu bersedih kerana ditinggalkan suami yang pergi ke Singapura. Jusuh mengambil keputusan untuk pergi ke Singapura untuk mencari Busad. Jusuh meninggalkan Kuala Terengganu ke pelabuhan Mersing dengan sebuah kapal payang. Jusuh menuju mersing ke Johor Bharu dengan berjalan kaki namun Jusuh meninggal dunia di pertengahan jalan kerana pertengkaran dengan tentera Jepun.
Hakim Mahmud terlibat dengan Parti Melayu Bersatu atas dorongan Busad. Keterlibatan Mahmud dalam Parti Melayu Bersatu merupakan taktik yang diaturkan oleh Busad untuk mendapatkan kuasa dan hak menuntut kemerdekaan. Mahmud mudah untuk menyesuaikan dirinya dalam Parti Melayu Bersatu kerana dia merupakan lulusan dalam undang-undang dan pernah menjawat jawatan sebagai seoran hakim. Tanah Melayu pada masa itu digambarkan sangat daif dan keperitan yang ditanggung oleh penduduk asal melaui peristiwa “food control”. Individu ditegah untuk membawa sebarang bekalan makanan yang masih berada dalam tin atau masih berbungkus rapi. Makanan yang dibawa daripada mana-mana tempat harus disertakan dengan surat yang rasmi daripada pihak Food Control bagi setiap bahagian untuk tujuan tertentu.
Seterusnya, Tanah Melayu digemparkan dengan isu Jus Soli yang menyebut tentang hak kerakyatan automatik pada kelahiran di Tanah Melayu. Kemenangan 51 kerusi yang oleh Parti Melayu Bersatu daripada 52 kerusi yang dipertandingkan melibatkan gerakan Hakim Mahmud. Hakim Mahmud pada masa itu merupakan wakil kepada Parti Melayu Bersatu dan Zahid sebagai calon yang turut bertanding. Kemerdekaan Tanah Melayu pada masa itu menggembirakan semua penduduk Tanah Melayu yang juga diraihkan dengan kejayaan Kadir dan Rustam. Rustam telah beranjak dewasa dan setampan ayahnya iaitu Busad. Rustam memulakan pengajiannya di sebuah Universiti seperti yang dihajatkan oleh ayahnya.
Akhir penceritaan novel ini dikisahkan dengan hal penyelewengan Ismail atau Weh yang menjual tanah pusaka arwah Haji Karim. Tanah pusaka Haji Karim merupakan hak Busad dan Kalsom namun Ismail telah menjual tanah itu kepada orang cina. Terjadi pertelingkahan dan pergaduhan antara Busad dan Ismail. Akhirnya, Ismail tersungkur lemah di tangan Busad. Busad juga menangkap orang Cina yang berpakat dengan Ismail untuk diserahkan kepada pihak polis.

1.0     Pemikiran dalam Novel Sandera
Menurut Seri Lanang Jaya HJ. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd. Rashid Md. Idris, (2016: 69) pemikiran bermaksud subjek yang dibawakan oleh seseorang pengarang. Pemikiran bermula daripada idea dan pengalaman pengarang serta dimantapkan dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema sesebuah karya. Setiap karya agung yang dihasilkan memiliki pemikirannya yang tersendiri. Seterusnya, ia dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakaannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya.
Dalam novel Sandera, terdapat beberapa isi dan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarang, antaranya ialah perjuangan menentang penjajah, taat setia kepada negara, kekejamaan pihak penjajah dan ketentuan jodoh.. Secara ringkasnya, novel Sandera memaparkan kisah kebangkitan masyarakat Melayu menentang penjajah untuk memerdekakan tanah air.

          i.            Perjuangan Menentang Penjajah
Secara keseluruhannya, mesej utama yang cuba disampaikan ialah tentang perjuangan masyarakat Melayu menentang penjajah. Pengarang menceritakan tentang peristiwa penentangan masyarakat terhadap penjajahan yang berlaku di Indonesia, Singapura dan Tanah Melayu. Berikut merupakan salah satu peristiwa yang memaparkan penentangan masyarakat.

Aku, dengan rela hati memasuki perjuangan ini, sejak suamiku masih hidup, dan melanjutkan hingga sekarang. Tujuannya bukan hanya sekadar kemerdekaan bangsa kami, tapi juga kemerdekaan kami itu akan kami isi dengan manusia yang berperkerti baik.
                                                                                                         (Sandera, 2003:  64)

Peristiwa tersebut menunjukkan semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh Sariyah yang berasal dari Makassar, Indonesia. Sariyah juga telah menjelaskan bahawa perjuangan yang dilakukannya adalah untuk memerdekakan tanah air. Antara contoh peristiwa lain ialah:

“Di hadapannya sekarang jelas kelihatan tong benzin berdiri di kaki tembok luar sel-sel para tahanan yang berpenghuni dan yang kosong. “Yah, kalau memang mesti terjadi, dan sekadar  inilah yang dapat kulakukan, oh ibunda tanah air tercinta; sampai sinilah saham yang dapat kuberikan untukmu!”
                                                                                            (Sandera, 2003: 127)

Peristiwa tersebut menunjukkan bahawa Sariyah bertegas untuk terus berada di penjara daripada mengkhianati tanah air. Sariyah rela terbakar di dalam penjara untuk membuktikan bahawa beliau tetap menentang penjajahan yang berlaku di negerinya. Selain itu, perjuangan menentang penjajahan juga dapat dilihat melalui watak utamanya iaitu Busad.

“Barisan bersejata secara regular?”
“Tentu, kami sudah minta satu divisi sebagai tawaran kerjasama kita kepada Jepun. Tapi mereka dalam tingkat pertama hanya sanggup mengambil satu resimen,” Kata Bahar.
“Bagus, kita ambil mana yang dapat dicapai,” sahut Busad.
Kemudian Busad memperlihatkan jasanya dengan sebaik-baiknya. Jaring-jaringnya terpasang rapi antara Singapura sebagai pusat yang menjalar ke Rangoon, Bangkok, Pontianak, Belawan Deli, Jakarta, Semarang, dan Makasar, untuk kebangkitan semesta Nusantara.
                                                                                                        (Sandera, 2003: 139)

Petikan tersebut menunjukkan pelbagai usaha yang dilakukan oleh Busad dan rakan-rakannya untuk memperjuangkan tanah air dan menentang penjajahan. Busad mengetuai parti menentang penjajahan dengan menyusun pelbagai starategi ke arah memerdekakan Indonesia, Singapura dan Tanah Melayu.

        ii.            Taat Setia Kepada Negara
Pengarang juga cuba menyampaikan pemikiran tentang taat setia kepada negara dalam novel Sandera. Pemikiran ini dapat dilihat melalui watak utama iaitu Busad. Contohnya dapat dilihat melalui petikan berikut:

“Benar-benar aku hairan. Kenapa orang berjuang sampai sanggup berbuat begitu?”
“Memang tanah air amat besar tagihannya kepada setiap orang. Tapi tidak setiap orang yang sanggup membayarnya dengan tunai. Cinta kepada keluarga, cinta kepada diri sendiri, terlalu kuat daam dada mereka dan ini menyebabkan mereka takut. Mereka lupa, bahawa cinta keluarga bagi keturunan yang akan datang, cinta kepada diri sendiri bagi turunan yang akan datang juga, akan lebih rapuh kalau tagihan tanah air itu tidak dilaksanakan.” Busad bercakap tenang tetapi bersemangat.
                                                                                                          (Sandera, 2003: 91)

Busad menyerahkan kehidupannya untuk taat setia kepada tanah airnya. Beliau sanggup meninggalkan keluarga dan melupakan kebahagian diri hanya untuk mempertahankan tanah air. Busad mengatakan bahawa tanah air perlu dipertahankan untuk generasi akan datang. Pemikiran ini dapat dilihat melalui watak Sariyah yang menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara. Sebagai contoh:

                          “ Ibu tolak tawaran jasa dari saya ?”
                        “ Aku tolak!’’
                          “ Tapi dengan itu ibu akan mati terbakar.”
                         “ Anakku juga mati terbakar!”
“Kau yang berkuasa di sini. Tapi aku akan lawan. Aku lawan, aku lawan,             kataku!” Sebagaimana aku lawan selama ini. Kau tahu? Aku engkau kurung, tapi jiwaku tidak! Aku engkau tahan di sini, tapi pengaruhku tidak!”
                                                                                                        (Sandera, 2003: 124)

Peristiwa tersebut memaparkan peristiwa tentang Sariyah yang telah diberi tawaran untuk bekerjasama dengan pihak Belanda. Sariyah akan dibebaskan jika menerima tawaran  itu  tetapi jika dia menolak, dia akan dibakar.  Oleh kerana semangat taat setia kepada Negara yang amat kuat dalam diri Sariyah, dia rela mati terbakar daripada berpaling tadah.

      iii.            Kekejaman Penjajah
Novel Sandera juga memaparkan tentang kekejaman penjajah. Terdapat pelbagai jenis kekejaman yang telah dilakukan oleh pihak penjajah kepada masyarakat, antaranya ialah penangkapan masyarakat bumiputera yang menentang penjajahan, penyeksaan terhadap tahanan penjara, pemerkosaan terhadap wanita, penyekatan makanan dan sebagainya. Antara peristiwa yang menunjukkan kekejaman penjajah adalah:

“Tidak!” bentak Sariyah kembali. “Aku bukan binatang. Kau boleh memaksa kuda ke dalam air, tapi kau tidak dapat memaksa kuda  minum air.”
“ Tapi aku dapat memaksa engkau,” kata yang berpakaian preman.
Kini, leftenan itu datang memaksa Sariyah dan  menariknya keluar dari bom kereta,dan dibawa ke belakang kereta kuda itu. Dan kudanya dipasang kembali oleh orang preman itu. Dengan satu tendangan pada punggung daripada kaki leftenan itu, Sariyah terhuyung dan dan terjongkok ke muka, kemudian dengan suara berdaulat leftenan itu membentak, “Letak tangan koe pada lantai kereta.”“Ini yang dapat mengajar koe, atau anak manis itu akan bersama koe begini,” kata leftenan itu, dan mengambil dua buah paku dan sebilah tukul dari dalam peti di bawah tempat duduk kereta itu. Dan dengan tangan leftenan itu sendiri, dia pakukan kedua-dua belah tangan Sariyah pada lantai kereta.
                                                                                                     (Sandera, 2003: 28-29)

Peristiwa tersebut menceritakan tentang Sariyah yang telah ditangkap kerana dituduh mengetuai pakatan menentang penjajah. Sariyah yang enggan menngikut tentera Belanda telah diseksa oleh pihak Belanda. Sariyah telah dipaku tangannya dilantai  kereta kuda oleh leftenan Belanda yang akan membawanya ke penjara. Kekejaman pihak penjajah juga dapat dilihat melalui petikan berikut:

“Pegawai itu mendatangi Jusuh, merenungnya dengan tajam dan dengan tiba-tiba dia menampar muka Jusuh sekuat tenaganya. Jusuh jatuh terpelanting dan orang yang melihatnya merasa ngeri.
Jusuh sudah nekad diperlakukan begitu dan sebaik tubhnya mencapai tanah, kaki kanannya sudah menyambar celah kelangkang pegawai Jepun itu dari depan. Jepun itu bersuara tersedak, dan runduk ke depan terhuyung, lalu rebah ke tanah. Jusuh bangkit hendak merebut samurai itu tetapi satu letusan sudah menggema.
Jusuh rebah, dan kepalanya terburai.”
                                                                                                (Sandera, 2003: 135-136)

Jusuh melawan pegawai Jepun yang menyekatnya untuk memasuki Singapura dan dia telah ditampar oleh pegawai Jepun yang bertugas mengawal sempadan Singapura dan Tanah Melayu. Jusuh cuba melawan pegawai Jepun terbabit sehingga dia ditembak mati.

      iv.            Ketentuan Jodoh
Selain itu, mesej sampingan yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah tentang   ketentuaan jodoh. Jodoh merupakan aturan Allah S.W.T dan kita tidak dapat menyangka kehadirannya. Begitulah yang cuba disampaikan oleh pengarang dalam watak Busad. Busad telah berkahwin dengan Kalsom pada zaman bujannya dan kemudian selepas kemerdekaan beliau menemui jodoh bersama Midah yang merupakan anak sahabat karibnya, Hakim Mahmud. Berikut merupakan petikannya:
“Mahmud tidak menyangka bahawa Busad akan menjadi menantunya. Busad adalah sahabatnya. Daripada pertolongan-pertolongan Busad kepada keluarganya terutama pada zaman Jepun, tidak terbayang  dalam fikiran Mahmud, bahawa Busad akan menjadi keluarganya”.

(Sandera, 2003: 316)

4.0  Falsafah dalam Novel Sandera

Falsafah dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Berfalsafah pula ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran.
Tujuan falsafah adalah untuk mencari kebenaran tentang sesuatu permasalahan dengan cara berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu akan menjadi persoalan falsafah apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah dan pengamatan sains. Persoalan falsafah juga biasanya melibatkan perkara-perkara yang abstrak seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara rumusannya, falsafah merupakan suatu pemikiran yang amat mendalam dan menyeluruh terhadap sesuatu perkara dalam usaha mencari kebenaran.

        i.            Falsafah Politik
Definisi falsafah politik diperoleh melalui gabungan keduanya, iaitu sebagai suatu upaya  untuk membahas hal-hal yang berkaitan dengan politik secara sistematis, logik, bebas, mendalam, serta menyeluruh. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), politik ialah aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara. Falsafah politik bererti pemikiran-pemikiran yang berkaitan tentang politik. Bidang politik merupakan tempat menerapkan idea falsafah. Terdapat berbagai idea-idea falsafah yang ikut mendorong perkembangan politik moden iaitu liberalisme, komunisme, pancasila, dan lain-lain.

Berdasarkan karya moden yang dianalisis, iaitu Sandera, secara jelasnya tema yang cuba diketengahkan oleh pengarang adalah berkaitan dengan politik sesebuah negara seperti Tanah Melayu sebelum mencapai kemerdekaan. Pada awal cerita, pengarang menceritakan sistem politik di Indonesia yang dikawal oleh Hindia Belanda. Pada ketika itu, Busad dan Jubir telah dipenjarakan kerana menjadi pelopor. Namun, pada ketika itu sistem politik Hindia Belanda telah mengalami perubahan berbanding tahun sebelumnya. Contoh petikan yang memperlihatkan peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

"Politik Hindia Belanda sudah amat banyak berubah dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu. Dan akhir-akhir ini, ada gagasan baru; minta kepada bumiputera supaya bersedia memanggul senjata untuk bersama mempertahankan Hindia Belanda. Eropah kian panas, dan politik di Pasifik kian menajam. Jubir akan bebas kalau dia bersedia bekerjasama, dan meninggalkan pendirian non-koperator…"

(Sandera, 2003:3)


Selain itu, falsafah politik diperlihatkan oleh pengarang melalui peristiwa ayah Busad, iaitu Ibrahim yang terpaksa meninggalkan Tanah Melayu kerana tidak menerima politik raja pada ketika itu yang terlalu mengikut telunjuk pihak Inggeris dalam sistem politik. Situasi tersebut diperlihatkan dalam petikan berikut:

"… Ayahnya meninggalkan Tanah Melayu kerana penentangannya kepada politik raja yang selalu mengalah kepada Inggeris, dan sikap beku daripada mufti yang terlalu kaku menghadapi cabaran zaman bagi agama Islam…"
(Sandera, 2003:3)

Seterusnya, politik penjajah semakin memperlihatkan kekuasaan mereka ke atas negara yang dijajah. Contohnya, Jerman semakin menunjukkan kekuasaan dan mampu menjatuhkan kuasa Eropah sekiranya pihak Jerman menginginkan perkara tersebut berlaku. Selain Jerman, Jepun turut mempergiatkan politiknya untuk menjajah Asia bagi mendapatkan bahan mentah dan hasil industri. Hal ini jelas diperlihatkan dalam petikan berikut:

"… Politik internasional amat genting. Jerman mulai memperlihatkan giginya. Eropah akan hancur luluh kalau dia mahu. Dan lihat sendiri, Jepun makin memperhebat politik dumpingnya. Apa ini semua?" kata Amin lagi, sambil menarik nafas panjang.

           "Rebutan tanah jajahan, rebutan negara pasaran hasil industri dan mencari bahan mentah," sahut Jubir…"
(Sandera, 2003:60)

                        Berdasarkan tiga contoh peristiwa yang diterangkan di atas, pengarang jelas memasukkan aspek falsafah politik dalam novel Sandera. Antara falsafah politik tersebut adalah falsafah politik berkaitan dengan sistem pemerintahan atau penjajahan yang dilakukan oleh pihak Hindia Belanda ke atas Indonesia sebelum perang dunia kedua. Selain itu, pengarang turut menceritakan falsafah politik berkaitan politik raja di Tanah Melayu yang terlalu mengikut telunjuk penjajah. Seterusnya ialah sistem politik pihak penjajah yang semakin berkuasa untuk memonopoli bahan mentah di negara Asia.


      ii.            Falsafah Sejarah
Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), sejarah ialah persoalan yang berkaitan dengan makna masa silam, seperti tamadun dan keruntuhan. Perbahasan dalam falsafah sejarah ini selalunya berkait rapat dengan persoalan sejarah itu sendiri. Dengan kata lain, falsafah sejarah ini cuba membahaskan inti pati atau tujuan sejarah itu sendiri. Hal ini demikian bagi menyimpulkan atau menyebut sesuatu yang berguna daripada sejarah. Maksudnya untuk mendapatkan dan mencari sesuatu yang bermakna daripada sejarah. Lantaran itu, falsafah sejarah bolehlah dikatakan sebagai suatu percubaan sejarawan untuk memahami dan menerangkan apakah sejarah itu. Pada awalnya, falsafah sejarah merupakan falsafah kehidupan itu sendiri. Oleh itu, falsafah sejarah pada zaman silam kerap dianggap sebagai satu bentuk spekulasi terhadap sejarah.

Novel Sandera mengisahkan tentang sejarah yang berlaku di negara-negara Asia yang melibatkan perjuangan rakyat Indonesia dan Tanah Melayu. Rakyat Indonesia dan Tanah Melayu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada tangan penjajah seperti Inggeris, Jerman, Jepun dan banyak lagi kuasa barat yang cuba menjajah negara-negara Asia sebelum Perang Dunia Kedua tercetus. Sejarah berkaitan Perang Dunia Kedua dikatakan tercetus apabila pihak Jerman memulakan serangan. Kemudian disertai oleh Britain, Perancis, Netherland dan Belgium. Seterusnya, perang tersebut akan melibatkan seluruh negara Asia. Pada masa yang sama Jepun akan campur tangan dalam perang tersebut. Peristiwa tersebut dibuktikan dalam petikan berikut yang dikarang oleh pengarang:

"Kalau Jerman mulai, Perang Dunia Kedua akan pecah. Britain, Perancis, Netherland, Belgium akan terlibat. Waktu itu Inggeris akan terjepit dan akan membuka kesempatan kepada anak-anak tanah jajahannya…" Perang Dunia Kedua akan melibatkan seluruh Asia. Jepun akan masuk gelanggang. Dan kukira penjajahan Barat di Asia akan tamat."
(Sandera, 2003:55-56)

Selain itu, pengarang menceritakan juga peristiwa sejarah ketika Jepun mula menapak dan mendarat di Tanah Melayu. Pada tanggal 22 Disember 1941, Jepun telah mendarat di Tanah Melayu melalui  Kota Baharu dan Terengganu. Pada ketika itu, askar-askar orang putih telah mengundurkan diri. Situasi sejarah tersebut diceritakan oleh pengarang dalam petikan berikut:

" …maka pada tanggal 22 Disember, ketika Jepun memasuki Terengganu, dan askar-askar orang putih sudah mengundurkan diri, Embong dan beberapa orang temannya daripada kalangan guru-guru…"
(Sandera, 2003:128)

Seterusnya, pengarang juga menceritakan tentang sejarah penentangan yang dilakukan oleh penduduk di Tanah Melayu terhadap penubuhan Malayan Union. Semua penduduk Tanah Melayu menentang kuat penubuhan tersebut kerana tidak mahu Tanah Melayu dijadikan sebagai Melayan dan bukannya Melayu yang hakikatnya merupakan hak orang Melayu sepenuhnya. Petikan berikut menceritakan kisah penentangan tersebut dilakukan.

"…Tapi kita mesti bersatu, cikgu. Orang Melayu mesti bersatu. Tengok, orang Cina sekarang sudah mulai minta diakui. Orang India juga minta diakui. Semuanya mahu sama dengan kita. Manakan boleh. Itu fasal kami lawan habis-habis Malayan Union ini. Sebab negeri ini mahu dijadikan Malayan, bukan Melayu lagi," kata Hamzah tegas…"

 (Sandera, 2003:202)


"…Perjuangan menentang Malayan Union sudah reda. Perarakan di setiap negeri  sudah berakhir. Tetapi kesannya masih mendalam. Bahar menyaksikan ini sepanjang perjalanannya dari rumah Zahid di Jalan Datuk Dalam hingga ke stesen kereta api di Johor Bahru. Setiap orang lelaki yang lalu dan memakai songkok, tua, muda dan kanak-kanak, sebahagian besar masih menggunakan kain putih berbelit pada songkok mereka sebagaimana biasa kalau raja mangkat. Perkabungan ini dilakukan d seluruh Malayan, menentang Malayan Union, sebagai tanda membantah dan bersedih hati akan wujudnya Malayan Union itu sebab menurut anggapan, itu akan menghilangkan bangsa Melayu di negerinya sendiri…"
(Sandera, 2003:214)


Melalui peristiwa penentangan tersebut akhirnya mereka berjaya menghentikan penubuhan Malayan Union dilaksanakan di Tanah Melayu. Kebangkitan orang Melayu menentang Malayan Union secara tidak langsung menaikkan semangat mereka untuk mencapai kemerdekaan untuk tanah Melayu.

Kesimpulannya, berdasarkan contoh petikan yang dikemukakan, pengarang mengetengahkan falsafah sejarah berkaitan dengan zaman penjajahan barat ke atas negara-negara Asia yang bermula dengan Indonesia dan seterusnya Tanah Melayu. Selain negara barat, Jepun turut menjajah Tanah Melayu kemudian setelah Jepun kalah, barat kembali menduduki Tanah Melayu dan ingin menubuhkan Malayan Union.

    iii.            Falsafah Sosial
Menurut Ahsya Ahmad (2016), falsafah sosial merupakan ilmu kritis dalam melihat dan menganalisis persoalan sosial kemasyarakatan. Dengan demikian falsafah sosial dalam hal ini bertitik tolak dari manusia secara individu dan masyarakat. Di samping itu, falsafah sosial turut melihat masyarakat sebagai kesatuan manusia dalam kebersamaan. Melalui kebersamaan itu kemudian falsafah sosial melihat struktur, proses dan makna sosial, baik pada masa lalu atau sekarang, yang di dalamnya mempelajari nilai-nilai, tujuan-tujuan individu, kelompok dan kelas sosial (Donald E. Comstock, 1980). Falsafah sosial sebagai ilmu kritis mempunyai karakter berbeza dari ilmu sosial positif. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), sosial adalah gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual.

Berdasarkan novel Sandera yang dianalisis, didapati pengarang mengetengahkan falsafah sosial yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kampung yang saling bekerjasama dan tolong-menolong tanpa mengira usia untuk melancarkan urusan sesebuah majlis atau kenduri. Jusuh yang kematian isteri, iaitu Indon yang merupakan ibu kepada Kalsom membuat satu kenduri tahlil. Sebelum bermula kenduri tahlil tersebut, penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong membuat persiapan seperti memasak dan mengemas rumah. Peristiwa tersebut dapat dilihat pada petikan berikut:

"…Perempuan-perempuan yang sudah janda, yang ada suami, dan perempuan-perempuan yang belum lima belas tahun tapi sudah beranak satu, bersama anak-anak dara yang jarang mencapai usia tujuh belas tahun sebagai gadis, bertaut menjadi satu dalam kerja menyelenggarakan jamuan untuk kenduri mendua Jumaat kematian Indon. Perempuan-perempuan yang sudah tua - namun, masih sedia bercerai kalau dicabar suami, atau masih sanggup menerima akad kalau sudah jodohnya - mata mereka sudah berair kerana pedih oleh asap. Muka mereka kering berkilat kekelam-kelaman kerana dikutuk matahari. Perempuan-perempuan tua ini menanak nasi dan memasak lauk…"
(Sandera, 2003:66)

            Berdasarkan contoh peristiwa di atas, pengarang turut menggunakan falsafah sosial sebagai salah satu aspek falsafah dalam novel Sandera. Aspek falsafah sosial dalam novel ini adalah berkaitan dengan kehidupan masyarakat kampung yang saling bekerjasama dan tolong-menolong serta melakukan kerja secara gotong-royong untuk melancarkan segala urusan berkaitan majlis atau kenduri tanpa mengira lapisan umur.


    iv.            Falsafah Teologi Islam (Ketuhanan)
Menurut Theologi Surakarta (2013), istilah teologi Islam terdiri dari dua pengertian tersendiri, iaitu teologi dan Islam. Apabila keduanya diketahui pengertian secara komperhensif kemudian dikaitkan satu sama lain maka lahirlah pengertian yang utuh tentang Teologi Islam secara jelas dan argumentatif. Islam dalam aspek teologi Islam adalah agama yang menuntut sikap ketundukan dengan penyerahan dan sikap pasrah, disertai sifat batin yang tulus, sehingga perkara penting yang terkandung dalam Islam ada dua iaitu pertama berserah diri, merendahkan diri serta taat sepenuh hati dan kedua masuk dalam al-Salam, iaitu selamat sejahtera dan damai hubungan yang harmonis.

Falsafah teologi secara mudahnya merupakan sebuah bidang yang membincangkan falsafah mengenai ketuhanan. Berdasarkan novel Sandera, pengarang menonjolkan falsafah ketuhanan melalui beberapa watak seperti Romo, Sariyah, Kalsom, Mahadi, Midah, Mahmud dan ramai lagi. Falsafah ketuhanan ini juga diperlihatkan dalam beberapa situasi dan peristiwa yang berbeza, namun watak-watak tersebut jelas memperlihatkan penyerahan diri kepada Allah S.W.T. Antara peristiwa yang memperlihatkan penyerahan diri dan hanya memohon pertolongan  kepada Allah ialah apabila Sariyah meminta kepada Allah agar menempatkan anak Busad di tempat yang lapang di akhirat sekiranya anaknya itu telah meninggal dunia dan kalau masih hidup, Sariyah minta agar dipertemukan kembali dia dengan anaknya itu. Petikan di bawah membuktikan peristiwa tersebut.

"…Anakku…,"dia mengeluh, kemudian berdoa khusyuk kepada Allah, mengharapkan, kalau Busad mati, akan dilapangkan tempatnya di akhirat. Kalau masih hidup, akan dipertemukan kembali dengan selamat…"
(Sandera, 2003:65)

Selain itu, sebagai hamba kita juga perlu bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan dan menerimanya sebagai suatu nikmat daripada Pencipta. Mahadi dan Midah dalam novel ini melafazkan rasa kesyukuran kerana mereka selamat daripada kekalutan yang tercetus akibat gerakan mencapai kemerdekaan daripada penjajah. Petikan peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

"…Alhamdulilah, kita semua selamat," sahut Mahadi…"

"Ya Allah, ya Rahman, Engkau Maha Pemurah, Engkau kembalikan adikku kepada kami," ucap Midah bersyukur."
(Sandera, 2003:157)

Kesimpulannya, berdasarkan dua contoh yang diberikan, pengarang jelas memperlihatkan wujudnya falsafah ketuhanan dalam karya beliau. Antara falsafah ketuhanan yang ditonjolkan adalah berkaitan dengan penyerahan diri kepada Allah serta bersyukur atas segala kurniaan yang diberikan oleh Allah.


      v.            Falsafah Agama
Aries Sikwandi et al. (2011), menyatakan falsafah agama adalah falsafah yang menjadikan agama menjadi objek pemikirannya. Dalam hal ini, falsafah agama dibezakan dari beberapa ilmu yang juga mempelajari agama, seperti antropologi budaya, sosiologi agama dan psikologi agama. Antropologi budaya meneliti pola kehidupan sebuah masyarakat dan kerangka spiritual hidup. Dalam rangka itu, bentuk-bentuk penghayatan agama dalam masyarakat itu diteliti. Antropologi mengamati dan berusaha ikut menghayati bagaimana masyarakat yang diteliti menghayati Yang Ilahi. Antropologi adalah ilmu deskriptif. la tidak menilai apakah penghayatan itu baik atau buruk dan tidak berusaha untuk mengubah penghayatan itu, melainkan berusaha untuk memahami apa yang merupakan kenyataan keagamaan dalam masyarakat.

Falsafah agama yang diterapkan dalam sesebuah karya berfungsi sebagai sumber moral, petunjuk kebenaran, sumber informasi tentang masalah metafisika dan  memberikan bimbingan rohani kepada manusia. Terdapat beberapa falsafah agama yang ditonjolkan dalam novel Sandera. Pengarang mengetengahkan persoalan agama tentang rukun Islam yang ketiga, iaitu berkaitan dengan zakat. Bahar menerangkan kepada Mahmud bahawa mengeluarkan zakat sangat penting bagi memenuhi rukun Islam tersebut. Bahar menerangkan kepada Mahmud bahawa zakat yang dikeluarkan oleh umat Islam merupakan penghasilan negara yang utama. Tambahan lagi, zakat dipungut daripada orang bukan Islam. Petikan yang berkaitan dengan peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

"Kita semua tahu rukun Islam ada lima. Rukun yang ketiga iaitu tiang agung daripada rukun itu, ialah zakat. Nah," Bahar menumbuk meja ketika itu, dan Mahmud tercengang, " Apa ertinya ini? Zakat daripada kalangan penganut Islam dalam negeri ini akan menjadi sumber utama untuk penghasilan negara. Kita tidak akan pungut zakat kalau bukan Islam, itu ada garisnya yang lain. Tetapi sebagai rakyat, mereka tidak akan terlepas daripada bebanan cukai…"

(Sandera, 2003:228)

Berdasarkan penjelasan di atas dan disertakan dengan contoh yang sesuai, jelas bahawa pengarang turut mengetengahkan aspek falsafah agama, iaitu berkaitan dengan rukun Islam yang ketiga. Rukun Islam yang ketiga, iaitu zakat sangat penting dalam kepada umat Islam. Selain sebagai sumber pendapatan negara, mengeluarkan zakat merupakan salah satu cara orang Islam menyucikan harta mereka yang diperoleh daripada pelbagai sumber dan melalui zakat juga nasib orang miskin akan terbela.

5.0     Nilai Budaya dan Pandangan Hidup

Nilai budaya merupakan perkara yang paling banyak ditonjolkan oleh pengarang dalam sesebuah karya yang mereka hasilkan. Wan Abdul Kadir (2007) mendefinisikan nilai sebagai ukuran yang diberikan oleh seseorang individu tentang sesuatu atau perlakuan baik atau buruk, halus atau kasar, tinggi atau rendah, berasaskan kepada kelakuan yang telah menjadi kebiasaan atau kelaziman yang dikongsi bersama dan telah disahkan oleh masyarakat akan kedudukan nilai itu. Anggota masyarakat dapat menyatakan ukuran nilai dalam menentukan sesuatu atau perlakuan berasaskan kepada pengalaman yang diterimanya melalui proses sosiolisasi.
Kamus Dewan Edisi Keempat, pula mendefinisikan nilai sebagai taksiran harga, harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian dan darjat, kualiti, mutu dan taraf. Maksud ini jelas mengambarkan nialai adalah ukuran kepada sesuatu seperti sifat keperibadian yang ada pada individu.
Budaya pula secara umumnya difahami sebagai keseluruhan gaya hidup anggota masyarakat yang meliputi berbagai-bagai aspek kehidupan seperti peralatan, teknologi, pemikiran, nilai, pandangan dunia dan sebagainya. Setiap masyarakat mempunyai budayanya dan budaya itu mengambarkan identiti masyarakat tersebut. Budaya atau kebudayaan berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang bermaksud budi pekerti atau akal.

Menurut Kamus Dewan Edisi keempat budaya dapat ditakrifkan sebagai tingkah laku yang diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa. Budaya adalah elemen yang membezakan manusia dengan hidupan yang lain. Istilah budaya banyak digunakan dalam bidang antropologi. Dalam disiplin ini, tiada perbezaan maksud di antara perkataan ‘budaya’ dengan ‘kebudayaan’.

Budaya adalah daripada perkataan sangskrit iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya, ia membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan.

Budaya mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini dikenal dalam kalangan ahli antropologi sebagai fahaman determism atau penentuan budaya. Di samping itu, budaya juga adalah sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya dan konsep ini sebagai organik lampau.

Sementara itu, budaya turut merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Daripada kesemua pengertian ini, budaya boleh disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok.

Definisi pandangan hidup pula menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014), secara umumnya, pandangan hidup merupakan satu konsep mengenai alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, aspek ini bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Pandangan hidup merupakan pendapat atau pertimbangan yang dijadikan pegangan, petunjuk dan pedoman hidup di dunia. Pendapat atau pertimbangan ini wujud hasil daripada pemikiran manusia berdasarkan pengalaman sejarah menurut waktu dan tempat hidupnya (Ahmad Jenali, 2008). Menurut Mohd Rashid Md Idris et.al (2014), hampir 800 tahun Hindu- Buddha telah mempengaruhi minda orang Melayu dan dalam tempoh tersebut orang Melayu dibelenggu oleh corak berfikir yang bersifat khayalan dan mitos. Walau bagaimanapun, setelah Islam tersebar di Nusantara, barulah berlaku transformasi yang melibatkan perubahan falsafah hidup, pemikiran dan jiwa orang-orang Melayu.

5.1 Nilai Budaya
          i.            Sebuah masyarakat yang memperjuangkan tanah air.
Sikap memperjuangkan tanah air bermaksud semangat cinta akan tanah air dan sentiasa bersedia berkorban demi tanah air tercinta. Sikap ini penting untuk disemaikan dalam diri masyarakat supaya keamanan dan kesejahteraan negara dapat dijaga dengan sebaik mungkin. Masyarakat dalam novel sandera juga merupakan sebuah masyarakat yang berjiwa patriotik kerana sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan negara dari ancaman musuh. Contoh pernyataan dalam novel Sandera yang membuktikan bahawa masyarakat tersebut memperjuangkan tanah air ialah :

Busad menggabungkan diri ke dalam GAPI dan mulai mengadakan penentangan tajam dengan golongan yang lebih tua, yang dituduhnya menyeleweng, pelopor kurang tegas dan tindakannya yang ekstrem, terlalu dekat kepada rakyat di pedalaman mempelopori penentangan cukai tanah, menyebabkan pemerintah menangkapnya.
(Sandera, 2003:3)

Selain itu, adat meminang juga terdapat di dalam novel Sandera. Adat istiadat meminang dalam masyarakat bukan sahaja dituntut dalam agama bahkan sudah menjadi adat dalam sesebuah masyarakat. Ia merupakan permulaan istiadat di mana pihak lelaki menghantar seorang wakil ke rumah pihak perempuan untuk dipinang. Upacara ini dilakukan untuk melahirkan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Amalan ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat mengenai diri perempuan yang hendak dipinang. Setelah tiba masa yang sesuai, seorang wakil daripada pihak lelaki akan berterus terang untuk menyampaikan hajat mereka yang sebenarnya.



        ii.            Masyarakat dalam karya Sandera mengamalkan adat meminang ialah:
Kebiasaannya, adat meminang disertakan dengan sirih dan pinang. Sirih dan pinang adalah sebagai pembuka kata dan peralatan seni budaya. Sirih juga adalah aspek penting yang diangkat sebagai simbol adat bukan sahaja untuk dimakan malah dihias dengan cantik, disusun dalam bekas, disertakan dengan haruman dan ditutupi dengan kain sulaman. Rombongan yang menghantar daun sirih juga adalah lambang penyampaian hasrat dan pembuka kata. Kesimpulannya, sememangnya masyarakat dalam novel Sandera mengamalkan adat meminang dalam kehidupan mereka. Contoh ayat yang membuktikan bahawa masyarakat dalam karya Sandera mengamalkan adat meminang ialah:

“Aku anak dara. Menurut adat, kalau ada pemuda yang mahu kahwin dengan aku, dia mesti pergi meminang aku pada orang tuaku. Dia mesti bayar mas kahwin. Dia mesti bawa wang belanja kahwin. Tapi aku tidak mahu itu, dan tidak akan cara itu,” kata Sapiah berapi-rapi.
(Sandera, 2003:213)

      iii.            Masyarakat yang baik hati
Sikap baik hati yang dimaksudkan dalam karya sandera ini ialah masyarakatnya saling tolong menolong antara satu sama lain apabila berlaku sebarang permasalahan. Dalam karya Sandera, nelayan menolong Busad dan Jubir dengan menaiki perahunya selepas kapal yang dinaiki oleh Busad dan Jubir mengalami kebakaran di tengah-tengah laut. Nelayan-nelayan sengaja menghampiri kapal yang terbakar untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terjun ke dalam laut. Oleh sebab itulah, dikatakan bahawa dalam karya Sandera terdapat masyarakat yang baik hati. Contoh monolog yang terdapat dalam karya Sandera yang membuktikan bahawa masyarakat tersebut sangat baik hati ialah:

“Tepat sekali , dan terima kasih, saudara-saudara. Tapi bagaimana dengan mandur dan orang-orangnya? Cukupkah perahu-perahu yang datang merapat?”
                                                                                                (Sandera, 2003:21)



      iv.            Masyarakat yang memiliki sikap sabar.
 Sikap sabar dapat didefinisikan sebagai kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila berlaku sesuatu permasalahan. Sememangnya masyarakat dalam Novel memiliki sikap sabar. Hal ini demikian dapat dibuktikan apabila Jubir masih mampu bertahan di dalam penjara meskipun dia boleh dibebaskan dengan dengan hanya menandatangani surat daripada pihak Belanda. Namun, dia tetap dengan pendiriannya dengan enggan menandatangani surat tersebut dan memilih untuk dikurung dalam penjara walaupun dia dibenarkan untuk membuat pilihan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Jubir amat bersabar dengan dugaan yang menimpanya dan tidak mengambil tindakan yang melulu yang boleh memudaratkan diri dan tanah airnya sendiri. Contoh monolog yang berlaku antara Busad dengan Jubir yang membuktikan Jubir seorang yang penyabar ialah:

“Busad…,” Jubir mengejutkannya dengan kasar. “Bagaimanapun juga, kau jangan putus asa. Lihat aku, aku terima nasib yang ku terima ini penuh kesabaran.”
(Sandera, 2003:1)

        v.            Masyarakat yang mempunyai sifat keberanian
 Dalam karya Sandera, masyarakatnya amat berani mempertahankan tanah air dari cengakaman penjajah iaitu Belanda. Hal ini dapat dibuktikan apabila Jubir sanggup berperang untuk membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman Belanda. Selain itu, Busad dan Jubir juga berani menentang Belanda berikutan dengan sistem kutipan cukai yang dikenakan oleh Belanda. Contoh perbualan Jubir yang membuktikan belaiu seorang yang berani ialah:

“Nah, perang besar, dan dari perang besar ini kita akan bebas, dan dari perang besar ini kita akan bekerja kuat, kita akan merdeka, lebih cepat daripada apa yang kita duga!”
(Sandera 2003:7)
  

      vi.            Masyarakat yang mengamalkan budaya ziarah-menziarahi antara satu sama lain.
Dalam karya Sandera, Busad telah pergi ke Johor untuk menziarahi keluarga Mahmud. Hal ini demikian jelas menunjukkan bahawa masyarakat dalam karya Sandera sememangnya mengamalkan budaya ziarah-menziarahi antara satu sama lain. Contoh penyataan yang terdapat dalam karya sandera yang membuktikan bahawa masyarakat mengamalkan budaya ziarah-menziarahi ialah:

Waktu itu Busad datang ke Johor, dan menziarahi keluarga Mahmud ini. Mahmud mengatakan Matali ada datang menghadiri Kongres Melayu Bersatu di Johor Bahru. Busad meminta supaya Matali dibawa datang ke rumah Mahmud.

                                                                                                (Sandera, 2003:285)

5.2 Pandangan Hidup

          i.            Masyarakat yang perlu berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan.
Dalam siri novel Sandera, penulis menyampaikan kisah tentang perjuangan masyarakat dalam menentang penjajah

“Dahulu, Busad anak periang, peramah dan manja kepada ibunya. Dan tiada siapa yang menduga, bahawa kelak, setelah lulus AMS di Jawa, dia akan melibatkan diri ke dalam PNI Hatta-Shahrir.
Kemudian kembali ke Makassar, menjadi lunak dan kian berhati-hati. Kerja jadi Land-Assistant. Tetapi hanya enam bulan, kerana terbentuknya GAPI, dan mulai mengadakan pertentangan-pertentangan tajam dengan golongan yang lebih tua, yang dituduhnya menyeleweng, pelopor kurang tegas, dan tindakannya yang ekstrem; terlalu dekat kepada rakyat di pedalaman mempelopori pertentangan cukai tanah, menyebabkan pemerintahan menangkapnya.
“Tetapi jangan penolakan itu, bererti kau hanya akan didatangi surat perintah; berangkat ke Tanah Merah,” kata Jubir dan menjeling kepada Busad.”
(Sandera, 2003:4)

Petikan tersebut menyatakan bahawa Busad ditangkap kerana pelbagai tuduhan yang kepadanya sewaktu mahu memperjuangkan hak rakyat jelata. Namun semua itu tidak mematahkan semangat Busad untuk terus berjuang.

“Tapi aku ini hairan sungguh-sungguh, mengapa begitu mustahak perjuangan itu?” Jusuh mengemukakan pertanyaan yang tidak difahaminya secara menyeluruh ini, dan merenung muka Busad tepat-tepat.
“Benar-benar aku hairan. Kenapa berjuang sampai sanggup berbuat begitu?”
“Memang tanah air amat besar tagihannya kepada setiap orang. Tapi tidak setiap orang yang sanggup membayarnya dengan tunai. Cinta kepada keluarga, cinta kepada diri sendiri, terlalu kuat dalam dada mereka dan ini menyebabkan mereka takut. Mereka lupa, bahawa cinta keluarga bagi turunan yang akan datang, cinta kepada diri sendiri bagi turunan yang akan datang juga, akan lebih rapuh kalau tagihan tanah tersayang itu tidak dilaksanakan.” Busad bercakap tenang tetapi bersemangat.
(Sandera, 2003:91)
Petikan pada muka surat ini memperlihatkan semangat Busad menjawab persoalan Jusuh tentang mustahaknya memperjuangkan tanah air. Hal ini menunjukkan bahawa niat Busad yang bersungguh-sungguh untuk tanah air membuatkan Jusuh tertanya-tanya mengapa Busad begitu mahu mempertahankan tanah air yang tidak dapat memberi keuntungan kepada mereka tetapi hanya pada generasi akan datang.

Dalam novel ini, dapat dilihat masyarakat yang sanggup berkorban demi mencapai kemerdekaan melalui watak Busad. Busad merupakan watak utama dalam karya ini telah ditangkap, dipenjara dan merupakan salah seorang tahanan yang akan dihantar ke Tanah Merah iaitu sebuah tempat untuk orang-orang buangan. Hal ini demikian kerana, Busad merupakan salah seorang pemuda yang aktif dalam pertubuhan yang menentang penjajah iaitu Inggeris. Selain itu, ketika peristiwa kejatuhan kuasa Inggeris di Tanah Melayu dan permulaan kemasukan Jepun, ramai ahli Melayu Muda yang aktif dan merupakan orang yang hebat telah ditangkap. Keadaan ini telah mewujudkan suasana yang getir akibat penangkapan yang dilakukan kerana akan menjejaskan gerak kerja mereka. Melihat situasi tersebut, Busad  meninggalkan isteri dan keluarga di Terengganu selama dua tahun untuk memastikan gerakan menjatuhkan Inggeris berjalan seperti yang dirancang dan akhirnya perkahwinan Busad berakhir dengan perceraian. Jelas menunjukkan bahawa perjuangan dalam menuntut kemerdekaan memerlukan pengorbanan baik dari segi nyawa, keluarga, masa dan juga tenaga.




          ii            Keberanian
Keberanian merupakan aspek yang penting yang perlu ada dalam diri masyarakat bagi menggapai cita-cita. Hal ini demikian kerana, dalam perjuangan menuntut kemerdekaan pelbagai cabaran seperti tekanan pihak Inggeris, penipuan, penganiayaan dan sebagainya, justeru keberanian merupakan benteng untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Aspek keberanian ini telah ditonjolkan dalam watak Sariyah dan juga Busad. Sebagai contoh, Sariyah merupakan wanita yang berani dalam menentang pihak Inggeris bukan sahaja dapat dilihat daripada aspek pertuturan dan tingkah laku. Sariyah merupakan seorang wanita yang mempunyai pengaruh yang besar dalam penentangan terhadap penjajah dan ketika peristiwa penangkapannya, Sariyah tidak gentar ketika berhadapan dengan serdadu-serdadu Inggeris.

“Hai hantu-hantu botak...tidak cukupkah dengan membawa serdadu-serdadu untuk menangkap aku, aku seorang perempuan, kau rampas pula hartaku dan membelenggu aku begini? Aku bukan kriminal, aku bukan pembunuh dan aku bukan pencuri.”
“ Buat apa engkau daripada pihak berkuasa tidak berkata terus tentang anakku. Kalau memang pemerintah tidak menemukannya, mengapa pemerintah malu-malu mengakui perbuatan dan kelemahan diri. Nah, setan-setan yang tak cukup nafas, terangkan kepadaku”.
                                                                                              (Sandera, 2003:26)

Dalam peristiwa tersebut, Sariyah dengan berani telah menuntut penjelasan daripada Inggeris mengenai anaknya iaitu Busad yang dijangka oleh Sariyah dan penduduk sekeliling telah mati dalam peristiwa kebakaran kapal yang membawa tahanan ke Tanah Merah. Di samping itu, Sariyah juga berani mempertahankan diri daripada tuduhan yang dilemparkan oleh penjajah yang menyatakan dia telah menghasut penduduk di pedalaman agar tidak membayar cukai. Keadaan ini menunjukkan sikap masyarakat yang perlu menanam sikap keberanian dalam pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi bagi mendapatkan kemerdekaan.




        iii            Sikap kerjasama atau muafakat perlu dipasakkan dalam jiwa masyarakat dalam penentangan terhadap penjajah.
Sikap kerjasama penting kerana aspek ini akan menentukan keberhasilan gerakan dan usaha yang dilakukan untuk menyingkirkan penjajah di nusantara. Sesebuah masyarakat akan menjadi utuh dan kuat sekiranya ada sikap kerjasama dan bersatu padu jika dibandingkan dengan masyarakat yang mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Dalam karya ini, sikap muafakat telah dapat dilihat ketika Inggeris gagal mempertahankan kuasa mereka di Tanah Melayu yang juga menjadi detik kemasukan pihak Jepun. Dalam peristiwa tersebut, Melayu muda telah mengarahkan ahli-ahlinya untuk menjalankan tugas di seluruh Tanah Melayu dan juga Singapura. Ketika itu, ramai ahli-ahli Melayu Muda yang telah ditangkap oleh Inggeris yang bekerjasama dengan Jepun untuk menjatuhkan pemerintahan Inggeris termasuk ahli-ahli yang terpengaruh.

Rentetan daripada peristiwa tersebut, mereka yang belum ditangkap oleh Inggeris seperti Busad, Mahmud Ghani dan Andang telah merancang untuk memastikan agar ahli Melayu Muda tidak terus ditangkap oleh pihak Inggeris yang akhirnya menjejaskan gerakan penentangan mereka. Sebagai contoh, Busad dan Andang telah menjalankan tugas mereka di Singapura, Ghani telah diarahkan ke Melaka manakala Mahmud ke Johor Bharu.

“Sebelum Karim datang, Mahmud dan Andang sudah menentukan rancangan kerja mereka. Pertama, berita penangkapan ini mesti disebarkan kepada orang-orang Melayu Muda...Mahmud sendiri akan bekerja untuk Johor dan Melaka. Andang untuk Singapura”.
                                                                                                             (Sandera, 2003:105)

      iiii            Saling hormat-menghormati sesama ahli keluarga, rakan dan masyarakat
Dalam novel Sandera ini, sikap hormat-menghormati ini sangat kuat dipegang oleh watak ayah Kalsom. Apabila ada tetamu datang ke rumah mereka, ayah Kalsom mengarahkan Kalsom untuk menyediakan apa yang diperlukan dengan sebaiknya untuk tetamu mereka tersebut sehinggakan Kalsom tertanya-tanya siapa yang akan datang bertandang ke rumah mereka.

Kemudian Jusuh pulang ke rumah bersama hatinya yang riang dan ceria, dan berkata kepada Kalsom, “Som… baik kau sedia makanan yang baik.” Waktu itu Jusuh memandang tepat muka Kalsom yang berpipi ranum itu. “Barangkali kita akan didatangi tamu dari jauh.”
“Tamu dari jauh?”
Kalsom berkata seakan kepada diri sendiri, tidak mengerti apa tetapi asa sesuatu yang menggetar dalam hatinya. Dia melihat ayahnya begitu ceria membawa khabar yang aneh itu.
“Ya, tamu dari jauh. Sediakan makanan yang baik-baik dan tempat tidur juga. Barangkali kalau tidak ada hotel, dia akan tidur di rumah ini.”
Hati Kalsom berdebar, dan kurang senang. Perkataan tidur di hotel mengandung bau yang tidak lazim baginya dan terasa hina. Perkataan hotel – bagi anak-anak gadis Terengganu yang terdidik dengan kaji Qurn, membawa seribu janji yang separuh buruk.
“Kalau dia datang, belikan di Pasar Tanjung saja,” kata Kalsom.
“belikan di pasar Tanjung?” soal Jusuh, matanya terbeliak, matanya terbeliak. “makanan macam apa di sana? Keropok mentah yang hanyir itu? Katamu? Tidak,kau tidak malu? Mesti buatkan kuih-kuih basah. Buatkan nasi dagang sarapan pagi. Lauknya ikan raya (tongkol). Dan tempat tidur pasang pasangkan katil yang ayah buatkan yang belum engkau pakai itu. Letakkan tilam baru itu juga yang kau sulam, dan bantal baru juga,” Jusuh terus-menerus memandang muka anaknya yang sudah berubah kesal dan merah padam itu.
“Ini tamu dari jauh. Orang saudagar, kau tau? Barang kali dia pun ada sekolah dan pandai mengaji,”
(Sandera, 2003:77)


      iiv            Meletakkan nilai-nilai agama sebagai keutamaan dalam hidup sebagai pegangan hidup
Bagi novel Melayu Sandera ini, nilai-nilai agama diletakkan sebagai keutamaan meskipun dalam memperjuangkan dan berkorban untuk tanah air. Hal ini dapat dilihat melalui petikan seperti berikut yang menyatakan bahawa perjuangan untuk tanah air sebagai fardhu ain;

“Kenapa begitu sekali, Sad? Kenapa begitu sekali? Ayahmu membuang diri, kerana perjuangan. Engkau tercampak ke Singapura,” Jusuh terhenti, dia mengingat-ingat akan merancang perjalanan suatu hari nanti, akan membawa Busad ke Kemaman, ke Dungun, ke Marang, ke Besut, untuk mempertemukan dengan keluarganya. “Eh … kenapa sampai ibumu pun menggadaikan dirinya kepada perjuangan itu, setelah dengan rela hati menjual putera tunggalnya kepada perjuangan itu juga?”
“Memang begitulah. Tidak ada pilihan lain,” kata Busad dan memandang kepada Kalsom dengan tenang. “Perjuangan untuk tanah air bukan fardhu kifayah, tapi fardhu ain. Mesti dibuat oleh semua orang.”
(Sandera, 2003:95)


6.0     Kepengarangan dan Estetika

Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2004), kepengarangan merupakan aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang iaitu kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Bagi menghasilkan teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing, pengarang haruslah mempunyai prinsip keperibadian yang tersendiri. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris (2016), mentakrifkan kepengarangan sebagai satu mekanisme dan kaedah pengarang berkarya sehingga membentuk kekuatan dan jati diri seseorang pengarang itu. Kepengarangan terbina daripada aspek pengolahan iaitu pengarang berusaha mencipta teks yang mempunyai pembaharuan atau melanggar apa yang telah sedia ada. Seterusnya, pengarang beristiqamah dengan penciptaannya sehingga memiliki kepengarangannya sendiri (Mana Sikana, 2004 dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris, 2016).

Teknik kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang itu sendiri. Keperibadian merupakan kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Prinsip keperibadian merupakan klimaks dalam perjuangan seorang pengarang, ia harus berusaha untuk membina teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing. Seseorang pengarang biasanya akan berhadapan dengan beberapa tahap penulisan. Seorang pengarang perlu mempunyai pengalaman yang artistik dan berharga kerana ia akan mempengaruhi daya kretivitinya. Pengalaman diperoleh melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan, pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuk yang bersifat konseptual dan kontekstual. Pengarang akan melakukan pembetulan demi pembetulan, pengejapan demi pengejapan terhadap teks yang diusahakan. Keadaan ini akan dapat menghasilkan proses pembinaan teks yang unggul (Mana Sikana, 2006).

Novel Sandera dikarang oleh seorang yang pintar dan bijak dalam ilmu mengarang iaitu Sasterawan Negara Arena Wati atau nama sebenarnya Dr. Muhammad Dahlan bin Abdul Biang. Novel ini telah memenangi tempat ketiga dalam peraduan mengarang novel sempena 10 tahun merdeka 1967. Novel ini juga telah dijadikan buku teks STPM dari tahun 1977 hingga 1989. Sebagai pengarang yang besar, Arena Wati telah melakar tentang perjuangan membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.

Hal utama yang menjadi nadi kepada kejayaan novel Sandera ini ialah novel ini berunsurkan patriotik iaitu semangat cintakan tanah air. Novel ini berkisar tentang kebangkitan rakyat di nusantara menetang penjajahan dari pihak luar. Kandungan novel ini mengandungi panduan dan nasihat kepada mereka yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu. Novel ini dicetak pada tahun 1971, namun di atas permintaan ramai, buku ini telah dicetak semula pada tahun 1986.

Estetik pula berhubungkait dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Ia membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya. Sementara kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Biasanya kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang. Pendekatan estetik ialah yang menilai teks sastera dengan merujuk kepada aspek keindahan dan kekuatannya. Estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran, (Mana Sikana, 2006).

Dapat ditegaskan keindahan ialah daya tarikan dan kepuasan dalam penikmatan karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis yang memiliki perasaan, pemikiran dan sebagainya. Setiap komposisi karya memiliki keindahannya yang tersendiri. Dan khalayak akan membina pula sikap estetikanya bagi menerima teks-teks tersebut. Keindahan yang lebih agung lagi ialah yang membawa manusia mencapai kebaikan, mengagungkan Allah Azza Wajalla. Keindahan pengalaman bergantung kepada keunikan pengalaman, pengalaman itu luar biasa dan belum pernah dialaminya, menarik dan memberi kepuasan. Membaca adalah proses penambahan pengalaman. Pengalaman keindahan ialah apabila kita merasa kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan atau memeranjatkan. Seandainya pengalaman yang diberikan pengarang itu istimewa, maka pembacaan kita akan merasakan kenikmatan keseronokannya. Sebuah karya yang baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya.

6.1  Kepengarangan dalam novel Sandera
Terdapat beberapa unsur kepengarangan yang telah ditonjolkan oleh pengarang kepada pembaca. Antaranya ialah penggunaan bahasa puitis dan gramatis, penggunaan unsur dialog, penggunaan monolog dan penggunaan teknik imbas kembali.

          i.            Penggunaan bahasa puitis dan gramatis

Novel ini telah dikarang dengan struktur pengkaryaannya yang tersendiri. Ia mempunyai kekuatan dari segi struktur ditambah lagi dengan bahasanya yang tersendiri. Pengarang telah menggunakan bahasa yang puitis dan gramatis dalam setiap bahagian novel ini untuk menarik minat pembaca. Ini dapat dibuktikan melalui petikan dibawah:

“Angin barat laut membawa janji yang selalu bohong. Awan hitam yang datang dengan anginnya, disambut harapan semoga panas yang membakardikurangi dengan hujan selingan.”
(Sandera, 2003: 30)

“Dan mukjizat yang mempersona itu ditambah dengan rezeki yang menggelindang dan berbondong dalam kandang pukat, dan menggetarkan tangan yang memegang tali bira. “
                                                                                                           (Sandera, 2003: 34)

“Bunga-bunga kemakmuran sudah mulai kelihatan janjinya yang semerbak
“wangi
                                                                                                             (Sandera, 2003:184)

“Muzik-muzik gembira dari lagu-lagu mengapung di udara dan memantak ke dalam  telinga.”
(Sandera, 2003:384)


        ii.            Penggunaan Unsur Dialog

Dalam novel ini, terdapat banyak unsur dialog yang dapat dikenalpasti daripada setiap bahagian novel ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Dialog merupakan kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak drama atau fiksyen. Dialog merupakan komunikasi interaksi dua hala antara dua orang atau lebih. Pengarang Arena Wati telah menggunakan banyak unsur dialog dalam mnghasilkan novel Sandera. Antaranya contoh dialog yang terdapat dalam novel ini ialah:

“Tidak, saya lebih senang di perahu”, kata Romo
“Besok takada masa berbelanja. Kita ke darat sekarang, barangkali kau perlukan pakaian dalam pelayar” jelas nakhoda.
                                                                                                            (Sandera,2003:46)

“Eh, Hamzah, bagaimana parti kau Melayu Bersatu itu, agak-agak dapat lawan    orang           putih?” Cikgu Karim memancing Hamzah.
“Mana saya tahu. Saya ikut sahaja. Yang tahu tanya Encik Mahmud. Dia tu ketua sekarang, tapi tak mahu terang-terang sangat. Dia sogok ke depan setiausaha   sahaja”.
(Sandera,2003:201)

“Kita main sampan,” Zaleha memecahkan kesunyian mereka.
“Pergilah.” Sahut Mahadi acuh tidak acuh”
“Takkan saya seorang,” suara Zaleha merajuk dalam bunyi rengek.
(Sandera,2003:385)



      iii.            Penggunaan Monolog

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, monolog merupakan percakapan yang agak panjang oleh seseorang dalam sesebuah karya. Percakapan yang panjang lebar oleh seseorang penutur sahaja dan biasanya monolog digunakan untuk menafikan kesempatan orang lain untuk becakap. Monolog merupakan perbualan atau dialog secara sendirian. Teknik monolog juga telah digunakan oleh pengarang dalam penghasilan novel ini.

‘aku sudah berbuat sebaik-baiknya untuk Mahadi’, fikir Mahmud.
(Sandera,2003:222)

‘Dimanakah mereka sekarang?’ Midah mengeluh sendirian dan bangkit dari amben dapur.
  
(Sandera,2003:311)


      iv.            Penggunaan Teknik Imbas Kembali

Teknik imbas kembali digunakan juga oleh pengarang dalam menghasilkan karya ini. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya. Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman. Teknik imbas kembali dapat dilihat dalam Novel Sandera ini yang menjadi tunggak kejayaan bagi seorang pengarang.

Dalam lamunan yang memanjang ini, Busad kemudiannya dapat membuka kenangan panjang kepada ibunya, ibunyalah yang terlalu banyak berkorban untuknya.
(Sandera,2003:7)


6.2        Nilai Estetika dalam Novel Sandera

Dalam penulisan sesebuah karya, kebijaksanaan penulis dapat dilihat menerusi karya yang dihasilkan. Estetika dalam sesebuah karya agung Melayu dapat dinilai oleh pembaca sama ada dari aspek gaya penulisannya yang mampu menarik minat pembaca untuk meneruskan bacaan karya tersebut serta menjadikan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca dengan cara yang cukup berkesan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), estetika membawa definisi cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Estetika ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran (Dr. Hj. Mohd Rashid Hj. Md Idris, Prof. Madya Dr. Abd. Rahman Napiah & Dr. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, 2014). Keagungan karya-karya Melayu terserlah melalui kepintaran dan kehebatan penulisnya dalam mengolah dan menulis butir-butir ceritera di dalam karyanya.

Setiap karya memiliki sudut keindahannya yang tersendiri daripada karya-karya lain. Dalam karya Sandera ini, estetika dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu estetika luaran dan estetika dalam. Apakah yang dikatakan dengan estetika luaran? Luaran di sini bermaksud keindahan yang terdapat pada struktur penulisan karya itu sendiri. Dalam karya Sandera, pemilihan tajuk itu sendiri mempunyai estetika yang tinggi kerana tajuk itu sendiri iaitu Sandera merupakan perkataan dari Indonesia yang membawa maksud tawanan atau orang ditawan dalam bahasa Melayu. Dapat dijelaskan di sini bahawasanya Sandera ini memiliki maksud yang mendalam berdasarkan tajuk Sandera itu sendiri dan pemilihan tajuk dalam bahasa Indonesia pada tajuk karya ini menunjukkan estetika dua budaya negara iaitu Indonesia dan Malaysia merupakan di bawah rumpun yang sama dan memiliki budaya, adat dan pemikiran yang sama sejak dahulu lagi.

Selain itu, pemilihan tema atau pemikiran yang terkandung dalam karya ini iaitu berkaitan perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan daripada penjajah merupakan mesej yang sangat dekat dengan pembaca kerana negara kita pernah dijajah suatu ketika dahulu. Oleh yang demikan, sangat wajarlah pemilihan tema yang sebegini kerana penulisan dan penghasilan karya ini merupakan satu wadah bagi membolehkan rakyat khususnya pembaca untuk menghayati dan mengenang jasa-jasa pejuang tanah air yang rela berkorban untuk memerdekakan tanah air kita tidak kira di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Dalam karya agung Sandera, terdapat banyak nilai estetika yang diperoleh terutama daripada hasil penulisan sejarawan negara Arena Wati ini yang memiliki pelbagai gaya bahasa iaitu dari aspek gaya bahasa onomatopia, anafora, hiperbola, metafora, personifikasi, simile, sinkope, disfemisme, pengaruh bahasa asing yang terdiri daripada bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Arab dan bahasa Jepun dan juga simpulan bahasa.

          i.            Onomatopia
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), onomatopeia atau onomatopia bermaksud pembentukan kata yang bunyinya ditiru daripada bunyi alamiah. Secara khususnya, onomatopia ini merupakan pembentukan kata yang meniru bunyi asal sesuatu atau perbuatan. Dalam novel Sandera, onomatopia dapat dilihat penggunaanya pada halaman 121 iaitu:

Puuuuuiiiii...,” Sariyah meludah dan mengejek tajam.
                                                                        `                                   (Sandera,2003 :121)

Dalam ayat di atas, perkataan puuuuuiiiii itu menunjukkan atau melambangkan perbuatan Sariyah yang meludah serta mengejek pihak Belanda. Selain itu, contoh onomatopia dapat dilihat pada halaman 250 iaitu:

Sysy..., jangan membual, malam hari suara jauh bunyinya, tidak takutkah?” soal Sapiah memperingatkan.
                                                                                                            (Sandera,2003:250)

Contoh lain bagi gaya bahasa onomatopia ialah pada halaman 309 iaitu:
Auuwww...tolong,” pekik gadis itu.
                                                                                                            (Sandera,2003:309)
        ii.            Anafora
Anafora bermaksud pengulangan perkataan yang sama pada awal ayat. Dalam karya Sandera, penggunaan anafora dapat dilihat dengan jelas pada halaman 10 iaitu:

Selamat tinggal
Selamat tinggal Losariku yang indah
Selamat tinggal riak pantai dan angin lautku,
Selamat tinggal warna senja yang mempesona
Selamat tinggal pulau-pulauku.

                                                                                                            (Sandera,2003:10)

Dalam contoh di atas, pengulangan penggunaan perkataan Selamat tinggal dapat dilihat pada setiap permulaan baris.

      iii.            Hiperbola

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), hiperbola membawa erti ungkapan kiasan yang berlebih-lebihan atau dibesar-besarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak bertujuan ditafsirkan secara harfiah. Dalam novel Sandera, penulis telah memasukkan gaya bahasa hiperbola ini dalam penulisannya bagi mencantikkan dan menarik minat pembaca untuk membaca karyanya. Contohnya:

“Gegak gempita guntur yang membelasah angkasa terdengar olehnya ketika dia tiba ke dalam selnya.”
                                                                                                             (Sandera,2003:62)

Dalam contoh di atas, penggunaan teknik hiperbola dapat dilihat pada ayat Gegak gempita guntur yang membelasah angkasa. Penggunaan perkataan yang      melampau-lampau atau berlebih-lebih dalam konteks ayat ini menunjukkan ayat tersebut merupakan gaya bahasa hiperbola.

      iv.            Metafora
Gaya bahasa metafora merupakan gaya bahasa yang membawa makna yang berlainan daripada perkataan asalnya yang digunakan untuk perbandingan atau kiasan tanpa menggunakan perkataan yang menunjukkan perbandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai dan laksana. Kebiasaannya gaya bahasa metafora ini terdiri daripada perkataan yang abstrak dan perkataan yang logik atau konkrit. Dalam novel Sandera ini, terdapat beberapa contoh ayat yang menggunakan gaya bahasa metafora iaitu:

“Busad senyum dan merasa tenggelam dalam lautan berahi ketika melihat isterinya dalam wajah pagi yang natural, dibungkus pakaian warna biru laut bersulam broket bentuk bunga mawar warna merah jambu.”
                                                                                                            (Sandera,2003:333)

“Laut harapan kian surut.”
                                                                                                (Sandera,2003:371)

“Gelombang-gelombang itu menyebabkan daun teratai bergerak dan bunganya yang putih kapas dan tampang serbuk benihnya yang kuning pinang itu    terletak di tengah-tengah kepungan helai daun bunga bergegar dan serbuknya gugur sedikit demi sedikit.”
                                                                                                (Sandera,2003:384)

        v.            Personifikasi
Personifikasi merupakan gaya bahasa yang memasukkan sifat atau perbuatan yang dilakukan oleh manusia ke dalam benda bukan hidup, keadaan atau suasana. Contoh yang terdapat dalam novel Sandera ialah:

“Ombak mendepak menepuk lambung kapal di permukaan laut menemani keterangan komandan polis itu...”
                                                                                                            (Sandera,2003:12)

“Senja menyeret matahari yang bulat dn berwarna merah menjunam ke kaki langit dan perlahan-lahan terbenam ke dasar laut.”
                                                                                                            (Sandera,2003:14)

Busad membantu menarik tali bubutan dan merasa tangannya panas perit digigit tali.

                                                                                                            (Sandera,2003:39)
           
      vi.            Simile
Gaya bahasa simile merupakan gaya bahasa yang membandingkan sesuatu menggunakan bak, bagai, seperti, umpama dan laksana. Terdapat banyak contoh yang terdapat dalam novel Sandera yang mempunyai unsur gaya bahasa simile seperti:

“Kapal-kapal di pangkalan, perahu-perahu layar berlabuh di balik Pulau Laelae dan layar perahu nelayan seperti sayap sekawan burung laut.”
                                                                                                            (Sandera,2003:9)


“Di beranda, Jusuh masih terpukau seperti ayam kalah sabung.”
                                                                                                 (Sandera,2003:37)

“Orang-orang yang sudah bersampan-sampan dari tadi, mukanya merah  seperti udang dibakar.”
                                                                                                (Sandera,2003:390)

    vii.            Sinkope
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), sinkope bermaksud pemendekkan sesuatu kata dengan menggugurkan satu atau lebih huruf atau suku kata dari tengah-tengah kata itu. Contoh yang terdapat dalam novel Sandera ialah:

“Jangan, nak,” lama kemudian baru wanita itu dapat menguasai dirinya...
                                                                                                            (Sandera,2003:15)

Dalam ayat di atas, perkataan nak merupakan singkatan bagi perkataan anak.

Bu...,’hanya itu, suaranya terpandang sedu yang mendalam .
                                                                                                            (Sandera,2003:15)
Dalam ayat di atas, perkataan bu merupakan sinkope bagi perkataan ibu.

  viii.            Disfemisme
Disfemisme pula membawa maksud yang bertentangan dengan eufemisme iaitu ungkapan kasar bagi menggantikan ungkapan halus dalam pengkaryaan. Sebagai contoh, perkataan mati digunakan dalam karya Sandera ini bagi menggantikan perkataan meninggal dunia iaitu pada halaman 298. Selain itu, contoh penggunaan gaya bahasa disfemisme dapat dilihat pada halaman 69 iaitu:
                       
“Kau setan betina tua,” Jusuh tegak dari duduknya.
                                                                                                            (Sandera,2003:69)

Perkataan yang mempunyai unsur disfemisme ialah setan betina tua  yang    merujuk kepada perempuan jahat atau perempuan yang tidak baik.

      ix.            Penggunaan bahasa asing

Dalam novel Sandera, terdapat juga unsur bahasa asing yang digunakan iaitu bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Arab dan juga bahasa Jepun. Penggunakan pelbagai unsur bahasa asing ini menunjukkan penulis mempunyai ilmu yang tinggi  dalam pelbagai bahasa.

i)                     Bahasa Inggeris

Dalam karya Sandera, terdapat banyak penggunaan bahasa Inggeris yang dikarang oleh penulis. Sebagai contoh perkataan instinct pada halaman 366 yang membawa makna rasa hati dalam bahasa Melayu.

ii)                  Bahasa Indonesia

Disebabkan penulis berasal dari Makasar, Indonesia, tidak menjadi sesuatu       yang luar biasa jika penulis menggunakan bahasa ibunda beliau. Sebagai contoh, pada halaman 50 iaitu:

Serdadu juga? Nanti kau bunuh ayahmu sendiri? Jadi marsose juga? Kau akan bedil bibimu, kau akan bunuh aku dan semua keluargamu?”
                                                                               (Sandera,2003:50)

Perkataan serdadu, marsose dan bibi merupakan perkataan bahasa Indonesia. Serdadu membawa makna askar dalam bahasa Melayu, marsose merupakan satu angkatan bersenjata yang ditubuhkan ketika Hindia Belanda iaitu semasa Belanda menjajah Indonesia dan bibi membawa erti ibu saudara.

iii)                Bahasa Arab

Dalam novel ini juga, penulis menggunakan bahasa Arab bagi menggambarkan unsur agama Islam dalam penulisan novel ini. Sebagai contoh perkataan subhanallah pada halaman 135 dan perkataan bismillah pada halaman 251.

iv)                Bahasa Jepun

Penulis juga menggunakan unsur bahasa Jepun iaitu ketika penulis   menceritakan peristiwa Jepun menjajah Tanah Melayu dalam novel ini. Perkataan bagero digunakan pada halaman 133 yang membawa makna bodoh.

        x.            Simpulan Bahasa

Penulis turut menggunakan simpulan bahasa dalam penghasilan karya ini. Simpulan bahasa tersebut dikenal pasti digunakan pada beberapa halaman seperti halaman 70 iaitu simpulan bahasa naik gila iaitu bermaksud marah, bertikam lidah pada halaman 203 yang membawa erti bertengkar, pada halaman 347 iaitu buta hurut yang bermaksud tidak pandai membaca dan halaman 383 iaitu hati batu bermaksud keras hati.




7.0  NILAI ILMU
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial (Mohd Rashid Md Idris, 2011), nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Oleh yang demikian, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu pelakuan manusia.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam pelbagai bentuk maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Ilmu dan maklumat yang ingin dikaji berdasarkan karya agung merupakan ilmu perdukunan, ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu, adat dan istiadat Melayu.
Masyarakat Melayu pada zaman dahulu begitu kaya dengan khazanah bahasa dan amalannya. Ada antara amalan-amalan itu masih diamalkan sehingga ke hari ini. Datuk nenek moyang kita dahulu begitu kuat kepercayaannya kepada alam sekeliling. Dengan ini muncullah kuasa alam sehinggakan mereka menuntut ilmu yang berkaitan dengan alam ghaib atau alam yang tidak dilihat dengan mata kasar. Ada yang menyebut ilmu ini sebagai ilmu hitam. Namun demikian, terdapat juga masyarakat Melayu pada zaman dahulu mengamalkan amalan ini mengikut ajaran Islam. Dalam karya agung Melayu, segelintir penulis memasukkan unsur-unsur seperti unsur mistik, ghaib, ilmu hitam, pemujaan dewa dewi, ilmu pengasih, perdukunan, ilmu firasat dan sebagainya.


        i.            Ilmu Keagamaan
Antara nilai ilmu yang terdapat dalam novel Sandera ialah ilmu keagamaan iaitu ilmu agama Islam. Agama Islam adalah ajaran yang mencakupi akidah atau keyakinan dan syariat atau hukum. Islam adalah ajaran yang sempurna yang mana Islam memerintahkan untuk mentauhidkan Allah s.w.t dan melarang kita melanggar segala perintah-Nya. Terdapat lima rukun Islam dan enam rukun iman yang perlu kita patuhi.
Dalam novel Sandera, diceritakan bahawa Bahar mengetahui tentang kewajipan membayar zakat sebagai seorang yang beragama Islam. Bahar menerangkan bahawa terdapat lima rukun Islam dan rukun Islam yang ketiga iaitu tiang agung daripada rukun itu, ialah zakat. Bahar juga cuba menjelaskan kepada Mahmud bahawa pembayaran zakat daripada kalangan penganut Islam akan menjadi sumber utama untuk penghasilan negara. Hal ini menjelaskan bahawa masyarakat Melayu mengetahui tentang konsep Islam dari segi ekonomi. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan monolog yang terdapat dalam novel di bawah:

“Kita semua tahu rukun Islam ada lima. Rukun yang ketiga iaitu tiang agung daripada rukun itu, ialah zakat. Nah,”dan“Apa ertinya ini? Zakat daripada kalangan penganut Islam dalam negeri ini akan menjadi sumber utama untuk penghasilan negara. Kita tidak akan pungut zakat kalau bukan Islam.”

                                                                                                                   (Sandera,2003 : 228)

            Dalam novel ini, terdapat juga diceritakan tentang keperluan memenuhi kewajipan kepada Allah s.w.t iaitu menunaikan solat. Hal ini dapat dilihat apabila Midah sangat menitikberatkan perihal solat bukan sahaja dalam dirinya malah dia juga mendidik adik-adiknya supaya menunaikan solat. Hal ini dapat dibuktikan melalui petikan di bawah:

“Midah sudah berdiri di atas kain sejadah yang sudah lusuh. Disiplinnya kepada adik-adiknya tentang sembahyang, maghrib ini tidak sekeras biasa. Lazimnya, Midah memaksa Zainab dan Kadir. Tetapi sekarang masih dibiarkan kedua-dua anak itu. Kadir di dapur dan Zainab dengan hafalannya. Dia sendiri, sembahyang kali ini hanya kerana kelaziman biasa. Hanya kerana perasaan dan kebiasaan yang sudah mendaging tulang itu maka dia sembahyang.”
                                                                                                                (Sandera,2003 : 154)


      ii.            Ilmu Peperangan
Selain itu, terdapat juga diceritakan tentang ilmu peperangan dalam novel Sandera. Peperangan bermaksud perkelahian, pertempuran dengan menggunakan senjata yang melibatkan satu negara dengan negara yang lain. Peperangan juga boleh ditakrifkan sebagai konflik antara kumpulan-kumpulan pesaing dengan menggunakan taktik kekerasan. Peperangan bersifat konflik yang terancang ini dilancarkan untuk mencapai objektif-objektif tertentu.
Dalam novel Sandera, diceritakan bahawa masyarakat Melayu juga mahir dalam ilmu peperangan. Hal ini dapat dilihat apabila Kapten Mahadi merencanakan suatu tindakan ofensif yang tegas. Pada mulanya Milton berasa ragu-ragu tetapi setelah rencana Kapten Mahadi ini dipertimbangkan oleh Brigedier Hudson, Kapten Mahadi sendiri yang menggalas tugas tersebut. Kapten Mahadi memperlihatkan bakatnya sehingga dia berjaya dalam serangan tersebut. Daripada kejayaan tersebut, Mahadi diberikan cuti khas dan menyambut kejayaan itu bersama kawan-kawannya. Hal ini dapat dilihat melalui petikan:

“Sekali ini Mahadi benar-benar memperlihatkan bakatnya. Dia kembali dari daerah Gunung Pulai dengan kemenangan besar, setelah satu minggu mengepung gunung itu dan dengan bantuan helikopter akhirnya dia mengetahui letak kubu gerila. Mahadi mengadakan serangan  terbuka, dan berjaya meleburkan kubu gerila di tempat tersebut.”
       (Sandera ,2003: 283)
          
    iii.            Ilmu Perniagaan
Seterusnya, nilai ilmu yang terdapat dalam novel Sandera ialah ilmu perniagaan. Perniagaan ialah pertukaran barang dengan barang atau pertukaran barang dengan perkhidmatan. Perniagaan juga boleh didefinisikan sebagai satu proses iaitu apabila perniagaan itu berfungsi melalui pertukaran harta dengan harta di atas persetujuan penjual dan pembeli mengikut cara-cara yang diizinkan syarak.
Dalam novel Sandera, disebutkan tentang kemahiran mengenai ilmu perniagaan. Kemahiran dalam ilmu perniagaan ini dapat dilihat melalui watak Busad yang berkemahiran dalam perniagaan. Busad diceritakan dalam novel tersebut bahawa dia diterima sebagai salesman di sebuah gudang perniagaan bangsa Jerman. Hal ini demikian kerana Busad mempunyai kebolehan bertutur dan menulis dengan lancar dalam bahasa Inggeris, Belanda, Jerman dan Perancis dan dia menjadi penghubung utama antara pengurus besar dengan kedai-kedai penjual di seluruh Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui petikan ini:

Dengan melalui Andang inilah Busad dapat membangun hidupnya di Singapura. Busad diterima bekerja sebagai salesman di sebuah gudang perniagaan bangsa Jerman, yang menjual jentera-jentera, alat-alat utas dan segala perkakas yang dibuat daripada besi. Disebabkan kebolehan Busad bertutur dan menulis dengan lancar dalam bahasa Inggeris, Belanda, Jerman dan Perancis, maka dia menjadi penghubung utama pula antara pengurus besar dengan kedai-kedai penjual di seluruh Tanah Melayu.”                                                                                                                                
                                                                                                                     (Sandera,2003 : 99)

    iv.            Ilmu Politik
Di samping itu, novel Sandera ini jelas menceritakan tentang perjuangan mempertahankan tanah air. Jadi, nilai ilmu yang terangkum dalam novel ini adalah berkaitan dengan ilmu politik. Ilmu politik yang terdapat dalam keseluruhan novel ini menceritakan tentang parti pemerintahan yang dipertandingkan dalam sesebuah tempat melalui pilihan raya.
Dalam novel Sandera, ilmu politik banyak dipaparkan tentang pilihan raya yang dijalankan di Tanah Melayu. Sebagai contoh, terdapat pilihan raya yang diadakan di Seberang Takir, Terengganu yang mempertandingkan parti Melayu Bersatu dengan parti lain dan dalam pilihan raya tersebut, Matali menang mengalahkan lawannya iaitu Ismail. Hal ini dapat dilihat melalui petikan dibawah:
“Radio mengumumkan hasil pilihan raya di Seberang Takir, Terengganu. Matali   menang daripada Melayu Bersatu, mengalahkan lawannya, Ismail daripada     parti lain.”

                                                                                                                   (Sandera, 2003 : 308)

Secara keseluruhannya, nilai-nilai ilmu seperti ilmu firasat, ilmu pengasih, ilmu jampi dan perdukunan ini merupakan salah satu ilmu yang misteri untuk diterokai. Tidak lupa juga ilmu-ilmu yang terdapat dalam novel Sandera hasil nukilan Arena Wati ini. Oleh hal yang demikian, nilai-nilai ilmu yang terdapat dalam karya kesusasteraan moden ini memberikan pelbagai mesej yang menarik dan mengandungi pelbagai nilai kebudayaan Melayu yang tinggi seterusnya dapat dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan seharian. Karya agung sememangnya memiliki nilai keunggulan yang tinggi kerana mengandungi pelbagai isi dan mesej yang bermakna.


9.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, novel Sandera banyak mengandungi nasihat dan pengajaran buat kita semua. Novel ini pernah memenangi hadiah utama sayembara 10 tahun merdeka pada tahun 1968 dan telah diangkat sebagai karya agung Melayu. Aspek pemikiran, nilai budaya, pandangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan estetika dalam karya ini telah menjadi tunggak kepada kekuatan bagi karya ini. Novel Sandera yang memiliki keenam-enam aspek tersebut menjadikannya sebagai salah sebuah karya agung dalam sastera Melayu. Intipati novel Sandera yang penuh dengan penceritaan tentang kebangkitan rakyat menentang penjajah wajar dihayati dan dikenang dan boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua untuk menghargai tokoh-tokoh pejuang tanah air yang telah berjuang untuk mempertahankan tanah air tercinta dari tangan penjajah.




Bibliografi
Ahsya Ahmad (2016). Filsafat sosial. Diperoleh pada Mei 9, 2016 daripada             http://amaterasu7.blogspot.my/2014/08/filsafat-sosial_87.html.

Arena Wati (2003). Sandera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Aries Sikwandi, Khusnul Hotimah, Nisaatul Anis dan Nur Hadi (2011). Falsafah agama.
            Diperoleh pada Mei 8, 2016 daripada

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah & Mohd Rashid Md. Idris (2016). Karya   Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.